My Ping in TotalPing.com

Jom Layan link-link dibawah nie..

Pak Nil lawat SKSS





BIAR peluh membasahi pipi dan matahari berada tegak di atas kepala, itu bukan suatu masalah besar buat pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Sri Serdang (SKSS), di Selangor, untuk tetap berdiri menanti kedatangan idola mereka yang juga pelakon, pengacara dan penyampai radio terkenal iaitu Aznil Nawawi.

Terdiri daripada pelajar darjah satu hingga darjah enam, mereka semua berasa teruja apabila Aznil atau mesra disapa Pak Nil yang selama ini hanya ditonton di kaca televisyen dan suaranya hanya kedengaran di corong radio benar-benar berdiri di depan mata mereka.

Lebih bermakna kedatangan Pak Nil adalah bersempena siri promosi kempen ReadMalaysia 2010, sementelah dia dipilih menjadi duta kempen tersebut dan SKSS menjadi sekolah pertama terpilih dalam siri promosi itu.

"Saya rasa diberi tanggungjawab besar apabila dipilih jadi duta kempen ini. Ini kerana budaya membaca tidak pernah menjadi budaya masyarakat Malaysia.

"Oleh sebab itu, kita harus bentuk budaya ini sejak mereka kecil lagi. Selain bagus untuk pelajaran mereka, membaca juga menjadikan mereka seorang berani dalam meluahkan pendapat kerana mereka mempunyai ilmu," ujarnya pada majlis sidang media.

Tambahnya lagi yang menggemari buku motivasi, dilantik sebagai duta sebuah kempen yang memberi input positif terhadap perkembangan rakyat Malaysia adalah satu tanggungjawab yang besar.

Bahkan, dia merasakan dirinya lebih dihargai apabila dipilih menjadi duta 'ilmuan' kerana pemilihan dilakukan bukan berdasarkan populariti sebaliknya pencapaian, latar belakang pendidikan dan kepercayaan pihak penganjur terhadap kredibiliti Aznil.

Duda berusia 48 tahun itu memberitahu, dia pernah mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan menebusnya kembali dengan keputusan cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

"Seorang guru saya memberitahu, untuk lulus dengan cemerlang sesebuah mata pelajaran saya harus membaca dari kulit depan ke kulit belakang sebanyak 40 kali.

"Syukur, apabila saya mengikut nasihatnya saya mendapat keputusan cemerlang. Di sini saya ingin tekankan membaca sangat penting untuk menambah ilmu dan meningkatkan diri seseorang ke tahap yang lebih tinggi. Nasihat saya, rajin-rajinlah baca buku.

"Purata rakyat Malaysia hanya baca dua buah buku setahun, saya harap jumlah buku itu akan bertambah ke angka yang lebih besar pada tahun akan datang" ujarnya yang memupukkan minat membaca kepada dua orang anaknya.

Petua Aznil, adalah lebih mudah untuk seseorang membaca sesuatu perkara yang diminatinya. Contohnya anak-anak lebih berminat pada komik atau kartun dan remaja perempuan lebih pada novel cinta.

"Kalau kita masuk ke kedai buku ada beberapa bahagian yang dibahagikan mengikut genre buku dan saya rasakan cukup selesa untuk seisi keluarga.

"Begitu juga dengan pameran buku ReadMalaysia 2010 yang mempunyai 500 gerai buku, bermacam-macam genre ada untuk segala peringkat umur ada di situ," jelas pengacara program Jangan Lupa Lirik itu lagi.

Dalam masa yang sama, Aznil juga sempat mengadakan kuiz buat pelajar SKSS seperti pertandingan mengeja dan membaca.


AZNIL berkongsi petua bagaimana untuk lulus cemerlang dalam sesuatu mata pelajaran.


Suasana yang pada mulanya tenang bertukar riuh apabila para pelajar berlumba-lumba mengangkat tangan untuk menjawab soalan yang diajukan Aznil kerana mereka bukan sahaja mendapat hadiah daripada pihak penganjur tetapi juga wang sagu hati pemberian peribadi daripada Aznil.

"Seronok dengan budak-budak sebab mereka jujur. Alhamdulillah, saya bersyukur pada rezeki yang ada. Rezeki yang saya miliki saya kongsi bersama dengan peminat cilik saya.

"Bila saya buat mana-mana persembahan atau siri promosi saya akan beri hadiah berupa wang ringgit kepada mereka menerusi kaedah pertandingan.

"Siapa berani ke depan dialah yang dapat. Bukan apa sesekali sebagai orang dewasa kita kena sogok sikit budak-budak ini supaya mereka berusaha, berani dan rajin," ceritanya lagi.

Menurut wakil pihak penganjur Mines Event Management Sdn. Bhd., Chang Pui Ei, siri promosi hanya dibuat permulaan hanya SKSS dan mungkin akan diperluaskan ke sekolah-sekolah lain pada masa depan.

"Sekarang, kami hanya ke sekolah ini, kalau ada peluang kami tidak keberatan untuk buat promosi dan bekerjasama dengan sekolah lain pula," ujarnya.

Bercakap tentang pemilihan Aznil sebagai duta kempen, Pui Ei menjelaskan pihaknya telah membuat penelitian dan kajian terlebih dahulu.

Berdasarkan kebolehan dan kredibiliti, pihaknya yakin Aznil mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan baik.

"Dia bukan sahaja popular di kalangan orang dewasa tetapi juga dengan kanak-kanak menerusi program Tom Tom Bak dan Macam-Macam Aznil," katanya.

Kempen ReadMalaysia 2010 yang menyasarkan 400,000 pengunjung merupakan satu acara pameran buku secara besar-besaran yang diadakan bermula 4 Jun hingga 13 Jun, dari pukul 11 pagi hingga 10 malam di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC), Mines Resort City yang mana Kosmo! merupakan akhbar rasmi acara itu.

Pelbagai genre buku terdapat di sana, malah beberapa artis terkenal juga bakal hadir untuk memeriahkan lagi acara itu. Aznil akan berada di MIECC pada majlis pembukan acara itu pada 4 Jun dan 5 Jun pada pukul 3 petang.

"Saya juga akan berkunjung ke MIECC daripada semasa ke semasa setiap hari apabila saya ada kelapangan," kata Aznil.


Sumber dari: http://kosmo.com.my

@@ Followers @ @

Pembaca Berita PANAS!

Popular Posts