My Ping in TotalPing.com

Jom Layan link-link dibawah nie..

Hadapi kes bunuh: Pathmanabhan, 3 pekerja didakwa

PATHMANABHAN tiba di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting untuk mendengar pertuduhan membunuh Sosilawati dan tiga lelaki lain semalam.


BANTING – Selepas genap sebulan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, peguam N. Pathmanabhan serta tiga pekerjanya dibawa ke Mahkamah Majistret Telok Datok di sini semalam bagi menghadapi tuduhan membunuh jutawan kosmetik tersebut dan tiga rakannya pada bulan Ramadan lalu.
Tiga lagi tertuduh yang didakwa bersama N. Pathmanabhan, 41, ialah pekerja ladang milik peguam berkenaan iaitu T. Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Kathavarayan, 30.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh yang kelihatan tenang semasa pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Malaysia untuk Pathmanabhan dan bahasa Tamil untuk tiga yang lain.
Kesemua tertuduh didakwa dengan empat tuduhan yang dibacakan berasingan iaitu membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamarudin Shansudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting antara pukul 8.30 malam dan pukul 9.45 malam 30 Ogos lalu iaitu pada hari ke-20 Ramadan.
Mereka berhadapan dengan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Majistret Hurman Hussain menetapkan 16 Disember depan untuk sebutan semula kes setelah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff yang memerlukan tempoh dua bulan bagi mendapatkan laporan kimia.

Dipetik dari: http://kosmo.com.my




BANTING: Peguam, N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, Ogos lalu.

Pathmanabhan, 41, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, bersama T Thilaiyalagan, 19; R Matan, 20 dan R Kathavarayan, 30, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka dituduh bersama membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shansudin, 44; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38 dan peguam peribadinya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos lalu.
Dalam pada itu, dua lagi suspek termasuk adik lelaki Pathmanabhan, juga seorang peguam berusia 38 tahun dibebaskan bersama seorang lelaki lain. Turut dibebaskan teman wanita salah seorang suspek, Jesyntha Clarene Isreal, 27.

Kedua-dua suspek lelaki dibebaskan jam 1 petang semalam di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, masing-masing atas jaminan polis dan bon mahkamah, Jesyntha dibebaskan di Balai Polis Dang Wangi.

Sementara itu, pertuduhan terhadap Pathmanabhan dibacakan dalam Bahasa Melayu, manakala pertuduhan terhadap tiga yang lain dibacakan dalam bahasa Tamil dengan bantuan jurubahasa mahkamah.

Tiada pengakuan direkodkan, sebaliknya keempat-empat mereka mengangguk menyatakan mereka faham selepas pertuduhan dibacakan.

Terdahulu, tertuduh dibawa masuk ke pekarangan mahkamah kira-kira jam 8.30 pagi sebelum memasuki kamar Mahkamah Majistret setengah jam kemudian. Ahli keluarga tertuduh tidak kelihatan di kawasan mahkamah.

Majistret Hurman Hussain menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan semula kes itu bagi mendapatkan laporan kimia.

Beliau menolak permohonan peguam bela yang mewakili tertuduh pertama, yang diketuai peguam Ravi Nekoo dan dibantu Amer Hamzah Arshad, Pushpa Ratnam dan Datuk Ng See Tiong, untuk bertemu semua tertuduh.

Sebelum itu, Amer Hamzah membuat permohonan untuk bertemu tiga lagi tertuduh kes itu berikutan mereka tidak diwakili peguam.

Hurman berkata, ketika membenarkan perintah reman terhadap tertuduh dan suspek lain kes itu, beliau pernah bertanya kepada seorang daripada mereka sama ada keluarga mereka mengetahui mereka kini ditahan polis.

"Saya ada bertanya dengan seorang daripada mereka jika ahli keluarga tahu mereka ditahan dan lelaki itu memaklumkan saya, ahli keluarga mereka sedar mereka kini ditahan polis.

"Saya fikir, polis sudah menjalankan tanggungjawab mereka. Jika mereka (merujuk kepada tertuduh) meminta kamu mewakili mereka, saya akan benarkan," katanya.

Hurman kemudian meminta Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusof memaklumkan kepada pegawai penyiasat kes itu untuk menghubungi keluarga semua tertuduh dan memaklumkan mereka sudah didakwa semalam.

Ishak kemudian memohon mahkamah menetapkan satu lagi tarikh sebutan bagi membolehkan laporan kimia disediakan, tetapi dibantah oleh pihak pembelaan.

