My Ping in TotalPing.com

Jom Layan link-link dibawah nie..

Din Binjai Nafi Rahimi Diugut Tandatangani Akuan Bersumpah


PETALING JAYA 14 Okt - Exco Pemuda Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Amizuddin Ahmat aka Din Binjai menafikan dakwaan bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammad Rahimi Osman bahawa beliau dipaksa dan diugut semasa membuat akuan sumpah berhubung kes fitnah 2 terhadap Anwar.Pada sidang media yang diadakan di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) tengahri tadi, Amizuddin menjelaskan pada ketika itu, beliau bersama-sama dua individu lagi iaitu bekas pemandu Rahimi, Dzulimran Mohd Nasar dan Dzulkifli Ibrahim yang juga merupakan Exco Pemuda AMK menemani Rahimi ke Quality Hotel di Shah Alam pada malam 28 Jun 2008.

Kami bersama-sama Rahimi pada setiap masa dan beliau bebas bergerak ke mana sahaja, membuat panggilan telefon dan beliau juga bebas berjumpa dengan sesiapa sahaja. "Pada malam 29 Jun 2008 pula, Rahimi mengajak kami menonton perlawanan bola sepak 'Final Euro Cup' menaiki keretanya di Seri Pentas, Damansara.
"Selepas itu, kami juga pergi minum di satu kedai mamak sebelum pulang ke hotel, kami bersama Rahimi daripada 28 Jun sehingga 1 Julai 2008," jelas beliau dalam sidang media tersebut.
Malah katanya lagi, Rahimi juga memperkenalkan ahli keluarganya ketika berada di hotel tersebut.
Sementara itu, peguam, N Surendran berkata dakwaan Rahimi bahawa beliau telah dipaksa merupakan satu tuduhan yang sangat serius.
"Keterangan ketiga-tiga saksi ini adalah bertentangan dengan apa yang dilaporkan oleh Rahimi. Ini bermakna, apa yang dinyatakan oleh beliau adalah tidak benar.
"Apa yang menghairankan, mengapa Rahimi mengambil masa dua tahun untuk menukar akuan sumpah yang beliau buat dahulu," soal beliau.
Ketua Penerangan KEADILAN yang juga merupakan peguam yang mewakili Rahimi semasa itu, Latheefa Koya sekali lagi menegaskan bahawa tidak ada paksaan dan ugutan ketika menyediakan akuan sumpah tersebut.
Menurut Latheefa, bagi dua akuan sumpah seorang lagi bekas pembantu Anwar, Rasid yang turut menukar akuan sumpahnya semalam telah disediakan oleh peguam beliau, Saiful Izham Ramli manakala akuan sumpah yang kedua telah disediakan oleh beliau sendiri.
rasid

"Untuk akuan sumpah yang pertama ianya telah disaksikan oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong yang merupakan Pesuruhjaya Sumpah pada ketika itu.
"Ketika disoal oleh pihak polis, saya telah menyatakan dengan jelas bahawa Choo Keong menjadi Pesuruhjaya Sumpah kepada akuan sumpah yang pertama manakala akuan sumpah yang kedua pula oleh peguam, S Selvarajah.
"Choo Keong harus memberikan penjelasan mengapa beliau secara melulu menyalahkan saya dan mengatakan sesuatu yang tidak kena dengan akuan sumpah tersebut, adakah beliau terlibat seperti yang didakwa Rahimi?," soal Latheefa.
Dalam pada itu, Surendran turut meminta pihak polis mengambil tindakan terhadap Rahimi dan Rasid (Rosdi)yang secara jelas telah melanggar undang-undang di bawah seksen 199 kanun keseksaan, di mana mereka telah membuat akuan sumpah palsu.
Semalam Rasid Rosdi, seorang lagi bekas pembantu Ketua Oposisi, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat laporan di balai polis Shah Alam, mendakwa akuan bersumpah yang ditandatanganinya pada 2008 dibuat secara paksaan.
Rasid berkata beliau menurunkan tandatangannya kerana risaukan keselamatan diri dan keluarganya.


Dipetik dari: http://www.tranungkite.net/

JURI GLAMOR: MARI MENARI




PROGRAM realiti TV terbaru terbitan Astro, Mari Menari yang akan mula menemui penonton mulai esok, 16 Oktober ini pastinya sangat-sangat dinantikan. Ini kerana program TV terbaru ini sememangnya memiliki sedikit kelainan meskipun menggunakan konsep yang hampir sama dengan Sehati Berdansa.
Mungkin ramai yang sudah tahu, peserta yang bakal bertanding dalam rancangan ini merupakan khalayak yang terdiri daripada pasangan adik-beradik, ibu atau bapa dan anak serta pasangan suami isteri. Ia berbeza dengan Sehati Berdansa sebelum ini yang mengenengahkan pasangan selebriti sebagai peserta.
Selain pemilihan Awal Ashaari dan Lisa Surihani sebagai kali pertama digandingkan sebagai pasangan pengacara sudah diketahui ramai, nama-nama juri tetap yang juga merangkap mentor kepada pasangan yang bertanding telah diumumkan sebelum ini.
Bagaimanapun, program realiti TV yang buat julung-julung kalinya diadakan ini pastinya menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak. Ini kerana empat orang selebiti iaitu Ferhad, Zul Huzaimi, Erra Fazira dan Lisdawati telah dipilih untuk memikul tugas sebagai juri tetap dan mentor kepada 12 peserta yang bertanding.

