PERJUANGAN kontinjen negara di bumi India semakin terserlah. Tidak keterlaluan jika dikatakan ‘tiada hari tanpa pingat’ dalam setiap acara yang mereka sertai.
Meskipun bukan emas, perak dan gangsa tetap ada.
Semalam sudah masuk hari kelima wira-wira negara menggalas cabaran pada Sukan Komanwel edisi ke-19 yang sedang hangat berlangsung di New Delhi.
Pingat emas sekali lagi menjelma menerusi ratu skuasy negara, Datuk Nicol David.
Dia melengkapkan koleksi kejuaraan utama dalam kariernya apabila memenangi pingat emas acara perseorangan wanita.
Ia pingat emas pertama yang dimenangi Nicol pada Sukan Komanwel selepas mengalahkan pemain England, Jenny Duncalf 11-3, 11-5, 11-7 dalam perlawanan akhir di Kompleks Siri Fort.
“Kejayaan ini amat bermakna buat saya kerana saya melakukannya demi nama negara, bukan atas kepuasan peribadi,” kata Nicol.
Dalam pada itu, Mohd. Azlan Iskandar kalah kepada Peter Baker dari England 5-11, 4-11, 2-11 pada perlawanan penentuan pingat gangsa bagi acara perseorangan lelaki.
Sementara itu, skuad badminton negara juga tidak mengecewakan kerana berjaya mempertahankan pingat emas hasil kemenangan 3-1 pada final acara berpasukan semalam.
Turut cemerlang semalam ialah trio basikal pecut negara, Mohd. Azizulhasni Awang, Mohd. Rizal Tisin dan Josiah Ng yang memenangi pingat gangsa dalam acara pecut berpasukan.
Penembak berpengalaman, Hasli Izwan Amir Hassan juga tidak mengecewakan apabila berjaya menambah koleksi pingat perak buat dirinya.
Pada aksi di Lapang Sasar Dr. Karni Singh semalam, Hasli Izwan yang memenangi pingat perak dalam acara 25 meter Rapid Fire Pistol bersama Hafiz Adha kelmarin, mencatat 576 mata.
Pingat emas dimenangi Vijay Kumar dari India, sementara gangsa menjadi milik seorang lagi penembak tuan rumah, Gurpreet Singh.
Skuad ping pong wanita negara mencipta sejarah tersendiri apabila meraih pingat pertama pada penampilan di Sukan Komanwel.
Gandingan Beh Lee Wei, Chiu Soo Jiin, Fan Xiao Jun dan Ng Sock Khim memenangi pingat gangsa dalam acara berpasukan wanita.
Mereka menewaskan England 2-3 yang dibarisi Hannah Hicks, Karina Lefevre, Joanna Parker dan Kelly Sibley.
Skuad memanah negara pula hanya mampu memperoleh pingat perak selepas tewas kepada Australia pada perlawanan akhir acara recurve berpasukan lelaki.