My Ping in TotalPing.com

Jom Layan link-link dibawah nie..

Pelajar khalwat positif dadah

(Gambar Hiasan)

ALOR SETAR: Dua penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini dicekup berkhalwat di sebuah rumah tumpangan di Taman Bee Bee Park, Simpang Kuala di sini, dalam operasi bersepadu, awal pagi kelmarin.

Rumah tumpangan itu menjadi tempat persinggahan remaja untuk menyewa berikutan di dalamnya terdapat pintu besi seperti penjara dan sukar untuk penguat kuasa membukanya jika melakukan serbuan.


Pasangan berusia awal 20-an itu dicekup kira-kira jam 1.30 pagi oleh sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik), Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah.


Lebih mengejutkan, pasangan itu didapati positif dadah ketika menjalani ujian saringan air kencing dan kes diserahkan kepada Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk membantu siasatan.


Ketua Operasi Jaik, Md Nasir Md Dali, berkata pihaknya yang membuat operasi di rumah tumpangan itu mengetuk pintu sebuah bilik berkali-kali sebelum dibuka seorang lelaki berpakaian lengkap.


Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui seorang wanita dalam bilik itu dan soal siasat mendapati pasangan itu gagal menunjukkan sebarang bukti yang mereka mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.


Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Pelawak kena tahan kes dadah LAGI!!!


Yassin

SUBANG JAYA: Seorang pelakon komedi yang juga bekas anggota kumpulan lawak terkenal nyata tidak serik apabila dia sekali lagi diberkas selepas ujian air kencingnya didapati positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Sunway Pyramid, Subang Jaya di sini, awal pagi semalam.
Sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menyerbu pusat hiburan terbabit kira-kira jam 1 pagi, sebelum mengarahkan semua pengunjung menjalani ujian air kencing.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang dihubungi berkata, air kencing milik pelawak berusia 32 tahun itu disahkan positif ganja.

Menurutnya, selain daripada pelakon terbabit, ada 30 pengunjung lain sedang berhibur dalam premis berkenaan ketika serbuan dilakukan.

Beliau berkata, semua pengunjung dalam pusat hiburan itu dibebaskan sejurus ujian air kencing mendapati mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah.

“Namun, tiga daripada mereka didapati positif dadah. Hasil ujian mendapati pelakon komedi itu positif ganja manakala dua lagi termasuk pengurusnya dan seorang ahli perniagaan didapati positif ketamin.

“Serbuan itu rutin hari minggu polis dengan mengadakan operasi di beberapa tempat di sekitar Subang Jaya. Ketika menyerbu pusat hiburan berkenaan, kita mendapati dia ada bersama,” katanya.

Menurutnya, semua suspek direman bermula semalam sehingga 27 Julai mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pelawak terbabit pernah dibebaskan daripada beberapa tuduhan memiliki pelbagai jenis dadah oleh Mahkamah Majistret, sebelum ini.

Dia pernah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memasukkan syabu ke dalam badan, tetapi mengaku tidak bersalah dan kemudian dibebaskan daripada tuduhan itu.

Pelakon komedi itu juga pernah dibebaskan daripada tuduhan memiliki kanabis serta kodein beberapa tahun lalu.

Pelawak terbabit dikatakan pernah ditahan memiliki dua tiub straw mengandungi syabu di Brickfields, tetapi dia tidak mengaku bersalah.

Ketika dicekup dalam serbuan sebelum ini, pelawak terbabit dikatakan merayu agar dibebaskan, namun dia seolah-olah tidak serik apabila ditangkap sekali lagi semalam, walaupun sudah beberapa kali ditahan dan dibicarakan di mahkamah atas kesalahan sama sebelum ini.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my/



Sebuah pusat hiburan di Sunway Pyramid di Subang Jaya dipercayai tempat Yassin ditahan semalam.


