Jom Layan link-link dibawah nie..

Trio Pecah Rumah: Mati Di TEMBAK!


ZAHRUDDIN (tengah) menunjukkan pasport milik dua lelaki yang ditembak mati dan barang rampasan pada sidang akhbar di IPD Seberang Perai Selatan semalam.


GEORGE TOWN - Tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam 56 kes pecah rumah dan samun di negeri ini mati selepas berbalas tembak dengan polis di Kilometer 160, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Sungai Bakap, Nibong Tebal dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 1.45 pagi itu, ketiga-tiga suspek yang terdiri daripada seorang lelaki tempatan berasal dari Seberang Jaya di sini dan dua warga Indonesia dalam perjalanan ke arah selatan menaiki kereta jenis Hyundai berwarna emas.

Kelibat ketiga-tiga suspek yang menjadi buruan itu dikesan sepasukan anggota polis yang membuat rondaan di lebuh raya tersebut sebaik kereta itu melepasi Plaza Tol Juru.

Polis kemudian mengekori kereta terbabit sehingga sampai ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 15 kilometer dari plaza tol berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, pihaknya berjaya memintas kereta dinaiki suspek selepas melepasi kawasan R&R Sungai Bakap sebelum mengarahkan pemandunya supaya berhenti di tepi lebuh raya.

Menurut beliau, kejadian tembak-menembak berlaku selepas seorang suspek yang berada di tempat duduk belakang cuba melarikan diri ke arah semak berhampiran sambil melepaskan dua das tembakan ke arah anggota polis.

"Melihat tindakan suspek yang melarikan diri, dua lagi rakan suspek itu turut cuba melarikan diri.

"Seorang daripada suspek menembak ke arah polis tetapi kesemuanya kemudian mati terkena tembakan balas pihak polis," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dekat sini semalam.

Pantas : Pembantu jurutera selamatkan nyawa 23 pelajar


 
Gambar Hiasan


KLANG — Tindakan pantas seorang penolong jurutera mengarahkan pelajar sebuah sekolah agama di sini keluar menyelamatkan diri apabila melihat asap tebal dari bangunan itu, menyelamatkan nyawa 23 pelajar sebuah sekolah agama di Batu 7 Jalan Meru, di sini semalam.

Ketika kejadian pada pukul 3.54 petang itu, kesemua 23 pelajar sekolah agama Pusat Tahfiz Darul Mustafa itu sedang nyeyak tidur dalam sebuah bilik bagunan rumah setingkat yang dijadikan sekolah itu.

Sahipulbahry Sahiddin, 46, berkata beliau segera berlari ke sekolah itu apabila melihat asap tebal keluar dari rumah teres berkenaan.

"Ketika saya tiba di sekolah itu, semua pelajar termasuk dua anak lelaki saya sedang tidur dalam sebuah bilik. Kebakaran bermula dari sebuah bilik di bahagian belakang.

"Saya segera mengejutkan mereka semua dan mengarahkan mereka keluar dari kawasan sekolah sebelum api merebak. Selepas itu saya telefon bomba,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang dan Kota Raja mengambil masa 30 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah lain.

Bagaimananapun, sekolah yang mula dijadikan sekolah agama sepenuh masa pada tahun 2010 dan mengambil pelajar dari umur 11 hingga 17 tahun itu, musnah dalam kebakaran itu.

Pemilik rumah, Mohd Salehhodin Sabiyee, 49, berkata ketika kejadian kebanyakan penghuni di kawasan itu menghadiri majlis perkahwinan di rumah bersebelahan sekolah itu.

"Api merebak dengan cepat menyebabkan pelajar tidak sempat menyelamatkan barangan mereka,” katanya dan memberitahu kerugian akibat kebakaran itu dianggar hampir RM200,000.

Sementara itu, ketua balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang Isa Bakar berkata punca kebakaran masih disiasat.

— BERNAMA

Hangus Terbakar: Angkara Dendam

ANGGOTA bomba memeriksa sebahagian daripada 26 buah motosikal yang dibakar di kawasan letak kereta Apartmen Desa Mentari, Petaling Jaya semalam.



PETALING JAYA – Angkara dendam, sebanyak 26 motosikal dan sebuah teksi dibakar dalam satu kejadian di kawasan letak kereta Apartmen Desa Mentari di sini pada pukul 4 pagi semalam.

Seorang mangsa yang ditemui, K. Elumalai, 44, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas terdengar jeritan penduduk yang ternampak api di kawasan tempat letak motosikal.




Katanya, dia terus berlari ke arah tempat kejadian dan terkejut melihat dua motosikal miliknya dan isteri sedang terbakar.

“Seorang penduduk kemudiannya menghubungi bomba dan polis memaklumkan kejadian berkenaan,” katanya.

Difahamkan, sebelum kebakaran itu, terdapat sebuah kenderaan yang dinaiki beberapa lelaki dilihat melontarkan sesuatu yang dipercayai botol berisi petrol ke kawasan itu.


Seorang lagi mangsa, M. Guru, 40, berkata, dia hanya mampu melihat teksi miliknya yang turut disambar api dalam kejadian tersebut kerana api merebak dengan cepat,

“Saya tidak tahu siapa yang melakukan perbuatan ini, mungkin orang luar yang sakit hati dengan penduduk di sini.

“Kebakaran ini menyebabkan saya hilang mata pencarian kerana teksi saya musnah dalam kebakaran itu,” katanya yang mahu pihak berkuasa memantau kawasan tersebut kerana sering berlaku kejadian curi kereta, motosikal dan pergaduhan.

@@ Followers @ @

Pembaca Berita PANAS!

Popular Posts