Jom Layan link-link dibawah nie..

Kebaikan Dunia dan Akhirat Itu Hanya Akan Dapat Dicapai dengan Pelaksanaan Syariah Secara Kaffah

alt 

Wasatiyyah mampu capai kebaikan dunia, akhirat

PUTRAJAYA 10 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pendekatan wasatiyyah (kesederhanaan) di negara ini amat perlu dititikberatkan sesuai dengan kepelbagaian agama dan budaya yang diamalkan di kalangan rakyatnya.

Menurut Perdana Menteri, konsep kesederhanaan itu bukanlah satu pilihan, sebaliknya sesuatu yang imperatif (mesti dipatuhi) yang boleh memacu rakyat mencari hasanah (kebaikan) di dunia dan akhirat (mencapai konteks al-Falah).  Katanya, hasil amalan wasatiyyah sejak berdekad-dekad lamanya juga, Malaysia berjaya muncul sebagai sebuah negara Islam demokratik serta negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi.  "Kita juga telah berjaya menyanggah tanggapan stereotaip selama ini tentang kononnya sebuah negara Islam itu lazimnya tidak demokratik, bersifat autokratik dan walaupun kaya dengan sumber asli, tetapi gagal menguruskannya dengan baik serta tiada pula keadilan sosial," katanya. Beliau berucap merasmikan Konvensyen Wasatiyyah Sempena Satu Milenium Islam di Nusantara anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Pertubuhan Nadi Dialog Malaysia (Nadi), di sini hari ini. 

Konvensyen itu menganugerahkan Tokoh Wasatiyyah 2011 kepada Allahyarham Tan Sri Dr. Muhammad Abd. Rauf bagi menghargai segala jasanya dalam pembangunan Islam di negara ini.  Najib berkata, wasatiyyah atau kesederhanaan berimbang yang dimaksudkan bukanlah kesederhanaan menurut tafsiran pihak luar yang cuba 'mencanai' umat Islam mengikut tasawur mereka.  Sebaliknya, kata beliau, wasatiyyah dalam pengertian negara adalah amalan yang diteladani daripada Rasulullah SAW serta melalui rentetan sirah, antaranya melalui mengambil konsep semangat piagam Madinah dan perjanjian Hudaibiah.  "Di arena kebangsaan dan antarabangsa, kita telah memperlihatkan bahawa kita bukan setakat beretorik dalam isu ini, malah telah mengamalkannya secara istiqamah. Di peringkat global juga, kita berbaik dengan semua negara sama ada negara Islam atau tidak, namun, atas dasar prinsip, kita tidak akan sesekali lari daripada menyatakan apa yang benar," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia: 11/06/11
 
Kebaikan Dunia dan Akhirat Itu Hanya Akan Dapat Dicapai dengan Pelaksanaan Syariah Secara Kaffah

Najib nampaknya terus cuba menggunakan talian hayat yang ’berbau’ Islam untuk ’menyokong’ kononnya apa yang diterapkan oleh beliau selama ini adalah suatu yang bertepatan dengan Islam. Namun hakikatnya, dengan kalimah ”wasatiyyah” ini Najib terus keliru dan mengelirukan. Beliau mendakwa bahawa apa yang dilakukan oleh pemimpin negara selama  ini telah menyebabkan Malaysia berjaya muncul sebagai sebuah negara Islam demokratik serta negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi. Persoalannya ialah, apakah konsep kesederhanaan yang difahami oleh Najib itu benar-benar mengikuti ukuran dan acuan Islam? Apakah sederhana itu bermaksud membenarkan sistem ekonomi yang berasaskan riba terus berjalan? Atau bermaksud melaksanakan undang-undang kufur ciptaan manusia? Atau membiarkan manusia bebas di Parlimen menggubal dan membuat undang-undang sendiri? Dalam erti kata lainnya, apakah yang dikatakan sederhana itu adalah dengan mencampur adukkan di antara perkara yang hak dengan yang batil?
Faktanya, inilah yang berlaku.

Para pemerintah sekular di negeri-negeri kaum muslimin termasuklah Najib, secara terang-terangan mencampuradukkan perkara iman dengan kufur. Dari kenyataan Najib di atas, beliau nyata keliru dengan mengatakan bahawa maksud wasatiyyah adalah amalan yang diteladani daripada Rasulullah SAW, antaranya melalui konsep semangat piagam Madinah dan perjanjian Hudaibiyah.  Apakah Najib benar-benar sedar dan mengetahui dengan jelas realiti piagam Madinah yang pernah diterapkan oleh Rasulullah SAW ketika baginda  menjadi ketua negara di sana? Piagam Madinah yang dilaksanakan oleh Rasululah SAW lahir dari aqidah Islam semata-mata, tidak seperti Perlembagaan Persekutuan yang lahir dari akal manusia. Sebagai contoh, salah satu dari isi kandungan piagam Madinah adalah ”Sekiranya kalian berselisih dalam suatu urusan maka tempat kembalinya adalah Allah dan Muhammad”. Apakah ini ada dalam Perlembagaan Persekutuan?