KUALA LUMPUR - Pelakon dan pelawak, Yassin atau nama sebenarnya, Yassin Yahya mengulangi sejarah hitamnya apabila dia ditahan kali keempat kerana disyaki mengambil dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Sunway Pyramid di sini semalam.

Dalam serbuan pada pukul 1 pagi, seramai 30 pengunjung pusat hiburan tersebut telah diperiksa dan menjalani ujian air kencing.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, hasil ujian saringan awal, tiga daripada mereka ditahan termasuk Yassin kerana disyaki positif mengambil dadah.

"Pemeriksaan awal mendapati Yassin yang merupakan bekas kumpulan Senario positif ganja.

"Dua lagi lelaki yang ditahan ialah seorang pengurus artis dan seorang peniaga yang disyaki positif ketamin," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Khalid, pihaknya akan memohon reman terhadap ketiga-tiga individu tersebut bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Yassin


Yassin, 31, sebelum ini pernah ditahan pada tahun 2001 atas dakwaan memiliki 0.05 gram syabu di sebuah kondominium dekat Jalan Damansara Indah.

Dia yang dituduh di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagaimanapun dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Ampang pada tahun 2005.

Pada Jun 2002, Yassin sekali lagi dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Ampang daripada dua tuduhan mengikut Akta Dadah Berbahaya dan Akta Dadah Racun 1952.





Dipetik dari : http://kosmo.com.my/

Pemain Ghana dapat habuan


PEMAIN Ghana mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi satu-satunya wakil dari benua Afrika berjaya melangkah ke pusingan suku akhir Piala Dunia 2010.

ACCRA, Ghana - Pemain skuad Ghana akan diberikan anugerah kebangsaan dan wang tunai AS$20,000 (RM64,465) setiap seorang selepas berjaya layak sehingga peringkat suku akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

"Kamu semua layak untuk menerima penghargaan ini kerana kamu telah membanggakan Ghana dan juga benua Afrika.

"Kamu mungkin tidak menjuarai Piala Dunia tetapi berdasarkan prestasi yang kamu semua tampilkan, kamu bukan saja membawa nama baik Ghana, malah benua Afrika," kata Presiden Ghana, John Atta Mills selepas menyambut kepulangan skuad tersebut kelmarin.

Pihak kerajaan Ghana turut bersetuju untuk memberikan ganjaran wang tunai AS$10,000 (RM32,233) kepada setiap seorang tenaga kejurulatihan skuad itu.

Sementara itu, bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan yang merupakan warga Ghana menulis dalam satu surat dengan menyatakan bahawa dia adalah salah seorang yang begitu kecewa selepas pasukan itu tewas menerusi sepakan penalti kepada Uruguay.

"Reaksi saya berhubung insiden penuh drama pada penghujung masa tambahan itu ialah ia sesuatu yang tidak adil.

"Tapi walaupun anda tewas perlawanan itu, anda semua telah keluar sebagai pemenang. Ucapan tahniah ini bukan hanya kerana persembahan cemerlang anda semua tetapi anda kalah dengan bermaruah," kata Annan.

Ghana menjadi wakil tunggal benua Afrika yang tinggal ketika saingan memasuki pusingan kedua dan suku akhir. Baki lima lagi pasukan dari benua Afrika terkandas seawal saingan peringkat kumpulan. - AP


Dipetik dari : http://kosmo.com.my

Van Marwijk mencapai impian




CAPE TOWN - Jurulatih Belanda, Bert van Marwijk berjaya melaksanakan tangunggjawabnya dengan cemerlang selepas membawa skuad kendaliannya itu mara ke perlawanan akhir Piala Dunia 2010.

Kejayaan tersebut hadir selepas anak-anak buahnya menumbangkan cabaran Uruguay 3-2 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Green Point awal pagi semalam.

Van Marwijk yang mula membimbing skuad Oranje pada 2008 berkata, penantian selama 32 tahun bagi menyaksikan Belanda beraksi di pentas final ternyata berbaloi dan kini sasaran mereka adalah untuk menjulang trofi Piala Dunia.

