My Ping in TotalPing.com

Jom Layan link-link dibawah nie..

Kaum Bateq: Hidup Nomad



PONDOK Pisang Sesikat ini telah didiami oleh suku kaum Bateq sejak tujuh bulan lalu.

SAMBIL memegang sebilah pisau kecil, kelihatan seorang wanita berambut kerinting halus dengan kulit hitam manis dan berwajah bulat lebar asyik mengukir tabung damak diperbuat daripada buluh di perkampungan Orang Asli, Jeram Panjang, Taman Negara, Kuala Tahan, Jerantut, Pahang.

Tanpa menghiraukan orang ramai yang memerhatikan gerak gerinya, Enyam Keladong, 40-an, terus memberi tumpuan terhadap seni ukiran bermotif flora pada tabung damak berkenaan untuk dijadikan produk pelancongan.

Wanita suku bangsa Negrito itu merupakan antara masyarakat Orang Asli suku kaum Bateq yang menjadi tarikan utama para pelancong berkunjung ke Taman Negara, Kuala Tahan, Pahang.

“Tidak susah hendak membuat tabung damak ini. Sejak kecil, saya sudah belajar membuat dan mengukir tabung damak. Saya hanya mengambil masa satu hari untuk menyiapkan tabung damak ini,” kata wanita itu ringkas.

Keunikan masyarakat Orang Asli suku kaum Bateq adalah mereka masih meneruskan amalan berpindah-randah atau nomad yang diwarisi sejak turun-temurun.

Bahkan, masyarakat minoriti yang sinonim dengan alam semula jadi itu hanya boleh ditemui di tiga buah negeri Semenanjung Malaysia iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu sekali gus menjadikan mereka insan istimewa.

Ibu kepada sembilan orang anak itu memberitahu: “Tabung damak ini digunakan untuk menyimpan damak-damak dan merupakan produk pelancongan. Ia dijual pada harga RM25.”

Ketika asyik memerhatikan kehalusan jari-jemari wanita itu mengukir menggunakan pisau kecil, kelihatan kanak-kanak suku kaum Bateq bermain bersama seekor tupai hutan.

Berbanding kanak-kanak bandar yang terdedah kepada teknologi maklumat, anak-anak suku kaum Bateq membesar dengan alam semula jadi seperti bukit-bukau, hutan dan sungai. Mereka juga dikatakan tidak pergi ke sekolah disebabkan keluarga mereka berpindah-randah dari satu tempat ke tempat lain.

“Tupai haiwan yang jinak, sebab itu kita bela. Boleh dipegang, ia tidak gigit orang,” sapa wanita tersebut apabila melihat kanak-kanak itu sedang diperhatikan sekumpulan pemberita yang mengunjungi perkampungan berkenaan.

Persinggahan di perkampungan Orang Asli, Jeram Panjang itu dianjurkan oleh Mutiara Taman Negara sebagai sebahagian daripada aktiviti resort berkenaan.

Semasa berada di perkampungan tersebut, sesiapapun pasti teruja melihat kehidupan Orang Asli yang masih menetap di dalam pondok kecil yang diperbuat daripada kayu, buluh atap rumbia dan beberapa hasil hutan.

Di pondok yang tersusun rapi antara satu sama lain itu juga tidak dilengkapi perkakas elektrik seperti radio, televisyen ataupun peti sejuk. Setiap pondok kecil yang berkonsep terbuka itu juga mempunyai unggun api kerana tidak kelihatan dapur di dalam rumah berkenaan.

Dari celah pondok yang dinamakan Pisang Sesikat, kelihatan beberapa wanita muda cuba menyorok daripada lensa kamera sambil sesekali mengintai melihat keadaan sekeliling. Mungkin mereka berasa malu kerana hanya memakai kain batik yang diikat di leher sambil mengendong anak kecil.

Wanita Bateq pemalu

“Mereka memang pemalu terutamanya wanita muda,” kata Eksekutif Rekreasi, Mutiara Taman Negara, Romlan Jaafar atau lebih mesra dengan panggilan datuk.


