PROGRAM realiti TV terbaru terbitan Astro, Mari Menari yang akan mula menemui penonton mulai esok, 16 Oktober ini pastinya sangat-sangat dinantikan. Ini kerana program TV terbaru ini sememangnya memiliki sedikit kelainan meskipun menggunakan konsep yang hampir sama dengan Sehati Berdansa.
Mungkin ramai yang sudah tahu, peserta yang bakal bertanding dalam rancangan ini merupakan khalayak yang terdiri daripada pasangan adik-beradik, ibu atau bapa dan anak serta pasangan suami isteri. Ia berbeza dengan Sehati Berdansa sebelum ini yang mengenengahkan pasangan selebriti sebagai peserta.
Selain pemilihan Awal Ashaari dan Lisa Surihani sebagai kali pertama digandingkan sebagai pasangan pengacara sudah diketahui ramai, nama-nama juri tetap yang juga merangkap mentor kepada pasangan yang bertanding telah diumumkan sebelum ini.
Bagaimanapun, program realiti TV yang buat julung-julung kalinya diadakan ini pastinya menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak. Ini kerana empat orang selebiti iaitu Ferhad, Zul Huzaimi, Erra Fazira dan Lisdawati telah dipilih untuk memikul tugas sebagai juri tetap dan mentor kepada 12 peserta yang bertanding.
Umum mengetahui bahawa keempat-empat selebriti tersebut langsung tidak pernah terbabit secara serius dalam bidang tarian.
Misalnya, Lisdawati yang lebih terkenal sebagai seorang model dan pelakon, Ferhad yang dikenali sebagai seorang penyanyi sepenuh masa, manakala Erra Fazira pula lebih banyak terbabit dalam lakonan dan nyanyian serta Zul Huzaimy yang juga merupakan seorang dramatis yang cukup terkenal dengan kewibawaan lakonannya.
Meskipun menyedari akan ada suara-suara sumbang yang mempertikaikan pemilihan keempat-empat selebriti ini sebagai juri dan mentor, tetapi masing-masing ada alasan tersendiri untuk menggalas tanggungjawab yang telah diberikan kepada mereka.
Salah seorang juri dan mentor yang juga pemenang program Sehati Berdansa musim pertama, Lisdawati memberitahu dia akan menggunakan segala pengalaman yang diperoleh ketika menyertai program tersebut. Menurutnya, dengan pengalaman yang ada diharap sedikit sebanyak dapat membantu dirinya menjadi seorang juri dan mentor yang baik.
“Sudah tentu saya sangat teruja kerana saya sememangnya langsung tidak memiliki asas dalam tarian. Apatah lagi minat dalam bidang tarian sudah ada dalam diri sejak dahulu lagi tetapi tidak dapat mempelajarinya kerana tentangan keluarga.
“Dengan peluang yang diberikan ini, saya akan gunakan sebaik mungkin untuk memberikan segala ilmu dan pengalaman yang telah diperoleh semasa menyertai Sehati Berdansa musim kedua kepada peserta yang berada di bawah saya,” ujar Lisda yang berpasangan dengan suaminya, Fauzi Nawawi ketika menjuarai program tersebut.
Menilai langkah tarian
Menurut Lisdawati lagi, sebagai langkah persediaan sebelum rancangan ini bermula, dia mengakui kerap menyaksikan program-program tarian di kaca TV dan video untuk mendapatkan lebih banyak lagi info serta maklumat tentang perkara-perkara yang baru dalam bidang tarian.
Sementara Ferhad yang turut dilantik sebagai juri dan mentor untuk rancangan tersebut pula memberitahu pemilihannya itu dianggap sebagai satu penghormatan buat dirinya meskipun ia merupakan sebuah program realiti TV yang khusus kepada bidang tarian.
“Seperti yang sedia maklum, saya hanya dikenali sebagai seorang penyanyi tetapi itu tidak bermakna saya tidak layak untuk terbabit dalam program ini. Kalau dilihat program-program realiti TV di luar negara, pemilihan juri tidak hanya tertumpu pada sesuatu bidang sahaja. Pada pandangan saya, langkah yang diambil oleh pihak Astro ini adalah supaya program ini nampak lebih menarik lagi.
“Lagipun peranan saya sebagai juri nanti adalah untuk memberi komen kepada peserta daripada segi persembahan mereka sahaja, bukan dari sudut teknikal kerana pada pertandingan itu nanti telah dilantik seorang juri yang profesional dalam bidang tarian,” ujar Ferhad yang popular dengan lagu Kasih Berubah.
Sementara itu, dramatis terkenal, Zul Huzaimy pula merasakan tanggungjawab untuk menjadi juri dan mentor dalam program dilihat bukan satu masalah yang besar buat dirinya. Walaupun pada asalnya dia sendiri tertanya-tanya kenapa dirinya dipilih, tetapi dia melahirkan rasa gembiranya dan begitu bersemangat untuk terbabit dalam program ini.
“Sudah tentu saya akan menggunakan segala pengalaman dan kemahiran sebagai seorang pelakon serta sedikit ilmu asas dalam tarian yang pernah saya pelajari dahulu ketika menuntut dalam jurusan teater di Akademi Seni Kebangsaan.
“Lagipun penglibatan saya sebagai seorang juri nanti bukan hanya menilai gerak tarian, tetapi keseluruhan persembahan mereka ketika beraksi di atas pentas. Untuk pertandingan itu nanti, saya bukan hanya mahu melihat peserta yang dapat menghafal langkah tarian sahaja, malah mampu untuk menjadi penghibur,” ujarnya.
Beritahu Zul Huzaimy pula, tugasnya bersama juri-juri yang lain nanti adalah memberikan kritikan kepada semua 12 peserta yang bertanding semasa hari persembahan setiap minggu.
Sementara, peranannya sebagai mentor pula adalah untuk memberikan bimbingan seperti teguran.
Dipetik dari: http://kosmo.com.my/