"Sudah tentu saya sangat gembira dan bangga dengan pencapaian ini kerana bagi sebuah negara kecil seperti Belanda kejayaan beraksi di pentas final kejohanan dunia, memang sungguh mengujakan.

"Ini merupakan hasil kerja keras saya selama dua tahun lalu dan seperti yang saya selalu katakan bagi mencapai sesuatu, kamu perlu mempercayainya serta berusaha ke arah itu," kata Marwijk.

Pada aksi awal pagi semalam, tiga jaringan Belanda dihasilkan menerusi kapten, Giovanni van Bronckhorst, Wesley Sneijder dan Arjen Robben manakala gol Uruguay disumbangkan Dieogo Forlan dan Maxi Pereira.


VAN MARWIJK (kanan) gembira dengan kejayaan Belanda mara ke final Piala Dunia 2010.


Mengulas mengenai aksi yang dipamerkan anak-anak buahnya pada perlawanan tersebut, van Marwijk mengakui yang pemain-pemainnya gagal beraksi pada tahap sebenar mereka ketika babak pertama.

"Kami bermula dengan baik sehingga berjaya menguasai perlawanan dan mendapat keyakinan untuk bermain dengan teratur dan lebih berani bagi melancarkan serangan.

"Tidak dinafikan, barisan tengah kami pada babak pertama sedikit goyah tetapi kami berjaya baiki sebaik babak kedua bersambung dan hasilnya dua gol berjaya dijaringkan," katanya. - AFP



Dipetik dari: http://kosmo.com.my/

Stadium kosong angkara Piala Dunia


TEMPAT duduk di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah lenggang ketika berlangsungnya perlawanan Liga Super antara Terengganu menentang Johor FC malam kelmarin.


KOSONG. Keghairahan peminat tempatan kepada aksi Piala Dunia 2010 yang sedang berlangsung di Afrika Selatan ternyata gagal diterjemahkan di gelanggang sendiri.

Buktinya, aksi Liga Super yang kembali membuka tirainya malam kelmarin sekadar menjadi pelengkap jadual apabila semua stadium sepi tanpa sorakan peminat tempatan.

Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu misalnya yang menemukan pasukan tuan rumah, Terengganu menentang Johor FC hanya mencatat kehadiran kurang daripada 250 penonton.

Keadaan ini sekali gus memberi kesan terutamanya kepada semangat pemain-pemain yang begitu dahagakan sokongan daripada penyokong tempatan.

"Saya rasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu bijak dalam mengatur perlawanan kerana demam Piala Dunia di kalangan peminat masih lagi kuat," jelas seorang penonton, Ruslan Muhammad.

Dipetik dari: http://kosmo.com.my/

Magis sulung Edry




PERTAMA kali memegang peranan sebagai seorang pengarah filem, komposer dan penyanyi, Edry Abdul Halim nyata gugup.

Bukan tidak yakin dengan kemampuan diri, tetapi jika dibandingkan dengan dua abangnya, Norman dan Yusry yang lebih berpengalaman dalam bidang filem, Edry menyifatkan filem muzikal, Magika sentuhannya sebagai kerja tangan terbesarnya setakat ini.

Namun, debaran di hati Edry sedikit reda apabila dia menerima banyak komen positif selepas majlis tayangan perdana filem yang menelan belanja sebanyak RM2 juta itu Februari lepas.

"Saya akui masih gugup dan berdebar. Maklumlah buah tangan pertama. Perasaan saya sekarang ini umpama persembahan pentas pertama KRU. Tetapi disebabkan saya mempunyai sokongan daripada dua abang yang mempunyai pengalaman lebih daripada saya dalam filem, ia sangat membantu," ujarnya.

