TERLERAI... Marianai menunjukkan wang hantaran RM3000 dan cincin yang diserahkan keluarga Rozaliya.
KEMAMAN: Sah putus. Pertunangan Rozaliya Mat Lazim, 20, dengan pasangannya Mohd Helmi Mohd Noor, 24, putus selepas keluarga kedua-dua pihak mencapai kata sepakat mengenainya, semalam.
Bapa Mohd Helmi, Mohd Noor Juah, 53, yang tiba dari Kampung Sebaso Paya Redan, Muar, Johor kira-kira jam 3 petang bersama isteri, Mariani Hussin, 46, berkata dia datang ke rumah Rozaliya di Bandar Cheneh Baru, di sini, kerana menunaikan permintaan gadis itu dan keluarganya bagi memutuskan pertunangan berkenaan.
Katanya, mereka menghormati permintaan keluarga Rozaliya yang meminta mereka datang untuk memutuskan pertunangan seperti disiarkan dalam akhbar beberapa hari lalu, sekali gus menyelesaikan segala salah faham antara dua keluarga itu.
“Kami datang dengan cara baik untuk berbincang demi kepentingan anak saya, Mohd Helmi dan Rozaliya. Namun jika itu keputusan (memutuskan pertunangan) diambil, kami menerimanya dengan hati terbuka dan tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.
“Mungkin setakat ini hubungan Mohd Helmi dan Rozaliya kerana jodoh sudah tiada dan semuanya berakhir di sini, apatah lagi semua yang berlaku sekarang adalah berdasarkan kata putus mereka berdua. Kami sebagai ibu bapa menghormati keputusan itu,” katanya.
Mohd Noor berkata, sebelum ini keluarganya tersinggung dan menanggung malu dengan jiran dan saudara mara di atas tuduhan dilemparkan keluarga Rozaliya yang mengatakan Mohd Helmi melarikan anak gadis mereka.
“Hanya Allah tahu perasaan kami ketika itu kerana semua penduduk kampung, khususnya saudara mara, mempunyai tanggapan negatif terhadap Mohd Helmi dan keluarga kami.
“Kami membacanya dalam akhbar dan sedih dengan tuduhan sebelum ini mengatakan Mohd Helmi dikatakan melarikan Rozaliya dan kami datang untuk bersemuka serta berbincang,” katanya.
Sementara itu, Mariani berkata, apa diharapkan ialah keputusan memutuskan pertunangan itu dapat memenuhi kehendak Rozaliya dan keluarganya serta berharap segala masalah yang timbul dapat diselesaikan.
“Biar mereka berdua menentukan sendiri masa depan mereka selepas ini dan kita sebagai ibu bapa ada kalanya perlu menghormati keputusan mereka,” katanya.
Mohd Helmi ketika ditemui pula berkata, dia menerima keputusan memutuskan pertunangan itu dengan hati terbuka dan menganggap apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.
“Saya menyayanginya tetapi apakan daya, takdir yang menentukan segala-galanya dan hubungan saya dengan Rozaliya hanya sampai di sini,” katanya.
Pada pertemuan itu Keluarga Rozaliya memulangkan wang tunai sebanyak RM3,000 yang juga sebahagian daripada wang hantaran berjumah RM6,000 yang diberi kepada keluarga itu sebagai persediaan majlis perkahwinan, termasuk sebentuk cincin pertunangan.
Dipetik dari: myMETRO