My Ping in TotalPing.com

Jom Layan link-link dibawah nie..

Pesta 15 malam Andy




USIANYA sudah mencecah 49 tahun Isnin lalu. Namun, aura lelaki bernama Andy Lau masih belum pudar. Buktinya, lebih 1,000 peminatnya telah menghadiri majlis sambutan hari jadi yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Hong Kong pada 25 September lalu.
Sambutan itu diawalkan dua hari daripada tarikh lahirnya kerana 25 September merupakan hari jadi Andy dalam kalendar Cina dan juga menandakan ulang tahun ke-30 pembabitannya dalam industri hiburan.
Turut disertai oleh ibu bapanya, Andy ternyata lebih gembira tahun ini berbanding tahun sebelumnya. Bukannya dia tidak diraikan tahun lalu. Cuma berita mengenai perkahwinan pelakon itu dengan Carol Chu yang tersebar sedikit sebanyak memberi efek negatif kepada imejnya.
Disebabkan insiden itu juga, rasanya jumlah peminat yang hadir tidak semeriah sambutan hari jadi seperti tahun-tahun sebelumnya. Menafikan tanggapan itu, Andy menyatakan jumlah yang hadir adalah hampir sama setiap tahun.
“Mungkin anda merasakan jumlah peminat tahun ini lebih kurang kerana selalunya peminat luar negara akan datang untuk menyambut hari jadi saya. Namun, disebabkan konsert saya akan berlangsung pada bulan Disember nanti, jadi mereka menyimpan wang untuk acara itu,” jawab Andy kepada wartawan Hong Kong.
Ditanya apakah hadiah yang diberikan oleh isterinya, Andy mengelak dengan menjawab: “Jangan nakal, saya tidak akan menjawab soalan ini.”
Andy akan menganjurkan konsert selama 15 malam berturut-turut di Hong Kong dan hampir kesemua tiket sudah habis dijual. Menyatakan kelab peminatnya di seluruh dunia memerlukan kira-kira tiga juta tiket, jumlah itu bagaimanapun tidak dapat dipenuhi.

ANDY LAU kali ini membawa watak seorang detektif.


“Kami tidak dapat memberikan tiket yang diperlukan oleh kelab peminat kerana ia perlu dijual kepada orang umum. Saya juga tidak akan menambah lagi malam persembahan kerana risau tiket murah tidak akan terjual,” jawab Andy lagi.
Pemilik nama penuh Andy Lau Tak Wah itu terkenal bukan sahaja kerana bakatnya tetapi juga dedikasi serta sebagai penghibur paling rajin di Hong Kong. Cemerlang dalam bidang nyanyian, Andy turut menyinar sebagai pelakon.
Diiktiraf sebagai salah seorang aktor berpengaruh Asia, filem Running Out of Time (1999), Running on Karma (2003) dan Infernal Affairs 3 (2003) mengukuhkan profil Andy dengan penerimaan pelbagai anugerah.
Terlibat dalam lebih 120 buah filem setakat ini, ikon itu yang mengekalkan populariti sejak tahun pertengahan tahun 1980-an bagaimanapun agak senyap sejak berita perkahwinannya tersebar. Kini, berbekalkan produk Detective Dee and the Mystery of the Phantom Flame arahan Tsui Hark, Andy kembali menjadi perhatian dunia.
Berganding dengan pelakon kelas A seperti Carina Lau, Tony Leung dan Li Bingbing, filem yang ditayangkan bermula 30 Oktober lalu memgambil latar belakang tahun 690 sebelum Masihi. Ia mengisahkan pelbagai insiden pelik berlaku semasa zaman pemerintahan Maharani, Wu Zetian.
Dalam tempoh lapan tahun, tujuh lelaki secara tiba-tiba telah terbakar di khalayak ramai dan setiap mangsa merupakan mereka yang terlibat secara langsung dengan Maharani Wu. Jelas sekali, pembunuh itu mahu mencabar kreadibilitinya.

ANDY bersama Li Bingbing.


Bagi menyelesaikan kes itu, Detektif Dee Renjie (Andy) telah dilantik sebagai Ketua Hakim. Bagaimana siasatan itu dijalankan? Ikuti petikan temu bual Andy untuk mendalami proses pembikinan, watak dan perkembangan terbaru Andy yang meminati filem komedi.
Anda memainkan watak detektif hebat, Detektif Dee dalam filem ini. Dalam kehidupan realiti, apa yang anda ketahui mengenai detektif seperti Sherlock Holmes?
ANDY: Sebenarnya saya menyukai Justice Bao. Filem dan drama Justice Bao sangat popular tetapi bukan di negara luar. Dalam banyak-banyak filem detektif, saya menyukai Sir Alfred tetapi tiada cerita polis atau detektif lain yang saya ikuti. Hanya Justice Bao. Adakah itu membuatkan saya seorang yang tipikal Cina?
Sudah banyak kali bekerjasama dengan Carina dan Bingbing, adakah kolaborasi kali ini memberikan perasaan berlainan?
Sudah lama sebenarnya saya tidak berlakon dengan Carina dan saya menganggap dia seperti adik saya. Dia seorang wanita yang tabah seperti watak yang dipegangnya, Maharani Wu. Walaupun menempuh pelbagai dugaan hidup, dia masih boleh berdepan dengan hidupnya. Bersama Bingbing, kami pernah berganding bersama sebanyak tiga kali. Dia seorang yang suka belajar.
Menerbitkan filem China, Crazy Stone, adakah anda masih mempunyai cadangan untuk membantu pengarah baru?
Pelaburan adalah sesuatu benda yang berisiko. Namun, ini merupakan minat saya. Jika dilihat dari aspek perniagaan, saya akan berhenti melabur. Tapi saya menikmati dan seronok membantu bakat baru. Ia sama seperti anda menghabiskan wang untuk membeli makanan kegemaran anda.

ANDY LAU berdiri bersama patung lilinnya dan patung lilin Li BIngbing.


Adakah anda masih mahu menjadi seorang pengarah?
Ya, tetapi selalunya semasa saya berlakon, saya merasakan pengarah-pengarah itu hebat. Contohnya seperti Tsui Hark, dimensi pemikiran jauh lebih kreatif dan bijak berbanding saya. Jadi jika ingin mengarah, saya perlu memperbaiki. Mungkin dalam masa tiga tahun lagi.
Dengan jadual kerja yang berat, adakah anda mempunyai masa peribadi?
Saya akan menjalankan rakaman selama tiga bulan dan memerlukan masa tiga bulan untuk promosi. Jadi ia satu proses yang panjang. Ditambah dengan pasaran luas seperti China dan antarabangsa, saya memang tidak mempunyai masa. Dulu saya mungkin mempunyai cuti sekitar dua bulan, kemudian kurang kepada sebulan dan kini hanya tinggal dua minggu dalam setahun.
Lihat kepada Maggie Cheung, dia sudah kurang berlakon dan selektif kerana mahu menikmati hidup. Mengapa anda masih ingin menerima pelbagai tawaran lakonan? Adakah kerana anda begitu menyintai filem?
Ia agak sukar untuk dijelaskan kerana semua orang mempunyai stail kehidupan berbeza. Contohnya saya mempelajari tulisan kaligrafi. Ramai orang berpendapat ia amat bosan. Maggie telah menemui apa yang disukainya. Pada saya, jika anda hidup dengan gembira, anda tidak perlu menjelaskan apa-apa.

Dipetik dari: http://kosmo.com.my/

@@ Followers @ @

Pembaca Berita PANAS!

Popular Posts