Mengakui selain bimbang akan prestasi filemnya yang akan menemui penonton dalam tahun ini, dia juga bimbang jika ada pihak akan membandingkan kerja tangannya dengan dua abangnya.

"Sebenarnya itulah hakikat apabila menjadi anak ketiga dan mempunyai dua orang abang yang berjaya dalam bidang masing-masing.

"Banyak pertanyaan muncul di minda. Boleh ke Edry buat filem seperti Yusry? Boleh ke Edry kaut untung dari filem seperti Norman? Itu antara perkara yang sering saya fikirkan. Bagaimanapun, saya bertuah kerana dua orang abang ini membantu saya seperti dalam satu pasukan," ulas bapa kepada tiga orang anak ini lagi.

Kisah mitos Melayu

Bercakap tentang pengalamannya mengarah filem muzikal yang boleh disifatkan antara karya terbaik dari KRU sendiri, Edry memberitahu, bukan mudah sebenarnya untuk menghasilkan sebuah filem muzikal.


BARISAN bintang yang mempunyai aura tersendiri (dari kiri), Ning Baizura, Maya Karin, Raja Azura dan Aznil Nawawi menambah daya tarikan filem, Magika.


Selain lagu yang diselitkan dalam filem harus selari dengan skrip, kisah fantasi yang dihasilkan juga harus realistik dengan dunia sebenar supaya ia lebih senang diterima penonton.

"Skrip dan lagu dalam filem ini dibancuh dengan mudah kerana, sayalah pengarah, penulis skrip dan juga pencipta lagu serta penulis lirik. Jika ambil orang lain mungkin mood itu agak berlainan.

"Bila saya yang buat semua benda, mudah untuk saya merancang apa yang perlu ada dalam setiap babak dan lagu apa yang sesuai untuk babak tersebut.

"Saya boleh ambil jalan mudah dengan mengambil beberapa lagu yang telah popular tetapi saya tidak mahu kerana ingin memberi identiti tersendiri untuk filem Magika," tuturnya.

Ada benar apa yang dikatakan oleh Edry itu. Pihak media yang berpeluang menonton filem Magika pada majlis tayangan perdananya itu rata-rata berpuas hati dengan kualiti serta jalan cerita yang dihasilkan Edry.

Ditambah pula dengan kelucuan setiap watak mitos dalam dunia Melayu yang dilakonkan oleh bintang-bintang ternama, Badang (Mawi) , Bawang Putih (Amani), Bawang Merah (Aleya) , Hang Jebat (Lan Pet Pet), Hang Tuah (Saiful Apek) , Nenek Kebayan (Ziana Zain), Puteri Gunung Ledang (Ning Baizura) , Pak Pandir (Aznil), Mak Andeh (Raja Azura), Orang Minyak (Nabil), Mahsuri (Vanida Imran), Puteri Santubong (Marsha), Lembing Awang Pulang Ke Dayang (Norman Hakim), Nujum Pak Belalang (Zaibo), Penunggu Gua (M. Nasir) dan Puteri Bunian (Maya Karin) .


EDRY bertindak sebagai pengarah, penulis skrip, pencipta lagu dan penulis lirik lagu filem Magika.


Kata Edry, dia sengaja menghasilkan watak-watak mitos tersebut supaya generasi kini lebih mengenali dan menghargai kisah mitos tempatan.

"Saya sendiri mempunyai anak-anak yang masih kecil dan mereka tidak tahu kisah mitos seperti Badang. Apa yang mereka tahu hanyalah kisah Cinderella. Saya rasa ini pendekatan terbaik untuk seisi keluarga terhibur di samping mengajar anak-anak tentang mitos orang Melayu.

"Walaupun apa yang saya gambarkan tidaklah seratus peratus serupa dengan apa yang difikirkan orang, saya harap apa yang saya hidangkan akan dinikmati oleh penonton.

