My Ping in TotalPing.com

Jom Layan link-link dibawah nie..

Suspek utama nafi terbabit bunuh

Peguam dakwa 2 beradik tak diberi peluang pertahan diri sebelum direman

KUALA LUMPUR: Buat pertama kali semalam, dua beradik yang juga suspek utama kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dibenarkan berjumpa peguam mereka dan dalam pertemuan itu mereka mendakwa tidak terbabit dalam kes berkenaan.

Peguam mereka, D P Vijandran, berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya selepas beliau bertemu dengan mereka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) di sini, petang semalam.

Saya bersama dua rakan peguam dibenarkan berjumpa kedua-dua anak guam kami selama 15 minit dan dalam pertemuan itu mereka menafikan terbabit dalam pembunuhan kejam membabitkan empat individu termasuk seorang jutawan kosmetik.
Mereka mendakwa tidak diberi peluang mempertahankan diri sebelum ditahan reman, katanya ketika ditemui di IPKKL, semalam.

Vijandran bersama peguam Ravi Nekoo dan Pushpa Ratnam tiba di IPKKL kira-kira jam 3 petang bersama isteri kedua-dua suspek utama sebelum meninggalkan pekarangan ibu pejabat itu 30 minit kemudian.

Difahamkan, isteri kedua-dua suspek itu dibenarkan berjumpa suami masing-masing kira-kira 10 minit. Ini pertemuan pertama mereka sejak ditahan 11 September lalu.

Dalam pada itu, Vijandran turut menyuarakan rasa kesal dengan laporan akhbar sejak kejadian berkenaan yang disifatkannya berat sebelah, sedangkan kes itu belum pun dibawa ke mahkamah.
Selagi kes ini belum dibawa ke mahkamah dan sehingga hakim memutuskan siapa yang bersalah, anak guam saya tidak bersalah.

Sepanjang berada dalam lokap sejak dua minggu lalu, salah seorang anak guam saya juga mendakwa dia ditumbuk dan ditendang anggota polis sehingga cedera di belakang badan.

Malah, permintaan anak guam saya untuk mendapatkan rawatan di hospital berhubung kecederaan itu juga tidak diendahkan polis, katanya laporan polis mengenainya akan dibuat hari ini.

Sosilawati, 47, dibunuh bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; perunding kewangannya, Noorhisham Mohammad, 38 dan peguamnya, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, di sebuah ladang persendirian di Banting pada 30 Ogos lalu.

Dipetik dari: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Suspekutamanafiterbabitbunuh/Article

Hospital swasta dibenar iklan

Langkah perkasa pelancongan kesihatan negara

PUTRAJAYA: Semua hospital dan klinik swasta kini boleh mengiklankan perkhidmatan masing-masing dalam semua media dan sepanduk selepas diluluskan Lembaga Iklan Ubat (MAB) Kementerian Kesihatan, kata Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, langkah itu liberalisasi bagi sektor kesihatan dalam usaha kerajaan memperkasa bidang pelancongan kesihatan negara yang dikenal pasti sebagai satu daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP) dalam Aktiviti Ekonomi Utama Nasional (NKEA).
Katanya, liberalisasi iklan kesihatan itu terkandung dalam semakan semula Garis Panduan Pengiklanan Untuk Perkhidmatan dan Fasiliti Kesihatan yang diluluskan pada Julai lalu bagi membolehkan 200 hospital swasta dan 7,000 klinik swasta di seluruh negara mengiklankan perkhidmatan masing-masing dalam semua media.
Beliau berkata, mengikut semakan semula garis panduan itu, hospital dan klinik swasta dibenarkan mengiklankan perkhidmatan masing-masing dalam semua media termasuk internet, penggunaan sepanduk bagi tempoh masa tertentu dan mengadakan publisiti di luar negara.

Selepas diluluskan MAB, hospital dan klinik swasta boleh menyiarkan maklumat mengenai perkhidmatan dan kemudahan termasuk pakej kesihatan yang ditawarkan, katanya selepas majlis Aidilfitri Kementerian Kesihatan, di sini, semalam.
Liow berkata, tempoh kelulusan iklan oleh MAB dipendekkan daripada enam minggu kepada empat atau lima hari.

Garis panduan iklan itu sebahagian daripada Akta Ubat (Pengiklanan dan Jualan) 1956 yang sebelum ini agak ketat terhadap hospital dan klinik swasta mengiklankan perkhidmatan termasuk disyaratkan hanya dalam majalah kesihatan, direktori, risalah atau pelekat manakala iklan media cetak atau elektronik hanya membabitkan ucapan tahniah.

Dipetik dari: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Hospitalswastadibenariklan/Article

BENDERA perlu hormat Malaysia

Kes amah didera tak patut dijadikan sebab cetus kekecohan: Muhyiddin

SERI KEMBANGAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengingatkan Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (BENDERA), Malaysia mempunyai sistem perundangan dan juga terikat dengan konvensyen antarabangsa untuk melindungi pekerja di negara ini, termasuk dari republik itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan Malaysia memberi jaminan pihak yang didakwa melakukan jenayah terhadap pekerja Indonesia akan dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman setimpal jika disabitkan kesalahan.
Sehubungan itu, katanya, sebarang kes berlaku tidak harus mencetuskan keadaan buruk sehingga memutuskan hubungan baik yang sudah terjalin antara Malaysia dan Indonesia selama ini.
Kita masih berpendapat yang penting hubungan antara Malaysia dan Indonesia mesti baik. Kita mengambil pendekatan sebarang isu berbangkit antara kedua-dua negara mesti diselesaikan menerusi saluran diplomatik, katanya pada sidang akhbar selepas mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, merasmikan Seminar Serantau Ke-10: Menjenayahkan Rasuah di sini, semalam.

Sementara itu, Wisma Putra tidak akan memanggil pulang Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan walaupun wujud ancaman daripada BENDERA menuntut beliau keluar dari negara itu.

Timbalan Menteri Luar, A Kohilan Pillay mengesahkan tiada arahan dikeluarkan oleh Wisma Putra bagi memanggil pulang Duta Besar atau semua pegawai yang bertugas di Indonesia selepas timbul ancaman itu.

Syed Munshe Afdzaruddin ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung tuntutan BENDERA itu.
Ketua Canseri Pejabat Kedutaan Malaysia, Raja Reza Raja Zaib Shah berkata, sehingga kini pejabat kedutaan di Kuningan, Jakarta tidak menerima arahan rasmi dari Wisma Putra meminta duta atau pegawai yang bertugas di Indonesia pulang.

Tiada arahan dikeluarkan dari Wisma Putra meminta Datuk Syed Munshe Afdzaruddin atau diplomat kita di Indonesia pulang. Lagipun keadaan di sini sebenarnya selamat. Memang benar berlaku tunjuk perasaan tetapi ia tidak mengancam keselamatan warga Malaysia.

Malah kerajaan Indonesia memberi jaminan akan menjaga keselamatan kepentingan Malaysia termasuk diplomat, pekerja, pelajar dan pelancong Malaysia. Polis Indonesia turut berkawal di kedutaan dan kawasan yang memiliki kepentingan Malaysia, katanya.

Naib Presiden MCA, Datuk Wira Chor Chee Heung dalam kenyataan medianya berkata, MCA mengutuk tindakan melampau penunjuk perasaan berkenaan dan menuntut pihak berkuasa di Indonesia mengawal tindakan ekstrim penunjuk perasaan terbabit.

Dipetik dari: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BENDERAperluhormatMalaysia_/Article

@@ Followers @ @

Pembaca Berita PANAS!

Popular Posts