WASHINGTON - Selepas hampir sedekad meninggalkan pejabat White House, bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton masih di hati rakyat apabila ceramahnya menarik kehadiran beribu-ribu penonton.
Clinton yang mentadbir AS selama dua penggal dari 1993 hingga 2001, kini giat berkempen membantu calon-calon Parti Demokrat menjelang pilihan raya Dewan Perwakilan pada 2 November depan.
Kelincahan bekas presiden berusia 64 tahun itu berkempen membantu Presiden Barack Obama menghadapi pilihan raya berkenaan sukar ditandingi oleh mana-mana pemimpin Parti Republikan yang merupakan saingan Parti Demokrat.
Clinton juga tidak segan untuk berkunjung ke negeri-negeri yang sebelum ini tidak dikunjungi Obama.
Beberapa pembantunya berkata, setakat ini, beliau menyampaikan 95 ceramah untuk 65 calon dengan kebanyakan acara berlangsung sepanjang beberapa minggu lalu.
"Orang ramai sukakan Bill Clinton," kata seorang jururawat yang menghadiri ceramahnya, Nimo Hussein, 32.
Dianggap seorang yang cekap dalam menganalisis dan pedas dalam melontar kritikan, Clinton memiliki satu lagi daya tarikan ketika AS dihimpit kelembapan ekonomi.
Daya tarikan itu ialah beliau berundur ketika peluang pekerjaan banyak di AS dan negara kuasa besar itu menikmati kemakmuran ekonomi.
Hakikat itu tertera pada ungkapan butang yang dipakai oleh mereka yang menghadiri ceramahnya: "Saya merindui keamanan, kemakmuran dan Clinton."
Ketika berkunjung ke San Jose pada Ahad lepas, seramai 5,000 orang hadir untuk mendengar Bill Clinton berucap manakala dua hari sebelumnya, 6,000 orang berhimpun di Universiti California (UCLA) untuk mendengar ucapannya. Anggota-anggota Parti Demokrat kini berharap pada Clinton untuk mengelakkan calon-calon parti tersebut mengalami kekalahan pada pilihan raya 2 November depan.
Pada pilihan raya kali ini, anggota-anggota Parti Demokrat berasa cemas jika banyak kerusinya akan dirampas oleh calon-calon Parti Republikan.
Sekurang-kurangnya 75 kerusi Dewan Perwakilan kemungkinan dirampas Parti Republikan daripada Parti Demokrat dalam pilihan raya itu.
Parti Demokrat terpaksa membayar pada harga yang tinggi kali ini ekoran suasana ekonomi yang lemah di bawah pentadbiran Obama dan kadar pengangguran yang tinggi.
Anggota-anggota Parti Republikan kini berkempen di daerah-daerah yang dianggap kerusi selamat buat Parti Demokrat.
Selepas terlepas jawatan Presiden AS kepada Obama daripada Parti Demokrat, anggota-anggota Parti Republikan kini memerlukan 40 kerusi untuk menguasai 435 kerusi Dewan Perwakilan.
"Saya berpendapat orang ramai bosan dengan pemerintah," kata seorang pekerja yang menjadi tukang urut saraf, Kristin Weber.
"Mereka (penduduk) bosan dengan perbelanjaan berlebihan. Orang ramai kecewa dengan pakej menyelamat. Ia tidak membantu ekonomi," katanya.
Beberapa pengundi lain menyatakan anggota-anggota Parti Demokrat mempunyai alasan untuk berasa cemas dalam pilihan raya kali ini. - Agensi
Dipetik dari: KOSMO! Online