My Ping in TotalPing.com

Jom Layan link-link dibawah nie..

Asmaradana Kasyah, Ayu & Azmi





Di dunia, jarang sesebuah novel digarap baik menjadi sebuah filem. Jika ada, bilangannya terlalu minoriti. Namun itu tidak bermakna idea sutradara tidak boleh menandingi idea novelis, sebaliknya imaginasi pembaca telah membuat kebanyakan visual dalam fikiran tidak selari dengan apa yang diterjemahkan.

Bagi novelis Ahadiat Akashah, penantian 25 tahun untuk melihat naskhah ulungnya, Lagenda Budak Setan divisualkan berbaloi.

Lagenda Budak Setan secara harafiahnya berkisar tentang cinta kudus lelaki bernama Kasyah yang digelar 'setan' kerana kenakalannya di sekolah terhadap gadis bernama Ayu.

Cinta mereka bagaimanapun berhadapan pelbagai dugaan sehingga Ayu berkahwin dengan Azmi dan kemudian kemalangan sehingga terpaksa menukar wajah. Kasyah masih setia meladeninya.

Kedengaran jalan ceritanya sebagai cinta yang 'memenatkan'. Namun apabila ia divisualkan, Ayu di tangan Lisa Surihani, Kasyah di tangan Farid Kamil dan Azmi di tangan Que Haidar bagai mempunyai roh tersendiri.

Jika bukan tiga anak seni ini yang membawakan tiga karakter penting naskhah ini, barangkali ia akan menjadi sebuah cinta melankolik yang cukup tipikal dan memualkan.

Selaku penerbit dan pengarah, Sharad Sharan telah melakukan pemilihan yang bijak. Secara total, filem yang bakal menyerang pawagam esok hari dengan tayangan perdananya ini begitu memuaskan.

Khalayak tidak akan dihidangkan dengan sebuah naskhah tipikal. Ya, ia sebuah kisah cinta yang begitu melankolik. Realistiknya terkadang lari dari landasan, namun bagi sesiapa yang membesar dengan membaca novel hebat Budak Setan, anda akan mengetahui apa yang divisualkan oleh Sharad dan produksinya sampai tepat kepada audiens.

Sekurang-kurangnya 70 peratus filem ini divisualkan dengan baik berdasarkan novel setebal 500 muka surat ini.


BARISAN pelakon dan produksi Lagenda Budak Setan bersedia untuk tayangan filem ini bermula esok.


Selaku teraju utama filem ini mengaku, membawa karakter Kasyah adalah satu tuntutan yang agak 'mengerikan' dirinya. Apatah lagi apabila mengenangkan Kasyah adalah karakter imaginasi banyak remaja lelaki - nakal dan pintar. Sementelah impak Kasyah dalam kehidupan pembaca novel ini cukup besar.

"Tapi Alhamdulillah, saya rasa saya telah membawakan karakter ini dengan baik. Saya akui, saya tidak pernah membawa novel ini sehingga saya dilamar untuk berlakon dalam filem ini.

"Kemudian saya baru mula membaca dan apabila mendapat skrip, saya tidak lagi mengikut aturan skrip dengan banyak. Sebaliknya saya merujuk kepada novel ini untuk mendalami Kasyah," katanya yang ditemui usai majlis pratonton filem tersebut baru-baru ini.

Menurut Farid yang menganggap pemilihan dia dan Lisa adalah pemilihan 'bijak' dan 'selamat' memandangkan mereka bukan pasangan asing di layar kaca mahu pun filem, sifat kudus dan pendamba setia Kasyah bukan cermin bagi diri seorang Farid Kamil.

Tersenyum dan beberapa kali mengangguk memahami soalan, kata Farid ringkas: "Saya tidak akan membuang masa menanti sesuatu perkara seperti ini (cinta)."


TERAJU utama. Dari kiri: Lisa Surihani, Farid Kamil dan Shiqin Kamal.


Sementara bagi Lisa Surihani yang menunjukkan prestasi lakonan memberangsangkan malah terlihat lebih berani dalam beberapa adegan romantis bersama Farid, terlibat dalam produksi ini adalah satu penghormatan baginya.

Sudah terbiasa berdamping dengan Farid, dia masih kekok untuk 'dipeluk cium' aktor tersebut. Namun sebagai seorang pelakon profesional, dia masih membataskan dirinya dalam hal-hal yang akan mengundang sensitiviti khalayak.

"Saya bersyukur kerana diberi kepercayaan membawa watak Ayu dan terlibat dalam projek besar ini. Berlakon dengan Farid juga tidak memberi saya masalah memandangkan kami sudah biasa berganding bersama," katanya.

Ahadiat puas hati

Mahu melihat persepsi pemilik naskhah ini, Ahadiat Akashah secara keseluruhan berkata dia amat berpuas hati dengan kerja Sharad. Malah tanpa selindung, Ahadiat turut menyatakan penantian 25 tahunnya berbaloi.

"Secara keseluruhan, saya amat berpuas hati dengan Lagenda Budak Setan versi filem. Saya rasa saya tidak salah menyerahkan kepercayaan kepada Sharad untuk merealisasikannya dalam bentuk filem.


LAKONAN Que Haidar sebagai Azmi yang terlalu mencintai Ayu (Lisa Surihani) tetapi sanggup menyakiti wanita itu cukup mengesankan.


"Saya juga cukup berterima kasih dengan semua tenaga produksi dan barisan pelakon yang menjayakan filem ini," ujar Akashah yang tidak turun ke lokasi penggambaran kerana tidak mahu menganggu kreativiti Sharad menyiapkan naskhahnya dalam bentuk filem.

Malah sewaktu ditanya tentang perbandingan filem saga romantik, Twillight dengan Lagenda Budak Setan, Ahadiat pantas menjawab: "Saya rasa Lagenda Budak Setan lebih hebat daripada saga Twillight. Saya fikir, inilah saga cinta yang boleh dijadikan kisah terbaik di Malaysia, Insya-Allah," kata Ahadiat penuh gembira.

Bagi Sharad yang sebelum ini mempunyai portfolio sebagai pengarah yang dikenali mempunyai sulaman Bollywood, dia memandang Lagenda Budak Setan sebagai naskhah wajib divisualkan kerana impaknya dalam dunia penulisan.

Walaupun tidak mengetahui kisah novel ini sebelum ini, dia mengambil risiko untuk mengadaptasi novel ini dalam sebuah filem dengan baik.

"Saya melihat nilai di dalam novel ini baik kalau diterjemahkan dalam sebuah filem. Selepas berbincang dengan Ahadiat dan memilih pelakon, walaupun pada mulanya saya agak berdebar untuk mengarahkannya, tapi apabila kami memulakan produksi, kerjasama semua pihak telah membuatkan filem ini sukses," katanya tentang filem dengan bajet RM1.6 juta ini.


Sumber dari : http://kosmo.com.my

@@ Followers @ @

Pembaca Berita PANAS!

Popular Posts