KUALA LUMPUR - Polis masih belum dapat memastikan sama ada seutas gelang emas yang ditemui di sebatang tali air berdekatan kunci air di Kampung Sungai Lang, Banting kelmarin merupakan milik jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang dibunuh kejam bersama tiga lelaki pada 30 Ogos lalu.
Sumber memberitahu, gelang tersebut telah dihantar ke Jabatan Kimia bersama dengan bahan bukti lain yang ditemui sebelum ini untuk melalui ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA).
"Gelang tersebut belum lagi ditunjukkan kepada ahli keluarga mangsa. Mereka akan dipanggil untuk melakukan pengecaman dalam tempoh terdekat," katanya.
Sementara itu, lapan individu termasuk dua wanita yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik, Sosilawati dan tiga yang lain dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani ujian DNA semalam.
Dipetik dari: http://kosmo.com.my