KUALA LUMPUR - Polis menyiasat kemungkinan aset mencecah jutaan ringgit dimiliki peguam Datuk K. Patmanaban, 41, yang ditahan polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga yang lain adalah hasil pengubahan wang haram.
Satu sumber berkata, daripada semakan kedudukan kewangan peguam itu, latar belakang Patmanaban mencurigakan.
"Jika terbukti ada penglibatan, dia seorang bijak kerana mampu menyembunyikan kegiatan itu di sebalik pengaruhnya.
"Malah penglibatannya itu juga terselindung kerana dia mempunyai perniagaan termasuk mengusahakan ladang ternakan ayam di Ladang Gadong, Tanjung Sepat," kata sumber itu yang ditanya mengenai perkembangan awal siasatan aset Patmanaban.