LONDON, England – Chelsea mengekalkan rekod kemenangan besar pada kempen Liga Perdana England musim ini.
Pada aksi awal pagi tadi, skuad bimbingan Carlo Ancelotti itu membelasah Blackpool 4-0 untuk memenangi kesemua lima perlawanan pertama dengan 21 jaringan dan hanya bolos satu gol.
Kesemua gol skuad The Blues diperoleh pada babak pertama menerusi Florent Malouda yang meledakkan dua gol pada minit kedua dan 41.
Salomon Kalou serta Didier Drogba turut meletakkan nama mereka selaku penjaring apabila menambah gol Chelsea masing-masing pada minit ke 12 dan 30.
Kemenangan itu turut membantu Chelsea mengukuhkan kedudukan di tangga teratas liga dengan 15 mata, empat mata di depan Arsenal dan Manchester United.
Pada pertemuan lain semalam, Manchester City turut mencatat kemenangan 2-0 ke atas Wigan Athletic hasil jaringan penyerang Argentina, Carlos Tevez dan Yaya Toure.
Manakala jaringan hatrik Dimitar Berbatov membantu United menang 3-2 ke atas Liverpool.
Dua gol menerusi tandukan pada minit ke-42 dan 84 dan satu gol menerusi sepakan gunting yang cantik pada minit ke-59 sudah cukup menyekat kebangkitan Liverpool yang memperoleh gol menerusi Steven Gerrard pada minit ke-64 dan 70. – AFP