Jolie kutuk cadangan bakar al-Quran
ISLAMABAD - Pelakon terkenal, Angelina Jolie semalam mengutuk tindakan sebuah gereja di Florida, Amerika Syarikat (AS) yang mengancam untuk membakar sejumlah kitab suci al-Quran pada ulang tahun kesembilan serangan 11 September 2001 yang dilakukan oleh pengganas.
Aktres berusia 35 tahun itu yang kini popular dengan filem Salt menyuarakan pendapatnya itu semasa melakukan lawatan ke Pakistan untuk meningkatkan kesedaran mengenai banjir yang melanda negara tersebut.
Kritikan Jolie mengulangi pendapat pegawai-pegawai AS yang berpendapat bahawa rancangan gereja tersebut merupakan tindakan yang memalukan.
Pegawai-pegawai itu turut memberi amaran bahawa tindakan membakar al-Quran akan membahayakan nyawa askar AS di Afghanistan dan rakyat Amerika di seluruh dunia.
"Saya sukar memikirkan bahawa ada orang yang sanggup membakar kitab suci agama lain," kata Jolie.
Paderi yang mengetuai rancangan untuk membakar kitab tersebut, Pastor Terry Jones, memberitahu, dia akan meneruskan rancangannya itu walaupun mendapat bantahan ramai.
Banjir di Pakistan telan menyebabkan lebih 1,700 orang maut dan menjejaskan kehidupan 18 juta penduduk. - AP
Dipetik dari: http://kosmo.com.my