Jom Layan link-link dibawah nie..

Penderaan emosi rosakkan psikologi anak



KETIKA penderaan fizikal terhadap kanak-kanak semakin kerap dilaporkan, masyarakat seolah-oleh terlupa bahawa penderaan berbentuk emosi turut membawa natijah tidak kurang teruknya kepada mangsa. Mungkin penderaan emosi tidak menampakkan kesan nyata menyebabkan ramai menutup mata kepada masalah itu sedangkan ia umpama barah yang memakan tahap keyakinan diri kanak-kanak sehingga boleh merosakkan psikologi mangsa.
Penderaan emosi berlaku apabila ibu bapa atau penjaga tidak mengambil berat dan mengasihi anak, dengan gagal memberi perhatian, kasih sayang dan persekitaran sokongan bersesuaian dengan perkembangan mereka.


Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan seorang kanak-kanak mengalami kecederaan emosi jika wujud kerosakan pada fungsi mental dan emosi yang dibuktikan dengan antaranya, gangguan mental dan tingkah laku, termasuk kebimbangan, kemurungan, memencilkan diri, menunjukkan tingkah laku permusuhan atau perkembangan lambat.

Ia berlaku apabila ibu bapa atau penjaga tidak mampu menangani tekanan dialami setiap hari seperti keletihan, tidak mempunyai pekerjaan, kemiskinan, perceraian, kematian, krisis kesihatan dan masalah mental.
Ketika kanak-kanak mungkin pulih daripada kecederaan fizikal, kesan penderaan emosi mungkin berterusan, termasuk risiko peningkatan kemurungan berpanjangan, kurang keyakinan diri dan tidak pandai menjalin hubungan.

Naib Presiden Persatuan Sosial Malaysia, Amy Bala, berkata sekadar menyediakan keperluan asas kepada kanak-kanak, tetapi mengabaikan aspek kasih sayang dan perhatian, juga dianggap satu bentuk penderaan.

“Ramai menyangka apalah yang seorang kanak-kanak tahu. Mereka menyangka kanak-kanak cuma perlukan keperluan asas. Kanak-kanak bukan hanya perlukan makan, minum, perlindungan dan tempat tinggal yang selesa, mewah dan sebagainya, malah mereka juga perlukan masa.

“Kadang-kadang ibu bapa atau orang dewasa lupa kanak-kanak sebenarnya ingin berkongsi sesuatu. Tindakan mereka memberi gambaran mereka perlukan perhatian. Malangnya, kita pandang perkara itu remeh.

“Kita penat kerana lapan jam bekerja sehingga tidak memberi perhatian kepada anak sekembali ke rumah, tetapi kita terlupa anak juga menunggu sehingga lapan jam untuk mendapatkan perhatian ibu bapa,” katanya.

Berikutan itu, kempen anjuran Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), ‘Get on Board: Raise Your Hand, Stop Child Abuse Now’ dilancarkan untuk membuka mata masyarakat, bukan hanya penderaan fizikal dan seksual saja perlu dicegah, sebaliknya segala bentuk penderaan.

Kempen selama dua bulan itu bertujuan mendidik masyarakat mengetahui dengan lebih lanjut apa yang mereka boleh lakukan untuk mencegah penderaan terhadap kanak-kanak.

Menurut wakil UNICEF di Malaysia, Hans Olsen, setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk membesar dalam persekitaran yang selamat dan dilindungi.

Katanya, masyarakat perlu disedarkan mengenai kesan buruk penderaan kanak-kanak dan menggesa penduduk negara ini mengetahui lebih lanjut mengenai penderaan dan apa yang boleh dibuat untuk melindungi golongan itu.

Justeru, kempen berkenaan dianjurkan bagi memperkasa dan menggalakkan orang ramai terbabit secara individu dan menyokong keluarga serta ibu bapa bagi mencegah sebarang bentuk penderaan kanak-kanak.

Kempen secara online selama dua bulan itu diharap meraih sokongan 100,000 rakyat Malaysia menjelang Hari Hak Asasi Manusia yang disambut Disember ini.

Orang ramai yang ingin menyertai dan memberi sokongan kepada kempen itu boleh melayari laman web www.uniteagainstabuse.my.

“Masalah ini perlu ditangani bersama, apa yang paling penting bukan mencari kesalahan orang lain, sebaliknya sama-sama membantu menanganinya. Daripada berdiam diri dan menunggu kerajaan bertindak, lebih baik kita sebagai rakyat mengambil inisiatif menghalang semua bentuk penderaan,” kata Olsen.B/H 

@@ Followers @ @

Pembaca Berita PANAS!

Popular Posts