DALLAS - Pengasas majalah bogel Penthouse, Bob Guccione meninggal dunia pada usia 79 tahun di Hospital Pakar Plano, Texas kelmarin akibat barah paru-paru.
Guccione yang pernah disenaraikan dalam carta 400 individu terkaya majalah Forbes dengan kekayaan AS$400 juta (RM1.24 bilion) pada tahun 1982 pernah membuat keputusan untuk menyiarkan gambar bogel pelakon dan penyanyi, Vanessa Williams yang menyebabkan dia kehilangan mahkota sebagai Ratu Amerika.
Bagaimanapun, empayar perniagaannya runtuh akibat beberapa pelaburan yang gagal selain perubahan dalam industri pornografi sehingga memaksa dia menjual semua koleksi karya seni bertaraf dunia yang disimpannya selain sebuah rumah agam di Manhattan.
Dia kehilangan banyak asetnya ekoran pelaburan yang gagal, saman, cukai dan penurunan jualan.
Guccione telah menjual Penthouse pada tahun 2004 kepada FriendFinder Networks Inc.
Berkahwin sebanyak empat kali, Guccione mempunyai dua anak perempuan, Tonina dan Nina, dan tiga anak lelaki, Bob Jr., Tony, dan Nick.
Guccione memulakan pengeluaran majalah Penthouse pada 1965 di England bagi menampung kerjaya seninya.
Dia juga merupakan jurugambar pertama untuk majalah bogel itu.
Guiccione kemudian memperkenalkan majalah itu di Amerika Syarikat pada 1969 semasa perjuangan kewanitaan sedang memuncak. - AP
Dipetik dari: KOSMO! Online