BAITULMUQADDIS - Pemerintah Israel semalam meluluskan rang undang-undang yang memerlukan warga bukan Yahudi mengangkat sumpah taat setia.
Menurut Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, seramai 22 anggota Kabinet meluluskan satu pindaan draf undang-undang itu.
Menerusi undang-undang itu, warga baru bukan Yahudi perlu mengangkat sumpah menyatakan kesetiaan ke atas sebuah negara Yahudi.
Namun, undang-undang itu perlu diluluskan oleh Parlimen.
Media Israel menyatakan semua lima menteri dari Parti Buruh menentang cadangan itu termasuk tiga anggota Parti Likud yang dipimpin Netanyahu.
Netanyahu memberitahu para menteri semasa permulaan mesyuarat itu bahawa cadangan ikrar taat setia itu selari dengan semangat pengasas negara Yahudi.
"Tidak ada demokrasi lain di Asia Barat. Tiada negara Yahudi lain di dunia ini," kata Netanyahu.
Pindaan itu mendapat kutukan dalam kalangan penduduk Arab.
Penduduk Arab mewakili 20 peratus daripada penduduk di negara itu.
Pindaan itu dipercayai menjadikan penduduk Palestin yang mahu mendapatkan kewarganegaraan Israel menerusi perkahwinan dengan wanita Arab yang telah menjadi warga Israel sebagai sasaran. - AFP
Dipetik dari: http://kosmo.com.my/