LONDON - Ratusan pembeli sanggup beratur panjang pada setiap malam semata-mata untuk membeli telefon bimbit terbaru keluaran syarikat Apple, iPhone 4 yang kemudian dijual kepada pembeli di Asia, Asia Barat dan Eropah Timur pada harga yang tinggi oleh broker, lapor sebuah akhbar semalam.
Kedai-kedai Apple di seluruh Britain menjadi sasaran kerana ia merupakan salah sebuah negara yang menjual iPhone 4 tanpa sebarang kontrak.
Gajet iPhone 4 yang dijual pada harga antara £499 (RM2,419) hingga £599 (RM2,904) seunit itu tidak terikat dengan apa-apa kontrak atau penyedia perkhidmatan komunikasi tertentu.
Justeru, pengguna boleh menggunakan telefon terbabit menerusi rangkaian telefon di negara masing-masing.
Broker-broker membayar 'pekerja' mereka komisen sebanyak £70 (RM339) bagi setiap iPhone 4 yang dibeli.
Mereka kemudian menjualnya pada harga dua kali ganda kepada para pelanggan di luar negara.
Salah seorang yang terlibat dalam urus niaga itu memberitahu: "Ia berlaku di seluruh Britain. Di setiap kedai Apple, pasti ada broker sama ada di Manchester, Birmingham, Bristol atau Nottingham.
"Mereka kemudian menjualnya kepada pembeli antarabangsa yang terbang ke Britain.
"Mereka menyalahgunakan sistem. Saya menyalahkan Apple kerana tidak mengawal situasi ini."
"Seorang lelaki yang dikenali sebagai King Khan yang berusia 25 tahun berasal dari Chingford, Essex memberitahu, dia membelikan telefon itu buat rakan-rakannya di Pakistan, memandangkan tiada kedai iPhone di sana.
"Saya sudah datang ke sini sebanyak lima kali. Mereka menyatakan telefon sudah habis dijual.
"Saya hanya pelanggan biasa," kata seorang lagi pembeli yang kecewa, Abdullah Al Mubadal.
Permintaan iPhone 4 yang tinggi di Dubai, Singapura, Afrika Selatan, Rusia, India dan China bermakna para pelanggan di sana sanggup membayar tambahan £400 (RM1,939) berbanding harga jualan di United Kingdom. - Agensi