KAMPAR - Seorang ibu merayu anak kembar perempuannya yang tidak pulang ke rumah selepas keluar ke pekan Kampar di sini pada hari raya kedua lalu supaya kembali ke pangkuan keluarga.
Harlizah Samah, 42, berkata, kelibat anak kembarnya, Nurulain Kamarazmi dan Nurulashiqin, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Sentosa di sini kali terakhir dilihat semasa mereka sedang bersiap-siap untuk keluar dan menunggu rakan Suhaili Abdul Razak kira-kira pukul 11 pagi.
Katanya, Suhaili yang menetap di Kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) yang terletak tidak jauh dari kediaman pasangan kembar itu turut dikesan tidak kembali ke rumahnya pada petang tersebut.
"Mereka keluar ke pekan (Kampar) sehelai sepinggang dan saya langsung tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah saya cuba menghubungi Nurulain kira-kira pukul 5 petang.
"Selepas gagal menghubungi telefon bimbitnya, saya cuba mendapatkan Nurulashiqin namun kedua-dua talian mereka seperti dimatikan, begitu juga nombor telefon Suhaili," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sentosa di sini semalam.