TIJUANA - Askar-askar Mexico membakar ganja seberat 105 tan yang bernilai AS$338.84 juta (RM1.05 bilion) yang dirampas dalam satu serbuan pihak berkuasa di bandar Tijuana pada Rabu lalu.
Dengan memakai topeng bagi mengelak bau ganja, askar-askar tersebut mengawal selama beberapa jam lokasi pembakaran itu.
Anggota-anggota pihak berkuasa mengambil masa selama 30 jam untuk menimbang 10,000 bungkusan ganja itu.
Beberapa sindiket dipercayai menyembunyikan dadah itu di dalam enam buah treler, lima lori dan tiga buah van yang dalam perjalanan ke Amerika Syarikat.
Serbuan itu dilakukan selepas polis menangkap 11 orang dalam satu pertempuran.
Pakar-pakar berkata, nilai dadah itu akan meningkat kepada AS$1.18 bilion (RM3.6 bilion) bila ia tiba di AS. - Agensi
Dipetik dari: KOSMO! Online