TUAH ternyata menyebelahi pelumba basikal trek negara, Josiah Ng.
Semalam, dia berjaya meraih pingat emas dalam acara keirin pada Sukan Komanwel 2010 di Kompleks Sukan Indira Gandhi.
Bagaimanapun, pingat emas yang diraih Josiah itu bertitik tolak kepada keputusan pegawai perlumbaan yang membatalkan kemenangan jaguh keirin negara, Mohd. Azizulhasni Awang.
Terdahulu, Azizulhasni yang digelar The Pocketrocketman terlebih dahulu melintasi garisan penamat untuk berada di hadapan Josiah.
Begitupun, kemenangannya telah dibatalkan selepas para pegawai perlumbaan mendapati dia bersalah kerana menghimpit pelumba New Zealand, Simon Van Velthooven.
Dengan keputusan itu, pingat emas secara automatik diberikan kepada Josiah manakala pelumba England, David Daniell meraih perak dan pingat gangsa milik Van Velthooven.
"Secara jujurnya, saya tidak tahu apa yang berlaku ke atas Azizulhasni tetapi ini adalah adat perlumbaan dan dia perlu menerima keputusan itu dengan tenang.
"Tetapi apa yang saya tahu, dia tidak buat apa-apa kesalahan dan dia berhak untuk menang.
"Dalam kedudukan seperti itu, dia membuat satu keputusan berani untuk mencelah dalam usahanya untuk memenangi perlumbaan tersebut.
"Malangnya, tindakan berani yang dilakukannya itu telah mengundang padah," kata Josiah.
Menurut Josiah, dia bernasib baik kerana menamatkan perlumbaan itu di tempat kedua, sekali gus memastikan pingat emas kekal milik Malaysia.
"Kemenangan ini sangat penting. Saya sudah lama menantikan saat ini kerana sebelum ini ramai orang mempertikaikan kemampuan saya. Malah ada yang mengatakan saya tidak berhak berada dalam pasukan negara.
|
|
"Tetapi hari ini (semalam) saya telah membuktikan kepada semua seterusnya menutup mulut para pengkritik," katanya.
Menurut Josiah, selepas mencipta kejayaan semalam, dia akan mengalihkan tumpuan untuk memburu pingat emas pada Sukan Asia di Guangzhou, China bulan depan.
Selain Josiah dan Azizulhasni, cabaran negara dalam acara keirin semalam turut digalas Mohd. Rizal Tisin.
Begitupun, Rizal yang memenangi pingat perak dalam acara 1 kilometer ujian masa perseorangan kelmarin, terkandas pada pusingan pertama repecharge.