BAGHDAD - Penduduk minoriti Kristian Iraq sedih dan takut semalam selepas kumpulan militan merampas sebuah gereja di sini dan menahan sejumlah 120 penganutnya sebagai tebusan sebelum mereka diserbu oleh pasukan keselamatan Iraq.
Serangan yang berlaku kelmarin itu menyebabkan sekurang-kurangnya 52 orang terbunuh termasuk 10 anggota polis, dua paderi dan kira-kira lapan penyerang manakala 67 yang lain cedera.
"Keadaan di dalam gereja menyerupai lokasi pembunuhan beramai-ramai dan kini, mereka (pihak berkuasa) membersihkannya," kata seorang penganut Kristian, Raed Hadi.
"Apa lagi yang harus saya katakan, saya telah kehilangan sekurang-kurangnya 20 rakan dalam serangan ini," tambahnya.
Beberapa sumber berkata, setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada tebusan-tebusan itu dibunuh oleh penyerang atau maut terkena tembakan pasukan keselamatan semasa operasi menyelamat dilancarkan.
Jurucakap tentera di sini, Mejar Jeneral Qassim al-Moussawi semalam berkata, pasukan keselamatan menangkap lima suspek termasuk beberapa warga asing.
Sebuah kumpulan yang memiliki hubungan dengan Al-Qaeda mengaku melakukan serangan itu.
Bilangan penduduk Kristian di Iraq berkurangan dengan mendadak sejak pencerobohan Amerika Syarikat (AS) pada 2003 setelah ramai yang melarikan diri ke luar negara. - AP