"Sebagai contoh, Nenek Kebayan lakonan Ziana Zain. Selalunya nenek kebayan digambarkan sebagai orang tua yang bongkok tetapi dalam filem Magika, nenek kebayan seorang yang cantik dan sentiasa nampak muda," katanya.

Akui Edry, dia sengaja mengambil kebanyakan pelakon popular kerana strategi pemasaran selain mereka merupakan orang yang benar-benar sesuai untuk watak yang diwujudkan.

"Saya tidak nafikan menggunakan ramai artis popular sebagai penarik orang ke panggung tetapi apa yang penonton harus lihat sendiri ialah bakat lakonan setiap pelakon serta jalan cerita itu sendiri," ujarnya.

Terangnya, dia tidak akan membikin filem sekuel buat Magika tetapi jika filem pertamanya itu berjaya, dia akan menggunakan konsep yang sama untuk membikin filem yang seterusnya.

"Saya tidak mungkin buat benda yang sama. Jika begitu, filem tersebut tidak akan berjaya. Saya tidak kisah menggunakan konsep yang sama tetapi cerita yang dihasilkan itu haruslah berbeza," ucapnya.


BAKAL menggegarkan panggung, Magika menampilkan ramai bintang terkenal yang muncul sebagai bintang undangan.


Ditanya, jika ada yang melabelnya sebagai pengarah harapan, Edry hanya tersenyum dan mengakui agak terharu jika ada yang melabelnya sedemikian meskipun baru menghasilkan sebuah filem.

"Apa saja gelaran yang diberi saya terima (ketawa). Sebagai pengarah filem, ia merupakan fasa terbaru dalam hidup saya selepas 18 tahun saya bergelumang dalam dunia seni," bicaranya.

Filem Magika mengisahkan adik-beradik Ayu (Diana Danielle) dan Malik (Fimie Don) yang tersesat ke dunia magika. Di sana Malik telah ditangkap oleh nenek kebayan untuk dijadikan ubat jamu muda. Dalam perjalanan Ayu cuba menyelamatkan adiknya, dia telah bertemu dengan pelbagai watak mitos kepercayaan orang Melayu.


Dipetik dari: http://kosmo.com.my/

Jason Derulo ke Malaysia


NANTIKAN kemunculan Jason di Kuala Lumpur menjelang 21 Julai ini.


DIA sering menulis lagu berdasarkan pengalaman hidupnya atau mereka yang berada di sekelilingnya. Vokal serta bakat mencipta lagu telah menjadikan Jason Derulo antara penyanyi baru berbakat yang kukuh di pasaran.

Mula menulis lagu sejak berusia lapan tahun dengan inspirasi daripada irama dari radio, penyanyi berusia 20 tahun itu sudah menghadiahkan dua buah karya In My Head dan Whatcha Say. Menduduki carta muzik di seluruh dunia, Jason juga mempunyai minat mendalam terhadap lakonan.

Muziknya sarat dengan tarian dan melodi seksi. Bagaimana Jason mendapat suntikan kreativiti sebelum menulis? "Mendengar muzik dengan kuat akan membuatkan saya mendapat inspirasi dan menulis. Saya akan menari dan menyanyi bersama. Dari situ bermula sebuah lagu baru."

Pasaran muzik mungkin tidak begitu memberangsangkan tetapi lagu Jason masih mampu menarik muat turun sebanyak 700,000 kali. Album sulungnya, Jason DerĂ¼lo menggabungkan elemen pop, rock, elektornik dan R&B. "Ia sebuah album untuk pencinta muzik. Ia melambangkan semua pengaruh berbeza tetapi berasaskan pop," kata Jason.

Membesar di Florida, Jason menggubah lagu pertamanya, Crush On You pada usia lapan tahun. "Saya membesar sebagai peminat setia Michael Jackson, belajar menerusi videonya dan meniru semua gaya tariannya. Saya juga berlatih dengan menyanyi lagu Usher serta Justin Timberlake sambil meniru gaya mereka," tambahnya.

