JAKARTA – Polis Indonesia menahan bekas pengarang majalah Playboy tempatan, Erwin Arnada yang dihukum penjara kerana kelucahan supaya dia boleh menjalani hukuman, kata seorang pendakwa raya semalam.
Erwin dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Agung Indonesia kerana kelucahan pada Ogos lepas walaupun tiada gambar bogel dalam penerbitan tersebut.
Lelaki itu dicekup polis di Pulau Bali selepas tiga kali gagal mematuhi arahan supaya menyerah diri.
“Kami menahannya di Pulau Bali dan akan membawanya ke Jakarta hari ini. Dia tidak menyerah diri kepada kami di sini,” kata ketua pendakwa raya Jakarta Selatan, Mohammed Yusuf.
Cuma beberapa edisi majalah tersebut diterbitkan di Indonesia sebelum kumpulan-kumpulan Islam memaksa ia ditutup pada 2006. – Agensi