PETALING JAYA – Angkara dendam, sebanyak 26 motosikal dan sebuah teksi dibakar dalam satu kejadian di kawasan letak kereta Apartmen Desa Mentari di sini pada pukul 4 pagi semalam.
Seorang mangsa yang ditemui, K. Elumalai, 44, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas terdengar jeritan penduduk yang ternampak api di kawasan tempat letak motosikal.
Katanya, dia terus berlari ke arah tempat kejadian dan terkejut melihat dua motosikal miliknya dan isteri sedang terbakar.
“Seorang penduduk kemudiannya menghubungi bomba dan polis memaklumkan kejadian berkenaan,” katanya.
Difahamkan, sebelum kebakaran itu, terdapat sebuah kenderaan yang dinaiki beberapa lelaki dilihat melontarkan sesuatu yang dipercayai botol berisi petrol ke kawasan itu.
Seorang lagi mangsa, M. Guru, 40, berkata, dia hanya mampu melihat teksi miliknya yang turut disambar api dalam kejadian tersebut kerana api merebak dengan cepat,
“Saya tidak tahu siapa yang melakukan perbuatan ini, mungkin orang luar yang sakit hati dengan penduduk di sini.
“Kebakaran ini menyebabkan saya hilang mata pencarian kerana teksi saya musnah dalam kebakaran itu,” katanya yang mahu pihak berkuasa memantau kawasan tersebut kerana sering berlaku kejadian curi kereta, motosikal dan pergaduhan.