Bagi bertemu peminatnya di Malaysia, Jason akan membuat persembahan pada 21 Julai ini di Dragonfly (sebelum ini dikenali sebagai Orange). Kepada mereka yang ingin memenangi tiket eksklusif untuk persembahan Jason Derulo Live, anda hanya perlu mendengar stesen radio Hitz.FM atau menonton saluran Hitz.TV.

Selain daripada itu, anda juga boleh memuat turun lagu In My Head sebagai nada dering pemanggil dengan SMS Get Derulo dan hantarkan kepada 29000 (hanya tertakluk kepada pengguna Maxis dan Hotlink). Tiket eksklusif juga boleh didapati apabila anda membeli album Jason di Victoria Music Centre (cawangan Sungai Wang, Amcorp Mall, Bangsar) dan Speedy Video (cawangan Pavilion, GE Mall, Mid Valley dan Movie Magic, 1 Utama).


Dipetik dari : http://kosmo.com.my/

Beast terharu di Malaysia


ENAM anak muda bergelar Beast ini dalam rangka lawatan ke Asia dengan strategi untuk meningkatkan nama mereka di mata dunia.


HARAPAN untuk meraih sambutan yang hangat terutamanya di negara yang menggunakan bahasa berlainan sudah semestinya tidak telalu tinggi.

Namun atas faktor lagu dan popular serta mempunyai wajah yang kacak, kumpulan yang disertai enam anak muda lelaki dari Korea bergelar Beast itu mampu menarik sehingga 3,000 penonton untuk hadir ke mini konsert mereka yang berlangsung di Kl Live, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Enam anak muda berusia lingkungan 19 dan 20 tahun itu terdiri daripada Jun Hyung, Yo Seap, Gi Kwang (Aj), Dong Woon, Hyun Seung dan Du Jun.

Keterujaan anak muda negara ini terutamanya di kalangan perempuan terhadap kumpulan itu telah membuatkan mereka terharu terutamanya bila ada peminat yang menghafal lagu mereka.

Menurut Jun Hyung yang mewakili rakan-rakannya, mereka tidak sangka ada antara peminat mereka di negara ini boleh menghafal lagu Beast walaupun dalam bahasa Korea.

"Kami gembira apabila mendapat sambutan yang menggalakkan dari orang Malaysia. Walaupun ini merupakan kali pertama kami singgah di Malaysia, penerimaan masyarakat di sini membuatkan kami terharu," katanya ketika ditemui Kosmo! di Hotel Nikko Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, dia yakin dengan mengadakan Asia Tour itu dapat menaikkan populariti kumpulannya setanding dengan band dari Korea yang lain.

"Selain daripada bertemu peminat di negara ini tujuan kami datang juga adalah untuk mengenali lebih dekat dengan orang di Malaysia.

"Kami terpaksa bekerja keras demi untuk bersaing dengan band lain yang juga sedang meningkat naik di Korea," tambahnya.

Jelasnya lagi, lawatan ke negara-negara Asia adalah sebagai satu strategi mereka untuk meningkatkan nama Beast di mata dunia.

"Setakat ini respons yang kami terima sangat memberangsangkan terutamanya bila berhadapan dengan peminat.

"Kami boleh lihat sokongan yang mereka berikan kepada kami," ungkapnya.

Gementar


BEAST tidak menyangka diminati peminat dari kalangan orang Melayu.


Jun Hyung dalam pada itu mengakui, dia agak gementar bila berhadapan dengan para wartawan ketika sidang akhbar.

Katanya, walaupun gementar dan kurang bersedia mereka tetap hadapi soalan-soalan yang diberikan dengan tenang.

"Sidang media adalah penting untuk kami, kerana melalui itu jugalah promosi kumpulan kami diberikan.

"Setakat ini kami masih mampu mengharungi dan menjawab soalan yang diberikan," katanya.

