KUALA TERENGGANU 16 Okt – Bertempat di Dewan Binjai, Hotel Seri Malaysia Kuala Terengganu, siri seminar jelajah Malaysia 2010 anjuran Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) terus mendapat perhatian umat. Sekitar 200 orang muslimin dan muslimat memenuhi dewan seminar, malah ada yang datang seawal 8 pagi.
Seperti biasa, ahli panel pertama yang juga merupakan Timbalan Presiden HTM, Ustaz Umar menghangatkan dewan dengan menekankan kepada hadirin akan kewajipan menegakkan Khilafah dan betapa perlunya umat Islam pada hari ini berusaha bersungguh-sungguh bersama Hizbut Tahrir ke arah merealisasikannya. Kehilangan Khilafah sejak 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924) ternyata telah menyebabkan kesengsaraan yang tidak berkesudahan ke atas umat Islam yang dipimpin oleh para pemimpin sekular yang tidak lagi menerapkan Islam.
Presiden HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman selaku ahli panel kedua menjelaskan kedudukan umat Islam yang lemah dan terhina kerana umat Islam itu sendiri yang hanya mengamalkan sebahagian kecil hukum Islam dan meninggalkan sebahagian besar yang lain. Keadaan ini diperparah dengan adanya para pemimpin yang menerapkan hukum kufur, malah menjadi agen kepada Barat. Justeru, Islam langsung tidak menjadi undang-undang negara dan kesemua hukum Islam termasuklah hukum jihad telah diabaikan oleh pemimpin yang ada. Kerana itulah, umat Islam khususnya dan dunia amnya terus-menerus menderita kerana hukum Allah tidak lagi menaungi dunia sebagaimana di zaman pemerintahan Khilafah dahulu.
Oleh yang demikian, tidak ada penyelesaian lain bagi umat Islam untuk keluar dari segala penderitan kecuali dengan berusaha untuk menegakkan Daulah Khilafah melalui jalan perjuangan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Khalifah yang dilantik akan pasti menerapkan hukum Islam dan seterusnya akan mengeluarkan umat Islam dari seribu macam penderitaan yang dialami sekarang.
Sebelum bersurai, majlis dibuka kepada sessi soal-jawab di mana kedua-dua ahli panel telah dihujani dengan pelbagai soalan yang menunjukkan keprihatinan dan kesedaran para hadirin akan keperluan kepada Khilafah demi mengembalikan semula kemuliaan umat Islam. Majlis berakhir sekitar jam 1.30 dengan bacaan doa oleh Ustaz Abu Aiman.
Dewan Binjai, Hotel Seri Malaysia, Kuala Terengganu, Terengganu
Dipetik dari: myKhilafah.com