FERHAD


Umum mengetahui bahawa keempat-empat selebriti tersebut langsung tidak pernah terbabit secara serius dalam bidang tarian.
Misalnya, Lisdawati yang lebih terkenal sebagai seorang model dan pelakon, Ferhad yang dikenali sebagai seorang penyanyi sepenuh masa, manakala Erra Fazira pula lebih banyak terbabit dalam lakonan dan nyanyian serta Zul Huzaimy yang juga merupakan seorang dramatis yang cukup terkenal dengan kewibawaan lakonannya.
Meskipun menyedari akan ada suara-suara sumbang yang mempertikaikan pemilihan keempat-empat selebriti ini sebagai juri dan mentor, tetapi masing-masing ada alasan tersendiri untuk menggalas tanggungjawab yang telah diberikan kepada mereka.
Salah seorang juri dan mentor yang juga pemenang program Sehati Berdansa musim pertama, Lisdawati memberitahu dia akan menggunakan segala pengalaman yang diperoleh ketika menyertai program tersebut. Menurutnya, dengan pengalaman yang ada diharap sedikit sebanyak dapat membantu dirinya menjadi seorang juri dan mentor yang baik.
“Sudah tentu saya sangat teruja kerana saya sememangnya langsung tidak memiliki asas dalam tarian. Apatah lagi minat dalam bidang tarian sudah ada dalam diri sejak dahulu lagi tetapi tidak dapat mempelajarinya kerana tentangan keluarga.
“Dengan peluang yang diberikan ini, saya akan gunakan sebaik mungkin untuk memberikan segala ilmu dan pengalaman yang telah diperoleh semasa menyertai Sehati Berdansa musim kedua kepada peserta yang berada di bawah saya,” ujar Lisda yang berpasangan dengan suaminya, Fauzi Nawawi ketika menjuarai program tersebut.
Menilai langkah tarian
Menurut Lisdawati lagi, sebagai langkah persediaan sebelum rancangan ini bermula, dia mengakui kerap menyaksikan program-program tarian di kaca TV dan video untuk mendapatkan lebih banyak lagi info serta maklumat tentang perkara-perkara yang baru dalam bidang tarian.

LISDAWATI


Sementara Ferhad yang turut dilantik sebagai juri dan mentor untuk rancangan tersebut pula memberitahu pemilihannya itu dianggap sebagai satu penghormatan buat dirinya meskipun ia merupakan sebuah program realiti TV yang khusus kepada bidang tarian.
“Seperti yang sedia maklum, saya hanya dikenali sebagai seorang penyanyi tetapi itu tidak bermakna saya tidak layak untuk terbabit dalam program ini. Kalau dilihat program-program realiti TV di luar negara, pemilihan juri tidak hanya tertumpu pada sesuatu bidang sahaja. Pada pandangan saya, langkah yang diambil oleh pihak Astro ini adalah supaya program ini nampak lebih menarik lagi.
“Lagipun peranan saya sebagai juri nanti adalah untuk memberi komen kepada peserta daripada segi persembahan mereka sahaja, bukan dari sudut teknikal kerana pada pertandingan itu nanti telah dilantik seorang juri yang profesional dalam bidang tarian,” ujar Ferhad yang popular dengan lagu Kasih Berubah.
Sementara itu, dramatis terkenal, Zul Huzaimy pula merasakan tanggungjawab untuk menjadi juri dan mentor dalam program dilihat bukan satu masalah yang besar buat dirinya. Walaupun pada asalnya dia sendiri tertanya-tanya kenapa dirinya dipilih, tetapi dia melahirkan rasa gembiranya dan begitu bersemangat untuk terbabit dalam program ini.

BARISAN peserta musim pertama Mari Menari.


“Sudah tentu saya akan menggunakan segala pengalaman dan kemahiran sebagai seorang pelakon serta sedikit ilmu asas dalam tarian yang pernah saya pelajari dahulu ketika menuntut dalam jurusan teater di Akademi Seni Kebangsaan.
“Lagipun penglibatan saya sebagai seorang juri nanti bukan hanya menilai gerak tarian, tetapi keseluruhan persembahan mereka ketika beraksi di atas pentas. Untuk pertandingan itu nanti, saya bukan hanya mahu melihat peserta yang dapat menghafal langkah tarian sahaja, malah mampu untuk menjadi penghibur,” ujarnya.
Beritahu Zul Huzaimy pula, tugasnya bersama juri-juri yang lain nanti adalah memberikan kritikan kepada semua 12 peserta yang bertanding semasa hari persembahan setiap minggu.
Sementara, peranannya sebagai mentor pula adalah untuk memberikan bimbingan seperti teguran.

