KELIBAT dan kehadiran anak pelakon Khaty Fauziah yang juga adik bongsu kepada aktres Zizie Ezette iaitu Shaheizy Sam Abd. Samad atau lebih mesra disapa Sam hanya dirasai sejak tiga tahun kebelakangan ini sedangkan dia telah memulakan kerjaya seninya sejak berusia 12 tahun.
Ini bermakna sudah lebih sedekad aktor yang mula diperkenalkan menerusi telefilem Pa'e (1998) itu menjadi anak seni. Namun, sejak membintangi filem Evolusi KL Drift 2, Bohsia, Jangan Pandang Belakang Congkak dan pastinya filem Adnan Sempit yang berjaya mencecah kutipan lebih RM8 juta, nama Sam makin harum.
Tidak pernah terfikir akan menjadi popular seperti kakaknya Zizie, Sam yang kini berusia 27 tahun, sebaliknya lebih senang andai khalayak mengenalinya sebagai watak dalam karya lakonannya bukannya siapa Sam di alam realiti.
Bagaimanapun, Sam terpaksa mengalah kepada gemerlipan lampu glamor yang mula memberi fokus kepada dirinya. Atas nasihat pelakon senior yang lain, Sam mula menganggap glamor yang datang sebahagian daripada kerjanya sebagai pelakon.
"Dulu mana saya suka hadiri sesi fotografi atau temu ramah bersama wartawan, mungkin sebab itu orang tidak mengenali saya dan saya selesa dengan cara itu. Tetapi ada pelakon senior yang beri nasihat agar saya mengubah sedikit perangai saya untuk memudahkan lagi laluan kerjaya saya.
"Katanya, bukan semua orang mahu tahu tentang kerja artis semata-mata, peminat mahu juga tahu tentang diri artis itu yang sebenar. Jadi saya anggap ia satu kerja dan saya sudah mula membiasakan diri," katanya.
Sam yang suka bersendiri dan suka berada dalam dunianya sendiri mengatakan jika mereka tidak mengenalinya pasti menganggap dia seorang yang sombong dek sikapnya itu.
|
|
"Saya suka duduk bersendirian, terperap dalam bilik kerana saya suka berfikir, kalau orang tak faham saya mereka akan ingat saya sombong tetapi lama-kelamaan saya mula ubah sikit sikap saya itu.
"Ibu saya cakap sejak kecil lagi saya memang sudah berperangai begitu. Jika hari raya budak lelaki lain main bunga api dan mercun, saya pula duduk dalam bilik seorang diri dan tidak suka diganggu," ujarnya.
Meskipun mempunyai perangai yang gila-gila, hakikatnya Sam seorang yang cukup sensitif terutama jika orang mengkritik kerjanya.
"Nampak gagah di luar tetapi di dalam saya sensitif sangat. Kalau orang tegur tentang kerja. saya akan terasa tetapi bukan bermakna saya tidak suka dikritik. Saya terlalu ambil serius setiap kritikan supaya saya tidak mengulangi kesalahan yang sama," ucapnya.
Raya di Sungei Wang Plaza
Jika pada pagi raya orang lain sibuk di rumah berkumpul bersama sanak-saudara, lain pula halnya dengan Sam yang lebih selesa berada di pusat beli-belah Sungei Wang Plaza, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada hari raya pertama.
Pelik tetapi itulah lokasi kegemarannya pada hari raya jika mereka sekeluarga tidak pulang ke kampung. Katanya, seronok berada di pusat beli-belah itu tanpa perlu bersesak-sesak dengan orang ramai dan melihat jalan raya yang lengang.
"Kali terakhir saya balik raya di kampung di Johor Bahru ialah dua tahun yang lalu, selebihnya Bukit Bintang dan Sungei Wang Plaza menjadi kampung saya pada hari raya pertama. Sejak 10 tahun lalu, selepas sembahyang raya dan sesi memohon maaf, saya akan berada di kawasan Bukit Bintang.
"Saya suka lihat suasana kawasan yang biasanya sibuk itu menjadi kosong dan lengang. Ada juga kedai yang buka, jadi saya boleh beli-belah dengan tenang tanpa perlu bersesak-sesak. Alangkah bagusnya kalau hari-hari Sungei Wang dan Bukit Bintang tenang macam itu," katanya dalam tawa.
Sam juga bukannya orang yang obses untuk berganti baju Melayu setiap kali tibanya Aidilfitri sama juga dengan kebanyakan lelaki yang lain. Dia tidak kisah andai memakai baju Melayu yang sama untuk tempoh masa yang lama.
|
|
"Saya memang bukan orang yang obses baju Melayu, apa yang ada saya pakai sebab baju Melayu saya akan pakai sampai tengah hari sahaja. Saya juga selalu memakai baju Melayu yang untuk beberapa tahun sampai kakak saya suruh saya beli baju baru.
"Cuma sekarang bila sudah banyak jemputan, saya pun ada beberapa koleksi baju Melayu yang baru. Kalau tidak sehelai pun sudah cukup buat saya kerana baju lelaki bukan macam perempuan yang ada banyak trend. Baju Melayu sama sahaja," tuturnya.
Sama seperti orang lain, Aidilfitri bagi Sam adalah masa untuk dia sekeluarga berkumpul. Jika hari-hari biasa cukup sukar untuk dia sekeluarga berada di bawah bumbung yang sama dek kesibukan kerjaya masing-masing.
"Walaupun semua tinggal di Kuala Lumpur tetapi kami jarang berkumpul. Kalau saya ada, Zizie pula tidak ada, selalu jadi macam itu. Cuma tahun ini berbeza sedikit sebab Zizie sudah berkahwin, suasananya pasti sedikit berbeza," beritahunya yang tidak pernah menetapkan bajet raya.