Wasatiyyah mampu capai kebaikan dunia, akhirat
PUTRAJAYA 10 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pendekatan wasatiyyah (kesederhanaan) di negara ini amat perlu dititikberatkan sesuai dengan kepelbagaian agama dan budaya yang diamalkan di kalangan rakyatnya.
Menurut Perdana Menteri, konsep kesederhanaan itu bukanlah satu pilihan, sebaliknya sesuatu yang imperatif (mesti dipatuhi) yang boleh memacu rakyat mencari hasanah (kebaikan) di dunia dan akhirat (mencapai konteks al-Falah). Katanya, hasil amalan wasatiyyah sejak berdekad-dekad lamanya juga, Malaysia berjaya muncul sebagai sebuah negara Islam demokratik serta negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi. "Kita juga telah berjaya menyanggah tanggapan stereotaip selama ini tentang kononnya sebuah negara Islam itu lazimnya tidak demokratik, bersifat autokratik dan walaupun kaya dengan sumber asli, tetapi gagal menguruskannya dengan baik serta tiada pula keadilan sosial," katanya. Beliau berucap merasmikan Konvensyen Wasatiyyah Sempena Satu Milenium Islam di Nusantara anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Pertubuhan Nadi Dialog Malaysia (Nadi), di sini hari ini.
Konvensyen itu menganugerahkan Tokoh Wasatiyyah 2011 kepada Allahyarham Tan Sri Dr. Muhammad Abd. Rauf bagi menghargai segala jasanya dalam pembangunan Islam di negara ini. Najib berkata, wasatiyyah atau kesederhanaan berimbang yang dimaksudkan bukanlah kesederhanaan menurut tafsiran pihak luar yang cuba 'mencanai' umat Islam mengikut tasawur mereka. Sebaliknya, kata beliau, wasatiyyah dalam pengertian negara adalah amalan yang diteladani daripada Rasulullah SAW serta melalui rentetan sirah, antaranya melalui mengambil konsep semangat piagam Madinah dan perjanjian Hudaibiah. "Di arena kebangsaan dan antarabangsa, kita telah memperlihatkan bahawa kita bukan setakat beretorik dalam isu ini, malah telah mengamalkannya secara istiqamah. Di peringkat global juga, kita berbaik dengan semua negara sama ada negara Islam atau tidak, namun, atas dasar prinsip, kita tidak akan sesekali lari daripada menyatakan apa yang benar," katanya.
Sumber : Utusan Malaysia: 11/06/11
Kebaikan Dunia dan Akhirat Itu Hanya Akan Dapat Dicapai dengan Pelaksanaan Syariah Secara Kaffah
Najib nampaknya terus cuba menggunakan talian hayat yang ’berbau’ Islam untuk ’menyokong’ kononnya apa yang diterapkan oleh beliau selama ini adalah suatu yang bertepatan dengan Islam. Namun hakikatnya, dengan kalimah ”wasatiyyah” ini Najib terus keliru dan mengelirukan. Beliau mendakwa bahawa apa yang dilakukan oleh pemimpin negara selama ini telah menyebabkan Malaysia berjaya muncul sebagai sebuah negara Islam demokratik serta negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi. Persoalannya ialah, apakah konsep kesederhanaan yang difahami oleh Najib itu benar-benar mengikuti ukuran dan acuan Islam? Apakah sederhana itu bermaksud membenarkan sistem ekonomi yang berasaskan riba terus berjalan? Atau bermaksud melaksanakan undang-undang kufur ciptaan manusia? Atau membiarkan manusia bebas di Parlimen menggubal dan membuat undang-undang sendiri? Dalam erti kata lainnya, apakah yang dikatakan sederhana itu adalah dengan mencampur adukkan di antara perkara yang hak dengan yang batil?
Faktanya, inilah yang berlaku.
Para pemerintah sekular di negeri-negeri kaum muslimin termasuklah Najib, secara terang-terangan mencampuradukkan perkara iman dengan kufur. Dari kenyataan Najib di atas, beliau nyata keliru dengan mengatakan bahawa maksud wasatiyyah adalah amalan yang diteladani daripada Rasulullah SAW, antaranya melalui konsep semangat piagam Madinah dan perjanjian Hudaibiyah. Apakah Najib benar-benar sedar dan mengetahui dengan jelas realiti piagam Madinah yang pernah diterapkan oleh Rasulullah SAW ketika baginda menjadi ketua negara di sana? Piagam Madinah yang dilaksanakan oleh Rasululah SAW lahir dari aqidah Islam semata-mata, tidak seperti Perlembagaan Persekutuan yang lahir dari akal manusia. Sebagai contoh, salah satu dari isi kandungan piagam Madinah adalah ”Sekiranya kalian berselisih dalam suatu urusan maka tempat kembalinya adalah Allah dan Muhammad”. Apakah ini ada dalam Perlembagaan Persekutuan?
Najib seharusnya memahami makna yang sebenar kalimah wasatiyyah ini agar beliau tidak terus keliru dan mengelirukan. Ummat[an] wasath[an] adalah umat yang adil dan umat pilihan. Sikap wasath bukanlah sikap moderat, kompromi dan mengambil jalan tengah. Sikap wasath tidak lain adalah sikap adil, iaitu menempatkan segala sesuatu sesuai dengan posisi dan ketentuannya menurut ukuran syara’. Sikap wasath juga adalah sikap menegakkan dan menyebarkan risalah Islam, kerana ciri-ciri sebagai umat wasath itu dikaitkan dengan risalah Islam. Sikap wasath itu juga mencakup sikap memilih yang terbaik dari berbagai perkara dan memilih yang benar dan paling bagus. Sikap wasath itu tak lain adalah sikap melaksanakan dan terikat dengan ketentuan Allah, iaitu syariah Islam]. Lihat: SN147 - ISLAM -VS- ISLAM MODERAT
Sumber: http://mykhilafah.com