MENGIKUTI jejak seniwati veteran, Suraya Haron dan pelakon kacukan, Maya Karin Roelcke, seorang lagi pelakon jelita tempatan bertukar menjadi duyung.
Dalam drama arahan Adam Hamid terbitan Zeel Productions itu, Fasha melakonkan watak utama sebagai Cleo. Drama itu bagi mengisi slot Lagenda di TV3 tidak lama lagi.
Kata Fasha, ia bermula dengan kisah Cleo pergi bercuti di sebuah pulau bagi menghilangkan 'stress' kerana masalah keluarga. Tiba-tiba dia bertemu dengan seekor duyung lelaki yang meninggalkan kehidupan di lautan dan mahu menjalani hidup sebagai manusia biasa. Namun, kerana terlalu rapat, mereka akhirnya jatuh cinta.
Tercetus persoalan, adakah Fasha akan memperdagangkan tubuhnya yang seksi itu untuk menzahirkan watak duyung?
"Memang saya kena pakai sut khas duyung tapi ia tidaklah terlalu seksi. Ia menepati peraturan yang ditetapkan pihak TV3. Sut ini direka khas dan tidak meniru mana-mana sut duyung termasuk yang dipakai Maya Karin dalam filem Duyung. Agak susah juga untuk saya sesuaikan diri dengan sut ini pada mulanya.
"Saya juga kena jalani latihan berenang selama seminggu bagi menyesuaikan diri dengan watak Cleo. Sebenarnya, saya boleh berenang dan sejak kecil lagi tidak takut dengan laut. Sejak 5 Mei lalu saya sudah berkampung di Pulau Lang Tengah dan penggambaran hanya akan berakhir pada 23 Mei nanti. Saya ibaratkan penggambaran ini macam bercuti di pulau.
"Maklumlah sebelum ini saya dah bertungkus-lumus menyiapkan drama Dia Atilia, terbitan Orange Tree Production sebanyak 26 episod untuk Astro Prima. Saya pegang watak utama sebagai Atilia yang bersifat tomboi. Karakternya lebih kasar daripada watak Nia lakonan saya dalam filem 9 September.
"Sejak kebelakangan ini, watak yang saya bawakan mula berbeza berbanding dulu. Watak Cleo dalam Duyung Aridinatha juga agak kasar mulanya.
"Saya juga akan muncul dalam drama Perigi Kontang di TV3 yang akan ditayangkan bulan ini. Drama arahan Yeop Hitler terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd ini menampilkan cerita seorang anak yang terpaksa mewarisi saka ibunya," kata Fasha.
Selain itu dia akan tampil dengan filem terbaru, 4 Madu arahan Profesor Madya A Razak Mohaideen dan Malaysian Ghostly Tales arahan James Lee.
Menyentuh soalan peribadi, Fasha secara jujur akui tidak mahu memikirkan lagi soal jodoh. Setelah dua kali mengalami kegagalan dalam bercinta, dia tidak mahu mengulangi kesilapan lalu.
"Saya tak mahu terlalu mencintai dan dicintai kerana boleh buat hati sendiri terluka. Saya lebih suka bercinta dengan karier dan habiskan masa dengan kerja. Cukuplah saya banyak buat kesilapan dalam hidup dan takkan mengulangi kesilapan sama. Semua yang berlaku saya jadikan pengajaran.
"Ada baiknya saya fokus pada karier dan bergembira dengan keluarga tersayang. Lagipun jadual lakonan saya memang sudah penuh sekarang," katanya yang memilih setiap hujung tahun untuk bercuti bersama keluarga.
Terbabit dalam 15 filem setakat ini dan berlakon lebih 20 drama mampu meletakkan nama Fasha kukuh di persada seni tanah air.
Pencapaian yang diraih dalam tempoh tujuh tahun bermula pada 2004 menerusi watak pembantu dalam filem Black Maria boleh dibanggakan pelakon berusia 26 tahun ini.
