My Ping in TotalPing.com

Jom Layan link-link dibawah nie..

KG. BARU : Penculik "DITEMBAK MATI"

KUALA LUMPUR - Siapa sangka keseronokan lapan sekeluarga yang sedang asyik menonton televisyen dicemari insiden berdarah apabila salah seorang daripada mereka dijadikan tebusan oleh seorang lelaki sebelum 'drama' itu mencapai klimaksnya dengan suspek mati ditembak polis enam jam kemudian.

Kejadian pukul 10.30 pagi semalam di Lorong Raja Muda Musa, Kampung Baru di sini itu berlaku apabila suspek berusia 34 tahun tanpa seurat benang tersebut dikejar sekumpulan penduduk yang mengesyaki lelaki tersebut hendak mencuri.

Suspek yang buntu untuk melarikan diri kemudian telah menerjah masuk ke dalam rumah mangsa sebelum mengambil pisau di dapur lalu menangkap dan mengacukan di leher seorang kanak-kanak, Fifi Ramadhani Syafrudin, 10.

Enam ahli keluarga yang terkejut dengan kejadian itu kemudian melarikan diri kecuali bapa mangsa, Syafrudin Marlis, 47. Suspek yang bagikan kerasukan itu kemudian membawa mangsa masuk ke dalam bilik manakala bapanya kekal di ruang tamu.


'Dia ugut mahu bunuh Fifi saya'


KUALA LUMPUR - Tiada kata-kata dapat menggambarkan perasaan seorang lelaki yang begitu gelisah dan takut apabila terpaksa menyaksikan leher anak sulung perempuannya diacukan pisau oleh seorang lelaki bogel untuk dijadikan tebusan selama enam jam semalam.

Kelibat Syafrudin Marlis, 47, yang sebelum itu tidak dipedulikan oleh masyarakat sekeliling tiba-tiba menjadi tumpuan apabila dia memperkenalkan diri kepada wartawan sebagai bapa Fifi Ramadhani, 10, iaitu kanak-kanak yang dijadikan tebusan itu.

Walaupun nampak tenang tetapi naluri kebapaan yang terbit dari hati kecilnya memaksa dia mengalirkan air mata sebelum dia sudi menceritakan kejadian yang mencemaskan itu.

"Saya sebenarnya memakai kaki palsu sebelah kanan selepas ia kudung beberapa lama dulu. Saya tidak mampu untuk melawan penculik yang memasuki rumah dan menjadikan Fifi sebagai tebusan.

"Ketika itu kami sedang menonton televisyen di ruang tamu sebelum lelaki itu menerjah masuk. Dia kemudian mengambil pisau di dapur lalu mengacukannya ke leher anak sulung daripada dua beradik itu," ceritanya.



Sumber: KOSMO!




Fifi Ramadhani Safruddin diangkat ke ambulans untuk dibawa ke Hospital Kuala Lumpur selepas berjaya diselamatkan oleh pihak polis di Kampung Baru, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 23 Jan. – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun terpaksa mengharungi detik-detik cemas selama enam jam apabila menjadi tebusan seorang lelaki disyaki penagih dadah di rumahnya di Jalan Raja Mahmud, Kampung Baru, di sini hari ini.

Dalam insiden cemas bermula pukul 9.50 pagi itu, suspek berusia 34 tahun yang dalam keadaan separuh bogel menceroboh masuk ke dalam rumah itu sebelum mengambil pisau di dapur dan mengugut mencederakan mangsa, Fifi Ramadhani Safruddin.

Ketika kejadian, mangsa bersama empat ahli keluarga yang lain sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah.

Suspek bertindak mengacukan pisau ke leher mangsa sebelum mengheretnya masuk ke dalam sebuah bilik dan menutup pintu dengan sebuah almari yang dijadikan sebagai penghadang.

Pihak polis yang tiba di tempat kejadian pada pukul 10 pagi mengambil pelbagai langkah bagi memujuk mangsa termasuk menggunakan khidmat pakar psikiatri dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) selain memanggil teman wanita suspek.

Selain itu, polis turut menawarkan makanan segera kepada suspek seperti Kentucky Fried Chicken dan McDonalds selain minuman tetapi gagal.

Sepanjang tempoh tebusan itu, polis hanya berkomunikasi dengan mangsa menerusi pintu bilik dengan kanak-kanak tersebut yang hampir setiap masa diacukan pisau ke dadanya oleh suspek.

Drama tebusan tersebut bagaimanapun berakhir pada pukul 4.10 petang apabila sepasukan polis dipercayai dari unit khas dipanggil lalu menyerbu masuk ke dalam bilik itu dan melepaskan empat das tembakan yang mengenai suspek.

Suspek mati ketika dalam perjalanan ke hospital untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dihantar ke HKL untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, pihak polis terpaksa melepaskan tembakan dalam serbuan itu kerana suspek dilihat semakin agresif.

“Tiga daripada tembakan itu mengenai rusuk kiri suspek dan dalam masa sama, kita berjaya menyelamatkan kanak-kanak itu yang tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Kata Zulkarnain, semasa dalam tempoh enam jam kejadian tebusan itu, suspek tidak membuat sebarang tuntutan lain, kecuali meminta sejumlah dadah jenis syabu.

