My Ping in TotalPing.com

Jom Layan link-link dibawah nie..

Takut PERPISAHAN terjadi: Jac dalam Dilema


JACLYN VICTOR


BERTUNANG sejak Disember 2006, ramai sebenarnya yang tertanya-tanya apakah status penyanyi, Jaclyn Victor bersama kekasih hatinya, Chris Bellamy. Belum lagi mahu mendirikan rumah tangga, Jaclyn yang mesra dengan panggilan Jac memberitahu mereka selesa dengan kehidupan sekarang.
Walaupun pernah berbincang mengenai perkahwinan, hubungan jarak jauh antara Jac dan Chris menjadi penghalang utama. Chris sedang bekerja di London dan Jac pula sibuk dengan kariernya di Malaysia.
“Kami ada berbincang mengenai perkahwinan tetapi dia tidak boleh menetap di Malaysia dan saya juga tidak boleh meninggalkan karier saya di sini. Jadi jika kami kena berpisah, mengapa perlu berkahwin?
“Lebih baik kami mengekalkan hubungan sebegini. Lagipun berkahwin bukan satu keputusan yang senang dibuat. Ia satu langkah besar dan banyak aspek yang perlu diambil kira.
“Maka, adalah lebih baik kami mengekalkan hubungan pertunangan sahaja buat masa ini,” kata Jac ketika ditemui pada sidang media mempromosikan persembahannya bersama Persatuan Kebajikan Kanser Payu Dara Malaysia, baru-baru ini.
Kali terakhir melawat Jac adalah April lalu dan Chris selalunya akan menghabiskan masa sebulan bersama penyanyi itu. Berkenalan dengan Chris pada tahun 2003 ketika Jac menyanyi di KL Plaza, Jac menyatakan dirinya sudah biasa berjauhan dengan tunangnya.
“Keadaan ekonomi di United Kingdom tidak begitu baik. Jadi saya juga tidak boleh meninggalkan Malaysia dan bekerja di sana. Lagipun saya sudah biasa berjauhan dengan dia. Pada mulanya saya memang sedih.
“Tapi lama-kelamaan, saya sudah biasa. Lagipun kami berhubung setiap hari. Ia bukan satu masalah besar,” jelas Jac lagi.
Dilihat menerusi teater muzikal Cuci 2, Jac akan berlakon jika diberi peluang. Cuma menyanyi merupakan keutamaan buat dia. Jac juga baru-baru ini telah menolak tawaran berlakon dalam drama kerana jadual kerja yang padat.
“Setakat ini saya belum mendapat sebarang tawaran untuk filem. Tapi anda akan melihat saya dalam karya Apalam arahan Afdlin Shauki. Ia merupakan versi filem Tamil, Papadom. Selain daripada itu, saya ada ditawarkan untuk berlakon dalam dua drama. Cuma saya menolak kerana jadual kerja yang padat,” ujarnya lagi.
Bakal melancarkan album 3 Suara yang merupakan kerjasama antara Ning Baizura dan Sheila OIAM, mereka bertiga memulakan rakaman sejak Mac lalu. Ia dijangka menemui peminat sekitar hujung tahun ini.
Sebelum menghiburkan peminat dengan album baru, peminat Jac boleh menyaksikan persembahannya pada 31 Oktober ini, pukul 11 malam, di Hard Rock Cafe. Persembahan itu yang merupakan kerjasama dengan Persatuan Kebajikan Kanser Payu Dara Malaysia diadakan untuk meningkatkan kesedaran ramai mengenai kanser payu dara.
“Saya mempunyai kawan yang baru menjalani pembedahan akibat kanser payu dara. Tidak kira berapa usia anda, anda perlu menjalankan pemeriksaan. Selalunya orang tidak akan mengambil kisah sehingga sakit.
“Selain boleh menyalurkan maklumat, saya juga berpeluang untuk menghiburkan peminat saya. Sudah lama saya tidak mengadakan showcase. Kali terakhir adalah pada September 2007. Jadi saya boleh menggunakan peluang ini untuk bermesra dengan mereka,” katanya yang akan menyampaikan kira-kira 20 buah lagu.
Bagi mereka yang berminat, anda boleh membeli tiket
dengan harga RM55 (termasuk satu minuman ringan). Untuk sebarang keterangan lanjut, sila hubungi Hard Rock di talian 03-2715 5555.

Dipetik dari: http://kosmo.com.my/

@@ Followers @ @

Pembaca Berita PANAS!

Popular Posts