Najib seharusnya memahami makna yang sebenar kalimah wasatiyyah ini agar beliau tidak terus keliru dan mengelirukan. Ummat[an] wasath[an] adalah umat yang adil dan umat pilihan. Sikap wasath bukanlah sikap moderat, kompromi dan mengambil jalan tengah. Sikap wasath tidak lain adalah sikap adil, iaitu menempatkan segala sesuatu sesuai dengan posisi dan ketentuannya menurut ukuran syara’. Sikap wasath juga adalah sikap menegakkan dan menyebarkan risalah Islam, kerana ciri-ciri sebagai umat wasath itu dikaitkan dengan risalah Islam. Sikap wasath itu juga mencakup sikap memilih yang terbaik dari berbagai perkara dan memilih yang benar dan paling bagus. Sikap wasath itu tak lain adalah sikap melaksanakan dan terikat dengan ketentuan Allah, iaitu syariah Islam]. Lihat: SN147 - ISLAM -VS- ISLAM MODERAT


Sumber: http://mykhilafah.com

Apabila Para Pengampu Kerajaan Sekular Bersuara.....

Undang-undang syariah dipengaruhi kolonial tidak tepat

KUALA LUMPUR 7 Jun - Undang-undang syariah negara tidak pernah dipengaruhi oleh elemen kolonial kerana ia terletak di bawah kuasa Raja-raja Melayu meskipun ketika negara di bawah penjajahan British. 

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz (gambar) berkata, British juga tidak pernah campur tangan dalam hal ehwal Islam termasuk pelaksanaan undang-undang syariah serta proses pembuktian di mahkamah.   "Justeru, adalah tidak tepat untuk mengatakan undang-undang syariah negara kita mengikut acuan kolonial kerana kita sudah mempunyai mahkamah syariah sendiri sebelum kedatangan penjajah dengan Raja-raja Melayu sebagai hakim utama manakala mufti-mufti pula sebagai pembantu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.  Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa undang-undang syariah negara masih dipengaruhi elemen era kolonial iaitu mengikut undang-undang British.  Malah, kata Sham Rahayu, sekiranya benar Abdul Hadi beranggapan undang-undang syariah negara mengikut era kolonial, maka beliau sepatutnya bersetuju rakaman video seks boleh dijadikan sebagai salah satu dokumen keterangan di mahkamah. Ia juga, kata beliau, selari dengan pelaksanaan hukuman takzir bagi undang-undang syariah di negara ini yang tidak memerlukan empat saksi bagi kesalahan zina seperti di bawah hukuman hudud. "Sepatutnya Abdul Hadi tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat kerana ini melibatkan kepentingan awam terutamanya umat Islam," kata beliau.  "Bagaimana jika selepas ini ada pesalah zina mempersoalkan hukuman ke atas mereka kerana ketiadaan empat saksi? Sudah semestinya jenayah zina akan berleluasa dalam masyarakat," kata beliau.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, undang-undang syariah negara tidak wajar diperlekehkan kerana ia digubal menerusi mesyuarat dan perbahasan pakar-pakar perundangan syariah negara.  Katanya, meskipun undang-undang syariah itu masih merujuk kepada model perundangan British, namun ia telah diberi nafas baru sesuai dengan perkembangan semasa.  "Kita tidak boleh menolak keseluruhan undang-undang itu semata-mata kerana ia dari penjajah. Sebaliknya kita perlu lihat dari aspek kesesuaian amalannya di negara ini yang mana jika undang-undang itu sesuai dengan hukum syarak, maka ia boleh digunakan dan begitulah sebaliknya," katanya. 

Sumber : Utusan Malaysia: 08/06/11

Apabila Para Pengampu Kerajaan Sekular Bersuara.....

Beginilah rosaknya pemikiran mereka yang digelar ‘pakar’ perundangan. Dengan penuh kejahilan, mereka begitu berani ‘menyamakan’ undang-undang ciptaan manusia sebagai undang-undang syariah. Lebih buruk lagi apabila para pengampu pemerintah sekular ini mengatakan bahawa undang-undang ini adalah undang-undang syariah negara yang tidak pernah dipengaruhi oleh elemen colonial sedangkan hakikatnya undang-undang syariah yang diterapkan di Malaysia ini adalah undang-undang yang disahkan dan dilahirkan dari rahim perlembagaan kufur Lord Reid.  Apakah kerana kecintaan mereka kepada dunia menyebabkan mereka begitu celupar dengan Allah SWT?

