KOTA TINGGI – Hasrat seorang bapa untuk menyelamatkan anak sulungnya yang tergelincir ketika berjalan-jalan di pantai Tanjung Balau di sini kelmarin berakhir dengan tragedi apabila kedua-duanya ditemui mati lemas.
Mayat mangsa, Norizal Tajudin, 40, yang merupakan seorang pegawai waran dua Briged Ke-7 (Artelari) Kem Mahkota Kluang dan Mohd. Shyful Akmal, 11, ditemui pada pukul 2.15 petang oleh pengunjung pantai.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Osman Muhammad Sebot berkata, kejadian tersebut berlaku ketika Norizal cuba menyelamatkan Mohd. Shyful yang terjatuh ke dalam laut selepas tergelincir dari atas batu di pantai tersebut.
“Ketika ditemui, dua beranak tersebut gagal diselamatkan. Mayat mereka dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat,” katanya di sini semalam.