Dipetik dari: http://kosmo.com.my/

Takut PERPISAHAN terjadi: Jac dalam Dilema


JACLYN VICTOR


BERTUNANG sejak Disember 2006, ramai sebenarnya yang tertanya-tanya apakah status penyanyi, Jaclyn Victor bersama kekasih hatinya, Chris Bellamy. Belum lagi mahu mendirikan rumah tangga, Jaclyn yang mesra dengan panggilan Jac memberitahu mereka selesa dengan kehidupan sekarang.
Walaupun pernah berbincang mengenai perkahwinan, hubungan jarak jauh antara Jac dan Chris menjadi penghalang utama. Chris sedang bekerja di London dan Jac pula sibuk dengan kariernya di Malaysia.
“Kami ada berbincang mengenai perkahwinan tetapi dia tidak boleh menetap di Malaysia dan saya juga tidak boleh meninggalkan karier saya di sini. Jadi jika kami kena berpisah, mengapa perlu berkahwin?
“Lebih baik kami mengekalkan hubungan sebegini. Lagipun berkahwin bukan satu keputusan yang senang dibuat. Ia satu langkah besar dan banyak aspek yang perlu diambil kira.
“Maka, adalah lebih baik kami mengekalkan hubungan pertunangan sahaja buat masa ini,” kata Jac ketika ditemui pada sidang media mempromosikan persembahannya bersama Persatuan Kebajikan Kanser Payu Dara Malaysia, baru-baru ini.
Kali terakhir melawat Jac adalah April lalu dan Chris selalunya akan menghabiskan masa sebulan bersama penyanyi itu. Berkenalan dengan Chris pada tahun 2003 ketika Jac menyanyi di KL Plaza, Jac menyatakan dirinya sudah biasa berjauhan dengan tunangnya.
“Keadaan ekonomi di United Kingdom tidak begitu baik. Jadi saya juga tidak boleh meninggalkan Malaysia dan bekerja di sana. Lagipun saya sudah biasa berjauhan dengan dia. Pada mulanya saya memang sedih.
“Tapi lama-kelamaan, saya sudah biasa. Lagipun kami berhubung setiap hari. Ia bukan satu masalah besar,” jelas Jac lagi.
Dilihat menerusi teater muzikal Cuci 2, Jac akan berlakon jika diberi peluang. Cuma menyanyi merupakan keutamaan buat dia. Jac juga baru-baru ini telah menolak tawaran berlakon dalam drama kerana jadual kerja yang padat.
“Setakat ini saya belum mendapat sebarang tawaran untuk filem. Tapi anda akan melihat saya dalam karya Apalam arahan Afdlin Shauki. Ia merupakan versi filem Tamil, Papadom. Selain daripada itu, saya ada ditawarkan untuk berlakon dalam dua drama. Cuma saya menolak kerana jadual kerja yang padat,” ujarnya lagi.
Bakal melancarkan album 3 Suara yang merupakan kerjasama antara Ning Baizura dan Sheila OIAM, mereka bertiga memulakan rakaman sejak Mac lalu. Ia dijangka menemui peminat sekitar hujung tahun ini.
Sebelum menghiburkan peminat dengan album baru, peminat Jac boleh menyaksikan persembahannya pada 31 Oktober ini, pukul 11 malam, di Hard Rock Cafe. Persembahan itu yang merupakan kerjasama dengan Persatuan Kebajikan Kanser Payu Dara Malaysia diadakan untuk meningkatkan kesedaran ramai mengenai kanser payu dara.
“Saya mempunyai kawan yang baru menjalani pembedahan akibat kanser payu dara. Tidak kira berapa usia anda, anda perlu menjalankan pemeriksaan. Selalunya orang tidak akan mengambil kisah sehingga sakit.
“Selain boleh menyalurkan maklumat, saya juga berpeluang untuk menghiburkan peminat saya. Sudah lama saya tidak mengadakan showcase. Kali terakhir adalah pada September 2007. Jadi saya boleh menggunakan peluang ini untuk bermesra dengan mereka,” katanya yang akan menyampaikan kira-kira 20 buah lagu.
Bagi mereka yang berminat, anda boleh membeli tiket
dengan harga RM55 (termasuk satu minuman ringan). Untuk sebarang keterangan lanjut, sila hubungi Hard Rock di talian 03-2715 5555.

Dipetik dari: http://kosmo.com.my/

@@ Followers @ @

Pembaca Berita PANAS!

Popular Posts