Bercerita mengenai ahli kumpulan mereka lagi, Jun Hyung turut memberitahu Yo Seap dan Du Jun merupakan yang nakal antara mereka berenam.

"Mereka selalu mengusik antara satu sama lain. Kami tidak kisah pun asalkan mereka suka dengan apa yang mereka buat.

"Perangai mereka itu juga adalah penyeri dalam kumpulan ini," katanya.


Dipetik dari:http://kosmo.com.my/

Dokumen sulit dedah nuklear AS-Israel


OBAMA dan Netanyahu berjalan di White House, Washington kelmarin.


TEL AVIV - Satu dokumen sulit yang didedahkan oleh media Yahudi mengesahkan bahawa Israel dan Amerika Syarikat (AS) memeterai kerjasama nuklear, lapor akhbar Haaretz semalam.

Menurut stesen Radio Tentera Israel, AS dilaporkan menghantar satu dokumen kepada rejim Zionis berhubung kerjasama nuklear melibatkan kedua-dua buah negara selain berjanji menjual bahan-bahan yang digunakan untuk menjana tenaga elektrik dan bekalan lain.

Komitmen kerjasama nuklear itu dinyatakan oleh AS walaupun terdapat kenyataan bahawa Israel tidak menandatangani Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) seperti kebanyakan negara kuasa nuklear lain.

Negara-negara lain enggan bekerjasama dengan Israel berhubung isu nuklear kerana ia tidak menandatangani NPT manakala masyarakat antarabangsa meminta rejim Zionis lebih terbuka dan telus berhubung senjata nuklear.

Semasa pertemuan antara Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan Presiden AS, Barack Obama di Washington kelmarin, kedua-dua pemimpin berkenaan berbincang tentang cabaran NPT selain keperluan untuk mengukuhkan sistem kawalan senjata nuklear.

Netanyahu bagaimanapun mengelak daripada menyertai sidang tersebut yang akan diadakan pada September depan dengan alasan negara-negara lain akan menuding jari ke arah Israel kerana menyembunyikan senjata nuklearnya.

Kedua-dua pemimpin itu turut membincangkan tentang desakan untuk mengadakan persidangan untuk menjadikan rantau Asia Barat bebas senjata nuklear yang diusulkan ketika sidang NPT 2010 di New York.

Obama memberitahu Netanyahu bahawa, sebagai penganjur bersama sidang bebas nuklear tersebut, AS mahu ia memiliki agenda meluas yang turut merangkumi isu-isu keselamatan serantau, verifikasi dan pematuhan nuklear antarabangsa serta perbincangan mengenai semua bentuk senjata pemusnah besar-besaran.

Obama juga menekankan bahawa AS akan terus bekerja rapat dengan Israel bagi memastikan bahawa inisiatif dan dasar pengawalan senjata tidak memencilkan keselamatan Israel. - Agensi


Dipetik dari: http://kosmo.com.my/

Operasi cegah pelacuran setiap hari



OPERASI membanteras aktiviti pelacuran perlu dilakukan setiap hari. - Gambar hiasan


MELAKA - Buat operasi besar-besaran dan lakukannya setiap hari sehingga kegiatan pelacuran termasuk melibatkan pelajar sekolah di Melaka dapat dibanteras sepenuhnya.

Itu arahan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang mahu pihak berkuasa dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berusaha menangani masalah itu secara bersungguh-sungguh.

"Jika tahu banyak kegiatan pelacuran berlaku di sesuatu tempat, mengapa pihak berkuasa seperti polis dan JAIM tidak tangkap saja.

"Kalau boleh setiap hari ada tangkapan besar-besaran, letak gambar tauke-tauke ini di muka depan, biar mereka takut," katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke kilang pembuatan lampu diod pancaran cahaya Maruwa di Batu Berendam di sini semalam.


Dipetik dari: http://kosmo.com.my/

@@ Followers @ @

Pembaca Berita PANAS!

Popular Posts