CAPE TOWN - Jurulatih Belanda, Bert van Marwijk berjaya melaksanakan tangunggjawabnya dengan cemerlang selepas membawa skuad kendaliannya itu mara ke perlawanan akhir Piala Dunia 2010.
Kejayaan tersebut hadir selepas anak-anak buahnya menumbangkan cabaran Uruguay 3-2 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Green Point awal pagi semalam.
Van Marwijk yang mula membimbing skuad Oranje pada 2008 berkata, penantian selama 32 tahun bagi menyaksikan Belanda beraksi di pentas final ternyata berbaloi dan kini sasaran mereka adalah untuk menjulang trofi Piala Dunia.
"Sudah tentu saya sangat gembira dan bangga dengan pencapaian ini kerana bagi sebuah negara kecil seperti Belanda kejayaan beraksi di pentas final kejohanan dunia, memang sungguh mengujakan.
"Ini merupakan hasil kerja keras saya selama dua tahun lalu dan seperti yang saya selalu katakan bagi mencapai sesuatu, kamu perlu mempercayainya serta berusaha ke arah itu," kata Marwijk.
Pada aksi awal pagi semalam, tiga jaringan Belanda dihasilkan menerusi kapten, Giovanni van Bronckhorst, Wesley Sneijder dan Arjen Robben manakala gol Uruguay disumbangkan Dieogo Forlan dan Maxi Pereira.
|
|
Mengulas mengenai aksi yang dipamerkan anak-anak buahnya pada perlawanan tersebut, van Marwijk mengakui yang pemain-pemainnya gagal beraksi pada tahap sebenar mereka ketika babak pertama.
"Kami bermula dengan baik sehingga berjaya menguasai perlawanan dan mendapat keyakinan untuk bermain dengan teratur dan lebih berani bagi melancarkan serangan.
"Tidak dinafikan, barisan tengah kami pada babak pertama sedikit goyah tetapi kami berjaya baiki sebaik babak kedua bersambung dan hasilnya dua gol berjaya dijaringkan," katanya. - AFP
Dipetik dari: http://kosmo.com.my/