MUMBAI - Bintang Bollywood, Salman Khan semalam meminta maaf selepas dia membuat kenyataan berhubung serangan pengganas di Mumbai pada 2008. Salman membuat permohonan maaf itu menerusi laman Twitter.
"Saya berpendapat saya telah mengucar-kacirkan keadaan. Oleh itu, maaflah rakan-rakan," katanya pada laman berkenaan.
Permintaan maaf itu dibuat selepas dia menghantar mesej kepada laman YouTube di Internet dengan mendakwa kenyataannya berhubung serangan pengganas tersebut telah diputarbelitkan.
Salman membuat permohonan maaf itu berhubung kritikannya yang menyatakan serangan itu mendapat publisiti meluas kerana golongan elit menjadi sasaran.
Dalam kejadian itu, seramai 166 orang terbunuh dan lebih 300 lagi cedera apabila 10 lelaki bersenjata mengepung tiga buah hotel, sebuah restoran, pusat komuniti Yahudi dan sebuah stesen kereta api. - AFP