Amer Hamzah berkata, laporan kimia selalunya mengambil masa lama iaitu berbulan-bulan disiapkan.

Bagaimanapun, Hurman berkata, kebiasaannya di mahkamah itu, beliau membenarkan tempoh sehingga dua bulan untuk mendapatkan laporan daripada Jabatan Kimia walaupun ia kes dadah yang biasa.

Beliau bagaimanapun membenarkan peguam bela tertuduh pertama bertemu anak guamnya selama 10 minit sebelum mereka dibawa ke pusat tahanan sementara.

Pendakwaan diwakili Ishak dan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani.


Prosiding pendakwaan tarik perhatian penduduk, media

BANTING: Selepas sebulan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya dibongkar polis, prosiding pendakwaan terhadap empat tertuduh termasuk peguam, N Patmanabhan, di Mahkamah Majistret Telok Datok di sini semalam, menarik perhatian penduduk setempat dan wakil media.

Kira-kira 50 penduduk pelbagai kaum sekitar bandar ini memenuhi pekarangan mahkamah sejak jam 8 pagi bagi mengikuti perkembangan kes berprofil tinggi itu dengan lebih dekat selepas mendapat tahu pendakwaan terhadap empat lelaki terbabit akan dijalankan.

Kes yang menarik perhatian umum itu menyaksikan lebih 50 wakil media cetak dan elektronik termasuk portal berita internet hadir membuat liputan dengan ada wartawan dilaporkan tiba di mahkamah seawal jam 7 pagi.

Keempat-empat tertuduh tiba di mahkamah jam 8.30 pagi dengan Patmanabhan, 41, dibawa menaiki Proton Waja, manakala tiga lagi tertuduh, T Thilaiyalagan, 19; R Matan, 20, dan R Khatavarayan, 30, menaiki van.

Dua kenderaan polis termasuk kereta peronda Mitsubishi Lancer Evo 10 turut mengiringi dua kenderaan membawa tertuduh dan sebaik tiba, mereka dikawal ketat dibawa ke kamar mahkamah.

Bagaimanapun, tiada ahli keluarga tertuduh atau mangsa dilihat berada di perkarangan mahkamah.

Difahamkan, lebih 20 anggota polis beruniform dan berpakaian biasa berada di kawasan mahkamah sepanjang prosiding dijalankan.

KRONOLOGI

PEMBUNUHAN SOSILAWATI DAN 3 INDIVIDU





  • 6 September 2010
    – Sosilawati dilaporkan hilang bersama peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38 dan pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44, sejak 30 Ogos lalu.

  • 7 September
    – Dua kereta BMW, milik Sosilawati dan Ahmad Kamil ditemui di dua tempat berasingan di Subang Jaya.

  • 8 September
    – Sosilawati dilaporkan kali terakhir dilihat di kedai Fazz Enterprise Kerepek House, Banting jam 4 petang, 30 Ogos lalu.
    – Noorhisham menelefon isterinya memaklumkan tidak akan pulang tiga hari pada malam 30 Ogos.
    – Warga India, S Usharani, 24, melaporkan kehilangan suaminya, Allal Kanthan Muthuraja.

  • 11 September
    – Polis menemui lokasi empat mangsa dibunuh di sebuah ladang di Teluk Gadong. Polis menahan ahli perniagaan bergelar Datuk dan adiknya.

  • 12 September
    – Polis berkata lapan orang, termasuk peguam dua beradik ditahan.

  • 13 September
    – Pasukan penyelam Polis Marin menemui senjata berbentuk cangkuk di Sungai Panchau, Banting.

  • 14 September
    – Isteri ahli perniagaan dari Sungai Petani, Shafik Abdullah, 37, membuat laporan polis kali kedua mengenai kehilangan suaminya sejak 9 April lalu.

  • 17 September
    – Polis sahkan keempat-empat mangsa diikat, dipukul dan ditikam berkali-kali hingga mati sebelum mayat mereka dibakar.

  • 22 September
    – Polis mengesahkan Muthuraja turut dibunuh.

  • 4 Oktober
    – Polis mencari saksi wanita, Jesyntha Clarene Isreal, 27.

  • 7 Oktober
    – Jesyntha menyerah diri di IPD Dang Wangi.


  • Dipetik dari: http://www.bharian.com.my

    @@ Followers @ @

    Pembaca Berita PANAS!

    Popular Posts