KOTA BHARU – Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun diberkas polis selepas kereta yang dinaiki bersama dua lelaki melanggar sebuah kereta peronda polis di Kampung Laut, Palekbang, Tumpat dekat sini Jumaat lalu.
Pemangku Timbalan Ketua Polis Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, pelajar dari Tendong, Pasir Mas yang menuntut di sebuah sekolah menengah di sini gagal melarikan diri selepas ditinggalkan oleh dua lelaki dalam kereta terbabit selepas kejadian tersebut.
Menurutnya, kejadian itu berlaku pada pukul 1.30 pagi ketika dua pegawai polis yang melakukan rondaan terserempak dengan sebuah kereta Proton Satria berwarna putih dalam keadaan mencurigakan berhenti di kawasan gelap di kampung tersebut.
Selepas mengetahui kehadiran polis, pemandu Proton Satria itu secara tiba-tiba melanggar kereta peronda terbabit yang berhenti untuk melakukan pemeriksaan.
“Selepas dilanggar, kereta peronda itu terbabas dan terjatuh ke dalam tali air di tepi jalan tersebut.
“Dua lelaki yang berada dalam kereta berkenaan kemudian melarikan diri dan meninggalkan pelajar perempuan itu dalam kereta tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Dipetik dari: http://kosmo.com.my/