Namun, populariti yang diraih turut seiring dengan sensasi dan kontroversi yang melingkari sekitaran karier dan kehidupannya. Ada saja gosip yang diperkatakan mengenai pelakon yang pernah meraih anugerah Pelakon TV Wanita Popular 2005, Pelakon TV dan Filem Popular 2006 serta Pelakon Filem Popular 2007 ini.
Bagaimanapun, tolak tepi segala kontroversi kerana perhatian Fasha sekarang hanya bertumpu kepada lakonan. Mahu membuang jauh-jauh cerita kurang enak sebelum ini, dia menyifatkan kontroversi yang ditimbulkan adalah cerita lama dan tidak perlu diungkit lagi sekarang.
"Saya sibuk dengan tawaran berlakon. Alhamdulillah tawaran tak putus-putus. Kontroversi yang dicetuskan itu hanya cerita lama. Penerbit dan pengarah sekarang tak lagi fikirkan isu remeh-temeh kerana pentingkan artis yang komited dengan kariernya. Jadi, apabila orang hendak kaitkan saya dengan kontroversi, ia adalah isu lapuk.
"Sebab itulah saya masih diambil berlakon kerana komitmen saya dengan kerja mengatasi segala-galanya. Saya juga tiada masalah nak digandingkan berlakon dengan mana-mana pelakon meskipun timbul pelbagai cerita tak elok. Peminat sekarang dah pandai menilai sesuatu cerita apabila fitnah yang dilemparkan tiada kebenarannya.
"Mereka juga menilai bakat dan komitmen pelakon berbanding cerita lain. Benda dah lama dan orang pun dapat menilai semua cerita tak boleh dipercayai bulat-bulat. Peminat adalah simbol kekuatan. Saya bersyukur kerana peminat dan keluarga sentiasa berada di belakang saya.
"Terima kasih juga kepada penerbit dan pengarah kerana lebih mementingkan komitmen seseorang pelakon apabila memberi peluang berlakon daripada melihat cerita remeh- temeh yang ditimbulkan. Biasalah lumrah jadi artis, tak semua yang saya buat akan disukai orang," katanya.
PROFIL
NAMA: Nur Fasha Sandha Hassan
PANGGILAN: Fasha Sandha
TARIKH LAHIR: 28 Mac 1984
TEMPAT LAHIR: Hospital Besar Sultanah Aminah Johor Bahru, Johor
UMUR: 26 tahun
KELUARGA: Anak kedua daripada 4 beradik
PENDIDIKAN: Sekolah Menengah Convent Bukit Mertajam, Pulau Pinang
HOBI: berkunjung ke gim, membaca novel
FILEM: Black Maria, Berlari Ke Langit, Bintang Hati, Sh3 The Movie, Gong, Anak Mami Kembali, Nana Tanjung, Nana Tanjung2, Cicakman, Cicakman2, Cinta, Skrip 7707, Evolusi Kl Drift, Badai Pasti Berlalu dan 4 Madu
DRAMA TV: Natasha - TV3, Natasha2 - TV3, Quran Buruk - ASTRO RIA, Songket Cinta Bertenun Duka - TV3, Rumah Itu Dunia Aku - ASTRO RIA, Mentari Jingga - ASTRO RIA, Kehangatan Lantana - TV3, Keliwon The Series - TV3, (Santau, Anak Belaan), Akukah Perempuan Itu - TV3, Impak Maksima The Series - TV3, Kontrak Cinta - TV3, Madu Di Tasik Hempedu, Khilaf -TV9, Tersahut - RTM 2, SpaQistina 13 episod - ABO Channel, Dia Atilia 26 episod - Astro Prima dan Bagaikan Sumayyah - Cerekarama TV3
PROJEK TERBARU: drama Perigi kontang TV3- arahan Yeop Hitler Terbitan GBSB, Duyong aridinatha 20 episod TV3- arahan Adam Hamid terbitan Zeel Production, filem 'Malaysia Ghostly Tales'- arahan James Lee terbitan Double Vision. Model untuk Slimming Sanctuary 2010 dan model komersial Tv untuk Habib 2009 dan 2010.