Dalam perkampungan tersebut, terdapat kira-kira 30 orang suku kaum Bateq dan kebanyakan mereka adalah saudara-mara. Kebiasaannya mereka akan menetap di sesebuah kawasan antara tiga sehingga empat bulan sahaja.

“Bagaimanapun, disebabkan faktor ekonomi yang semakin meningkat Orang Asli Jeram Panjang sudah menetap di sini kira-kira tujuh bulan. Sekiranya salah seorang daripada mereka jatuh sakit mereka akan berpindah ke tepi sungai dan kembali semula selepas beberapa bulan.

“Jika terdapat kematian mereka akan berpindah terus dan tidak akan kembali ke penempatan atau perkampungan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, pemandu pelancong alam semula jadi Taman Negara, Hamzah Abdul Hamid, 58, berkata, berbeza dengan masyarakat Orang Asli lain, kaum Bateq tidak mengamalkan sebarang aktiviti bercucuk tanam bagi mengelakkan mereka kekal di sesuatu kawasan.


“Mereka sangat mahir menggunakan sumpitan dan berburu. Kanak-kanak suku kaum Bateq akan mempelajari survival kehidupan sejak mereka kecil. Dahulu, perut kanak-kanak ini akan diikat dengan rotan dan mereka akan berlatih menyumpit.

“Ia digunakan untuk melihat kekuatan hembusan sumpitan berkenaan. Apabila rotan yang diikat terputus bermakna kanak-kanak ini telah lulus dan boleh mengikut golongan dewasa memburu,” ujarnya.

Kemahiran turun-temurun

Selain berburu, Hamzah menambah, mereka juga mencari tumbuhan hutan seperti keladi liar atau dikenali sebagai dioscorea, ubi-ubi lain dan buah-buahan yang terdapat di taman negara.

Masyarakat Orang Asli Bateq juga mempunyai sikap yang tidak suka membazir. Mereka akan mencari sumber makanan yang mencukupi untuk dinikmati sahaja.

“Peredaran zaman juga telah menyaksikan mereka mula bergaul dengan masyarakat setempat, menikmati makanan seperti nasi dan sebagainya. Anak-anak suku kaum Bateq juga telah mula bekerja sebagai pemandu pelancong dan pemandu bot sebagai sumber rezeki mereka,” ujarnya.

Di perkampungan Orang Asli, Jeram Panjang, pengunjung boleh mempelajari dua kemahiran yang mereka warisi secara turun-temurun iaitu menghasilkan api dan menyumpit.



KAUM Bateq menggunakan kaedah tradisional menghidupkan api.


Mereka menghasilkan api dengan seutas rotan yang ditarik beralaskan tapak yang diperbuat daripada kayu meranti. Dalam masa kurang seminit, geseran rotan dengan kayu akan menghasilkan api menerusi habuk kayu yang dijadikan bahan bakar. Tetapi untuk pelancong jangan bersedih sekiranya selepas berpeluh-peluh mencuba, usaha itu masih gagal.

Sementara itu, Pembantu Pembangunan Masyarakat Muzium Orang Asli, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), Mohd. Jiwa Zulkifli berkata, suku bangsa Negrito dipercayai telah berhijrah ke Malaysia sejak beribu-ribu tahun lalu dari Indo-China dengan berjalan kaki melalui gunung-ganang.

“Mereka dipercayai masuk ke kawasan pedalaman melalui Thailand. Berbanding suku bangsa Melayu Proto, suku bangsa Negrito dan Senoi agak ketinggalan disebabkan cara hidup dan adat resam mereka.

“Dahulu suku bangsa ini mempunyai pegangan hidup dan kepercayaan kepada keadaan sekeliling tetapi kini ramai yang telah menganut agama Islam, Buddha atau sebagainya,” kata Mohd. Jiwa.








@@ Followers @ @

Pembaca Berita PANAS!

Popular Posts