TIGA tahun lalu, dia pernah terbuai dengan keseronokan duniawi. Bergelar pengunjung tegar pusat hiburan, meneguk minuman beralkohol serta menjadikan najis dadah sebagai peneman, penyanyi dan produser yang berhasil menghipnos pengikut dari seluruh dunia, Maher Zain, 29, secara terbuka berkongsi kekhilafan dirinya.
Berterus-terang, tidak pernah terlintas di ruang fikirnya ingin berdampingan dengan gelaran anak seni. Jejaka kacak berketurunan Lebanon dan dibesarkan di Sweden itu, sebaliknya punya alasan sendiri untuk tegak berdiri dalam belantika hiburan lantas mengalunkan kelunakan vokalnya yang dibalut puji-pujian kepada Sang Pencipta.
"Tiga tahun lalu, saya jauh daripada Allah kerana melakukan banyak perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam. Saya juga bergaul dengan orang tidak baik. Malah, paling menyedihkan saya tidak ingat dengan bacaan Al-Fatihah. Bayangkan, sampai macam itu sekali. Saya akui keadaan ini agak serius sekali gus membimbangkan diri.
|
|
"Tidak lama kemudian, saya rasa teramat kekosongan. Apa tidaknya, saya melihat diri ini tidak sama dengan kawan lain sampaikan kami pernah berselisih faham sesama sendiri apabila mempersoal tentang cara hidup dan persekitaran tidak betul ini. Selepas itu, saya diperkenalkan kepada RedOne lantas bekerja di sampingnya bagi menerbitkan album artis lain.
"Dalam waktu sama, saya sering mengunjungi sebuah masjid dan bertemu rakan-rakan baru. Mereka banyak memberi nasihat kepada saya agar kembali kepada asal-Nya. Justeru, saya mula lebih mengenal diri sehinggakan timbul kesedaran untuk berkarya," katanya ketika ditemui pada pelancaran album Thank You Allah di Menara Kuala Lumpur Selasa lalu.
Dan bukan calang-calang. Dianugerahkan selautan bakat seni, graduan Sarjana Kejuruteraan Aeronautik ini terinspirasi untuk menghasilkan lagu-lagu bersalut keagamaan dan kerohanian dalam perspektif berbeza. Lebih menarik, setiap karya dibikin Maher, ia terkait dengan kisah yang pernah dialami sendiri di alam realiti.
"Dengan muzik merupakan sebenar minat saya, tiada salahnya kalau membikin lagu yang bersangkutan dengan ajaran Islam termasuk meluahkan seluruh kecintaan kepada Allah, alam semesta, pasangan, keluarga, sahabat handai dan sebagainya. Lebih indah kalau saya mahu menampilkan pembaharuan," lekas sahaja jawabnya.
Boleh dianggap mencipta gelombang sehingga dia sendiri terkena refleks kemasyhuran, Maher tidak pernah sesekali menebak dia mampu berada pada tangga sekarang. Kemunculannya dalam dunia serba-serbi glamor, akuinya, hanya ingin berkongsi kebolehan kepada peminat. Tiada lain, itu sahaja yang berputar dalam fikirannya.
"Sejujurnya, saya tidak sangka dengan penerimaan positif daripada peminat termasuk di Malaysia apabila berkecimpung dalam arena seni sejak dua tahun lalu. Sukar hendak digambarkan perasaan ini. Yang penting, saya sentiasa berpegang kepada niat - menyalurkan mesej tertentu dalam membikin lagu kepada pendengar.
"Begitupun, saya sentiasa sedar diri. Sebenarnya masih panjang lagi perjalanan saya dalam industri ini. Saya harap dapat terus menyumbangkan lebih banyak karya berkualiti sambil menyelitkan elemen dakwah. Saya ingin memfokuskan terlebih dahulu terhadap nyanyian dan penerbitan," ujar Maher yang selesa menjunjung jalur R&B dan soul.
Konsert perkenalan
Selain hadir ke bumi Malaysia untuk melancarkan album debutnya, Maher juga bakal menghiburkan peminat menerusi konsert mini Save The Soul yang bakal berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor pada 14 dan 15 Oktober ini. Dibawa oleh Raudhatus Sakinah, penghibur terkenal tanah air, Aishah menjadi artis pembuka tirai.
Cukup mengejutkan apabila tiket mini konsert tersebut telah habis dijual dalam waktu singkat. Maher juga ketika ditemubual, tidak berupaya menyembunyikan kegembiraannya sehingga tidak sabar untuk bertandang semula ke negara ini sambil merealisasikan konsert berskala gergasi dengan menghadirkan bunyi-bunyian orkestra.
|
|
"Konsert mini ini dianggap sebagai acara kecil memperkenalkan diri saya kepada peminat di Malaysia. Saya bakal menyanyikan sebanyak lapan buah lagu secara minus one daripada album Thank You Allah. Ia sengaja dibuat dalam suasana santai supaya saya dapat menghiburkan peminat secara lebih dekat pada persembahan ini.
"Pada pendapat saya, sebuah konsert tidak kiralah bersaiz biasa, atau sebaliknya, ia perlu dilakukan terutama kepada artis baru seperti saya. Tidak terkecuali, saya ada perancangan untuk mengadakan persembahan lebih besar pada masa akan datang. Insya-Allah, mungkin awal tahun depan," sahutnya penuh harap.
Menandatangani kontrak dengan rumah penerbitan, Awakening Records sejak setahun lepas, Maher yang telah mengukir populariti di negara Eropah dan Timur Tengah turut menzahirkan keterujaan apabila berkesempatan melibatkan diri pada mini konsert tersebut. Tambah Maher: "Hanya Tuhan saja tahu betapa bersyukurnya saya dapat berada di Malaysia."