Undang-undang syariah Islam mencakupi persoalan hudud, jinayat, takzir dan mukhalafat di mana kesemua hukuman tersebut terbit dari al-Quran dan as-Sunnah. Kepada para pengampu kerajaan sekular ini kita ingin meminta mereka menunjukkan di manakah undang-undang yang dikatakan undang-undang syariah negara hari ini yang menjatuhkan hukuman potong tangan kepada kesalahan mencuri dan hukuman rejam dan sebat kepada kesalahan zina? Dan di mana undang-undang yang menghukum mereka yang mengambil riba? Hakikatnya,‘undang-undang syariah’ yang diterapkan di negara ini lahir dari keputusan akal manusia yang bersidang di parlimen, bukannya dari aqidah Islam yang mulia.

“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu ? Mereka hendak berhakim kepada thaghut, padahal mereka telah diperintah mengingkari thaghut itu dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya”
. [TMQ an-Nisaa’ (4) : 60].

“Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin “?

Sumber: http://mykhilafah.com/

Wahai Najib dan Para Bapa!

altaltSemua bapa diminta laksana transformasi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta golongan bapa supaya melakukan transformasi peranan masing-masing dalam membentuk sebuah keluarga bagi melahir generasi rakyat Malaysia yang terbaik pada masa depan.

Dalam coretan ringkasnya di lawan web sosial facebook.com, beliau berkata adalah diharapkan semua bapa dapat terus membina generasi negara pada masa depan dan membekalkan mereka dengan segala kemahiran diperlukan untuk menjadi ibu bapa dan rakyat Malaysia yang lebih cemerlang.   “Hari ini, semakin ramai golongan bapa yang mengimbangkan peranan profesional dan keibubapaan mereka. Bagi saya sendiri, saya merasakan sudah melakukan yang terbaik untuk anak-anak saya.   “Kepada semua bapa, teruskan berusaha membina masa depan keluarga kita dan membekalkan mereka dengan segala kemahiran diperlukan dalam melahirkan ibu bapa dan rakyat Malaysia yang lebih gemilang pada masa depan,” katanya.
Terdahulu, Najib turut menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) menerusi najib@1malaysia.com.my kepada seluruh rakyat Malaysia sempena Hari Bapa, dengan harapan supaya rakyat negara ini bersama-sama menyambut Hari Bapa bersama ayahanda masing-masing.

“Marilah kita menyambut Hari Bapa bersama ayahanda tersayang. Ikhlas dari Najib Razak dan keluarga,” menurut teks SMS berkenaan.

Sumber : Berita Harian, 19/06/2011

Wahai Najib dan Para Bapa! Selayaknya Coretan Fb Kamu Adalah: “Pelihara Diri Kamu dan Keluarga Kamu dari Api Neraka”.

Sewajarnya Najib mengingatkan dirinya dan juga kepada para bapa yang lain agar menjaga diri dan keluarga masing-masing dari api neraka dengan memastikan setiap pihak menunaikan kewajiban masing-masing terhadap perintah dan larangan Allah SWT. Ini selaras dengan firman Allah SWT: “

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”. [TMQ at-Tahriim (66) : 6].

Dengan suasana kehidupan yang didominasi oleh pemikiran sekular dan cara hidup kapitalisme, hasil dari pemerintahan sekular yang diterajui dan yang diteruskan oleh Najib dari pemerintahan yang sebelumnya, maka pada hari ini kita dapat melihat bagaimana terdapat ramai para bapa yang membiarkan dan mengambil mudah hal anak-anak mereka. Ini terutama yang berkaitan dengan persoalan halal dan haram. Para bapa yang menjadi ketua bagi sesebuah unit keluarga ini sering dilihat membiarkan anak-anak yang di bawah tanggungjawab mereka melanggar dan mengabaikan hukum syara’. Ketika ini kita dapat melihat bagaimana kehidupan golongan remaja yang begitu bebas tanpa batas dalam pergaulan sehari-harian mereka. Sebagai contoh, perkara yang paling ketara ialah bagaimana begitu ramai para bapa yang tidak memperdulikan keluarga mereka berhubung dengan persoalan hukum-hakam syara’. Lihatlah realiti masyarakat muslim hari ini dalam soal aurat dan pergaulan anak-anak remaja mereka. Apakah Najib peka dengan soal ini? Faktanya, budaya hidup Barat yang bersifat kebinatangan telah melatar belakangi kehidupan keluarga muslim hari ini. Keadaan ini berlaku akibat dari pengabaian yang dilakukan oleh ketua unit sesebuah keluarga (si bapa) dan keadaan ini diperparah lagi apabila negara sebagai sebuah institusi yang terpenting dalam pembentukan masyarakat telah membuang syariah di dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Di sini sekali lagi Najib bertanggungjawab sepenuhnya. Lihat: Membentuk Sebuah Keluarga Islam: www.mykhilafah.com/fokus-muslimah/1216

