TIDAK menafikan dirinya seksi, Mallika Sherawat juga pernah membuat kenyataan bahawa dia menyukai lelaki matang. Berani tanpa meletakkan sempadan dalam hidup atau karier, itu yang menjadikan bintang Bollywood ini lebih popular.
Sentiasa fokus untuk mengekalkan imej sebagai wanita seksi, Mallika mahu dirinya seksi pada setiap inci badannya. Malah, aktres itu pernah memberitahu bahawa dia suka menjayakan babak seksi melampau dalam filem lakonannya.
Menembusi pasaran antarabangsa menerusi karya The Myth (2005) bersama Jackie Chan, Mallika berterima kasih kepada pengarah, Stanley Tong kerana memberikan dia peluang untuk terlibat dalam filem yang diedarkan kepada 175 buah negara.
Ini kerana Mallika memiliki harapan besar. Dia mahu menembusi Hollywood kerana sebuah produksi India hanya akan disaksikan di 14 buah negara sahaja. Aktres itu semakin menghampiri impiannya apabila menerajui filem kerjasama India dan Amerika Syarikat, Hisss (turut dikenali sebagai Nagin: The Snake Woman).
Memegang watak Nagin, dewi ular, filem itu akan ditayangkan di Malaysia bermula 29 Oktober ini. Namun, sebelum filem itu ditayangkan, aktres itu sudah menimbulkan gejolak ramai untuk menyaksikan lakonannya.
Bukan sahaja kerana jalan cerita atau solekan ular yang akan memenuhi badan Mallika tetapi difahamkan dia berbogel sepenuhnya untuk beberapa babak.
Tidak tahu bagaimana babak itu akan dipersembahkan, Mallika ketika ditanya dalam satu temu bual telefon yang diaturkan oleh Nusantara Edaran Filem bersama media tempatan enggan mengulas panjang.
“Jika anda ingin mengetahui sama ada saya berbogel atau tidak, anda perlu menonton sendiri filem ini. Tidak seronok jika saya memberitahu anda. Terokai sendiri untuk mengetahuinya,” kata Mallika.
Digandingkan bersama Irfan Khan, Hisss menyaksikan bagaimana watak Mallika yang boleh bertukar menjadi ular dan manusia menyeksa serta membunuh lelaki apabila mereka mencemarkan atau mencerobohi ular tedung yang menetap di sebuah kuil misteri dalam hutan tebal.
Selama 4,000 tahun, cerita seram mengenai dewi ular itu disebarkan ke seluruh India sehingga kini. Pada tahun 2008, seorang lelaki Amerika Syarikat, George dengan berbekal peralatan berteknologi tinggi mengembara ke dalam hutan larangan tersebut.
Sepanjang pengembaraan itu, dia berjaya menangkap seekor ular tedung yang mempunyai saiz sebesar ular sawa. Melakukan penyelidikan ke atas ular itu dalam makmal berteknologi tinggi, George tidak sedar apa yang bakal dihadapinya.
Kejam dan pendendam
“Di India, sudah banyak cerita ini dibikin dan ramai aktres yang pernah memainkan watak popular ini. Namun, dalam Hisss, dewi ular ini akan menelan mangsanya. Ia lebih pendendam dan kejam. Sesiapa yang ingin terus hidup perlu memujanya,” jelas Mallika lagi.
Sarat dengan kesan khas, Mallika sentiasa ingin memberikan kesegaran kepada audiens. Bukan sahaja kerana mahu mendapatkan perhatian dunia, aktres itu mahu mencabar dirinya. Hiss contohnya menyaksikan bagaimana dirinya 'menjadi' seekor ular.
“Bukan mudah untuk menggambarkan diri sebagai seekor ular. Saya banyak membuat penyelidikan untuk mempelajari pergerakan seekor ular. Selain daripada itu, saya juga diperlukan untuk mencium ular serta perlu kelihatan mesra dengan ular.
“Nasib baik saya bukan seorang yang takut dengan ular. Pada saya ular merupakan haiwan menakjubkan,” ujarnya yang menceburi bidang hiburan pada tahun 2002.
DILAPORKAN berbogel dalam filem terbarunya ini, aktres Bollywood ini bagaimanapun enggan memberi sebarang komen kecuali meminta peminat ke panggung untuk menyaksikan kebenaran kisah dia berbogel.
Merindui Malaysia selepas hadir untuk mempromosikan filem The Myth bersama Jackie Chan lima tahun lalu, Mallika perlu menghabiskan masa selama empat hingga lima jam sehari hanya untuk bersolek dan memakai kostum.
“Ia satu penyeksaan bagi saya. Bayangkan saya perlu duduk berjam-jam lamanya untuk memakai kostum serta bersolek. Selepas memakai kostum, saya sudah tidak boleh pergi ke tandas. Jadi saya tidak boleh minum air sehingga kekurangan air dalam badan.
“Kostum itu begitu ketat sehingga saya perlu diangkat ke set penggambaran. Selain kostum, babak paling sukar untuk saya adalah ketika lintah berada di atas badan saya. Rakaman itu dijalankan semasa hujan yang sejuk dalam hutan Kerala,” katanya yang popular menerusi filem Murder.
Hisss menamatkan penggambaran sekitar tahun 2009. Namun, disebabkan kesan khas, proses pasca produksinya menggunakan masa lebih panjang.
Disebabkan cerita dewi ular sudah banyak kali dibikin, Hisss juga menggunakan cerita-cerita ular lain sebagai inspirasi. “Terdapat beberapa buah filem dengan watak Nagin pernah diterbitkan dalam bahasa Hindi.
“Di China, Hong Kong, Jepun dan Indonesia juga mempunyai filem seumpama ini. Pengarah Hong Kong, Tsui Hark mengarahkan Green Snake lakonan Maggie Cheung dan Joey Wong. Namun, peliknya, saya menggunakan filem An American Warewolf In London sebagai inspirasi. Semasa kecil, saya menyukai Sridevi menjayakan watak Nagin” tambahnya.
Menggunakan khidmat pengarah AS, Jennifer Chamber Lync, adakah dia memahami budaya serta lenggok cerita tersebut yang kaya dengan mitos serta legenda? Apa yang utama, karya itu bakal dibandingkan dengan filem-filem seumpamanya.
Kata Mallika, Hisss merupakan pembikinan semua cerita lama dengan penambahan elemen baru.
Menariknya, Jennifer mampu memberikan pendekatan kreatif. Ia membuatkan sebuah filem tradisional menjadi kontemporari.
Dipetik dari: KOSMO! Online