PETALING JAYA – Mahkamah Rendah Syariah di sini, menetapkan 22 Jun sebagai tarikh sebutan kes fasakh dramatis, Aida Radzwill dengan suaminya, Jeo Radzwill.
Hakim, Ghazali Ahmad membuat penetapan tarikh itu semalam, setelah peguam bela Aida, Nahar Alias mahu menangguhkan prosiding kerana defendan, Joe, tidak hadir ke mahkamah.
Nahar berkata, plaintif (Aida) sudah memfailkan saman terhadap defendan (Joe) dan menghantarnya pada 10 Mei.
“Defendan sudah menerima saman itu daripada saya dan dia berjanji akan datang ke mahkamah tetapi hari ini berlaku sebaliknya,” katanya.
Joe Radzwill, 39, atau nama sebenarnya Ismail Ahmad @ Mohd Radzwill dan Aida atau nama sebenarnya Khalidah Adibah Ahmad, 52, bernikah pada 6 November 2002 di Wilayah Yala, Selatan Thailand.
Aida mendaftarkan pernikahannya pada 3 September 2009 di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Pada 27 April lalu, Aida memfailkan permohonan fasakh di Pejabat Mahkamah Rendah Syariah, Petaling Jaya.
Fasakh merujuk pada pembatalan ikatan nikah oleh Mahkamah Syariah berdasarkan tuntutan isteri atau suami, atau kerana pernikahan itu menyalahi hukum nikah.