PASIR MAS: Seorang pemandu van rentung, manakala empat penumpang cedera selepas kenderaan dinaiki terbalik dan terbakar apabila bertembung sebuah kereta di Kilometer 13.5, Simpang Tiga, Banggol Petai, Jalan Lubok Jong, di sini, semalam.
Ketika kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Ab Razak Lah, 71, dalam perjalanan dari Gua Musang ke Narathiwat, Thailand.
Semua penumpang warga Thailand yang cedera ialah Kris-dan Hussin, 18, dan tunangnya, Safira Budur, 17, pasangan suami isteri, Sulaiman Hussin, 20, dan Che Sharifah Che Esa, 16, menerima rawatan di Hospital Pasir Mas.
Turut cedera, pemandu kereta jenis Suzuki Swift, Md Afiq Azfar Sayuti, 19.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dipandu dari arah bertentangan memasuki laluan van.
Beliau berkata, akibat pertembungan itu van berkenaan terbalik ke kawasan cerun sebelah kiri jalan menghala ke Pasir Mas sebelum terbakar.
Sementara itu, Krisdan berkata, mereka bertolak dari Gua Musang kira-kira jam 3.30 pagi untuk menziarahi saudaranya yang meninggal dunia di Narathiwat.
Krisdan yang duduk di sebelah pemandu berkata, selepas menyedari terdapat api di bahagian depan kenderaan, dia segera memecahkan cermin menggunakan siku untuk menyelamatkan diri menerusi tingkap, manakala tiga lagi keluar melalui pintu.
“Kami cuba menyelamatkan pemandu tetapi gagal kerana dia tersepit dalam kenderaan,” katanya yang pergi ke Gua Musang untuk mencari pekerjaan sebagai penoreh getah bersama saudaranya.