Polis bagaimanapun enggan memenuhi permintaan tersebut kerana menyalahi undang-undang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek berasal dari Sabah dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes samun di daerah Dang Wangi.

Sementara itu, menurut bapa mangsa, Safruddin Marlis, 47, dia berada dalam bilik semasa suspek menceroboh ke ruang tamu rumahnya.

“Saya panik apabila melihat suspek dalam keadaan separuh bogel itu bertindak mengugut akan membunuh anak saya sekiranya saya bertindak melakukan sesuatu.

“Memandangkan keadaan saya yang kurang upaya, saya tidak dapat berbuat apa-apa semasa dia mengheret anak perempuan saya ke bilik belakang,” katanya yang menggunakan kaki palsu kerana kudung.

Safruddin memberitahu, kesemua ahli keluarganya di rumah itu termasuk isteri, seorang anak dan dua anak saudaranya dapat melarikan diri semasa suspek menceroboh masuk kecuali dia yang hanya keluar dari rumah itu selepas ketibaan polis.

Katanya, dia telah tinggal di kawasan itu sejak 15 tahun lalu dan tidak menyangka kejadian tersebut boleh menimpa keluarganya.

Dalam pada itu, menurut seorang saksi, Azhar Osman, 47, sebelum kejadian tebusan tersebut berlaku, dia melihat suspek berkenaan mundar-mandir dalam keadaan separuh bogel di Stesen LRT Kampung Baru.

“Saya telah menyuruh suspek untuk memakai baju dipegangnya tapi dia kemudian menghilangkan diri, saya tidak menyangka pula dia akan menceroboh rumah orang dan menjadikan kanak-kanak sebagai tebusan,” katanya.

Sumber : UTUSAN 


Polis bertindak melepaskan empat das tembakan ke arah seorang lelaki setelah berunding selama enam jam bagi membebaskan seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun yang dijadikan
tebusan di sebuah rumah di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata langkah itu terpaksa diambil setelah lelaki terbabit, yang berumur 34 tahun, bertindak agresif ketika proses rundingan.

"Tembakan tersebut telah terkena pada rusuk kiri suspek, bagaimanapun, mangsa berjaya diselamatkan dan kedua-dua mereka dibawa ke HKL (Hospital Kuala Lumpur) untuk rawatan lanjut, manakala mangsa dirawat bagi mengenal pasti sama ada berlaku sebarang kecederaan fizikal semasa dikurung," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata dalam kejadian 10 pagi itu, polis menjalankan rundingan dengan turut memanggil pakar psikiatri HKL dan seorang rakan suspek untuk memujuk lelaki berkenaan, namun dia bertindak lebih agresif.

"Suspek sebelum itu secara tiba-tiba meluru masuk ke dalam rumah terbabit dan mengambil pisau siang ikan di dapur sebelum menahan mangsa dan mengacukan pisau itu ke leher mangsa yang ketika itu sedang menonton televisyen bersama ibu, adik serta dua lagi sepupunya.

"Suspek kemudian mengugut untuk mencederakan mangsa sekiranya ada yang cuba menghampirinya, sebelum membawa mangsa masuk ke dalam bilik serta mengurungnya dan menutup bilik itu dari dalam," katanya.

Zulkarnain berkata ruang bilik yang agak kecil menyukarkan anggota polis kerana suspek boleh bertindak dengan pantas jika berasa dirinya terancam.

Beliau berkata semasa proses rundingan, suspek tidak menuntut sebarang wang tebusan sebaliknya hanya meminta agar dia tidak diapa-apakan, selain air dan dadah.

"Dia minta air, kita bagi air tapi dia minta dadah memang kita tidak bagi," katanya sambil menambah suspek tidak mempunyai sebarang rekod rawatan psikiatri namun pernah memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes samun.

Beliau berkata polis masih menyiasat motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961.

Bapa mangsa yang hanya dikenali sebagai Syafrudin, 47, berkata ketika kejadian, dia berada dalam satu daripada dua bilik di rumah itu manakala isteri, anak serta anak saudaranya di ruang tamu menonton televisyen.

"Pintu rumah ketika itu tidak berkunci, lelaki itu kemudian meluru masuk dan terus menangkap anak saya serta mengacukan pisau ke lehernya sambil mengugut sekiranya ada yang menghampiri, dia akan mencederakan anak saya," katanya.

Dalam pada itu, jiran mangsa yang mahu dikenali sebagai Ramli berkata beliau yakin suspek bukan penduduk di kawasan itu (Kampung Baru) kerana kelibat suspek tidak pernah dilihat sebelum ini.

Katanya, suspek mungkin datang dari kawasan lain sebelum masuk ke rumah itu dan menjadikan kanak-kanak perempuan tersebut sebagai tebusan.

Pendapat beliau turut disokong Suhardi Osman, 45, yang memaklumkan sebelum ini, suspek pernah membuat kecoh di sebuah pasar berdekatan.

"Saya dapat tahu suspek terlebih dahulu telah membuat kecoh di pasar pada waktu pagi sebelum dihalau oleh orang ramai, dan ini mungkin punca mengapa beliau menjadikan kanak-kanak tersebut sebagai tebusan," katanya ketika ditemui Bernama.

Sumber: MalaysiaKini

@@ Followers @ @

Pembaca Berita PANAS!

Popular Posts