Sumber dari: http://mykhilafah.com/

Kebebasan dan Hak Asasi – Mitos Peradaban Barat

altaltPasangan Islam Perancis cabar larangan purdah
 
LONDON 10 Jun – Sepasang suami isteri beragama Islam yang tinggal di Britain mengemukan cabaran di Mahkamah Hak Asasi Eropah terhadap pengharaman pemakaian penutup muka (purdah) di Perancis, kata peguam pasangan itu hari ini.

Pasangan tersebut yang merupakan rakyat Perancis mengemukakan permohonan itu di mahkamah Strasbourg untuk mencabar kerajaan Perancis yang menguatkuasakan pengharaman pemakaian purdah, dengan pasangan itu menyifatkan pengharaman itu sebagai ‘tidak perlu, tidak adil dan menyalahi undang-undang’. Mereka mendakwa pengharaman itu menyekat hak mereka untuk bergerak bebas di Eropah, petik kenyataan yang dikemukan kepada pihak mahkamah. Isteri tersebut menuntut ganti rugi sebanyak AS$16,400 (RM50,000) kerana dituduh melanggar hak asasi manusia. Pasangan tersebut kini tinggal di England bersama dua anak mereka. - AFP

Sumber : Utusan Online, 10/06/2011
 
Kebebasan dan Hak Asasi – Mitos Peradaban Barat


Inilah salah satu daripada bukti hipokrasi dan double-standard Barat! Kononnya mereka menggelar diri mereka pejuang kebebasan dan hak asasi, namun ini cumalah dalam acuan mereka. Mana tidaknya, sekiranya umat Islam hendak “bebas” melaksanakan tuntutan Islam, pelbagai halangan diletakkan. Padahal dalam masa yang sama mereka membenarkan kewujudan parti-parti seks serta pantai bebas berbogel di Perancis atas alasan  kebebasan peribadi. Sudah acap kali kita mendengar tekanan yang dihadapi oleh umat Islam di negara kuffar Barat, namun setiap kali itu jugalah kita melihat sikap tidak peduli dan membisu serta kaku pemimpin umat Islam dari mempertahankan kehormatan umat Islam. Kes-kes seperti penghinaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW, perlecehan terhadap masjid, mencabar syariah Islam dan sebagainya akan berlalu begitu sahaja tanpa ada pembelaan dan penyelesaian yang tuntas daripada para penguasa umat Islam.

Dalam pada umat Islam ditekan oleh para pemerintah kuffar, yang lebih jelek adalah para pemimpin kaum muslimin sendiri turut melakukan tekanan ke atas umat Islam. Di seluruh dunia Islam peradaban serta undang-undang kufur dicedok dan diterapkan. Para pemerintah umat Islam tanpa segan silu menghalang aktiviti dakwah dalam mengembalikan Islam ke dalam kehidupan serta menghalang seruan agar umat bersatu di bawah panji-panji Islam. Hakikatnya, kes yang berlaku di Perancis sekarang cumalah satu bab sahaja daripada pelbagai masalah yang melanda  umat Islam. Semua ini adalah kesan daripada tidak diterapkannya Islam dalam kehidupan bernegara serta jauhnya umat dari pemikiran ideologi Islam. Akibatnya, maruah umat Islam menjadi murah dan nasib mereka bebas diperdagangkan oleh saudagar-saudagar imperialis Kapitalis. Para pemimpin kuffar hari ini begitu berani menyulitkan urusan umat Islam kerana mereka tahu bahawa umat Islam pada masa ini tiada pelindung dan tiada pembela. Yang ada cumalah boneka-boneka sekular yang akan menurut kehendak mereka dan bermatian-matian mempertahankan perlembagaan kufur di negeri masing-masing.

Ayuhlah wahai seluruh umat! Sama-samalah kita bergerak melakukan perubahan dengan mengembalikan kehidupan Islam dalam bernegara dan bermasyarakat. Semoga dengan ini kegemilangan serta kepimpinan dunia akan kembali ke tangan umat Islam!


Sumber dari: http://mykhilafah.com

@@ Followers @ @

Pembaca Berita PANAS!

Popular Posts