My Ping in TotalPing.com

Jom Layan link-link dibawah nie..

Fasha Sandha : Bahagia dibenci


MENGENALI Fasha secara luarannya, wanita muda ini bagai sudah lali dikaitkan dengan bermacam kontroversi. Sama ada dalam fasa kebangkitan semula atau membasuh skeptikal, dia semakin bijak mengatur langkah.


TANPA mahu agar penjuru-penjuru romantikanya bersama sang pengarang jantung, Rizal Ashram Ramli diperhalusi berulang-ulang kali, bait dan jeda dalam bicara bersama Fasha Sandha sebaliknya terisi oleh khabar kontemporari.

Sengaja alur bicara diolah begitu, barangkali kami sepakat, enggan bingkisan terkini Fasha yang sudah bertahun terpisah daripada Sensasi Bintang ini cenderung klise sifat lahiriahnya.

Saya tertarik tatkala rasa yang bertakung di hempedu hatinya melantun patah demi patah dari mongel bibirnya. Dia masih beraksi sebagai Fasha Sandha, yang berhemah menuturkan bahasa walaupun di tangannya, tergenggam erat gading bertuah idaman ramai.

Mengalih perhatiannya menelaah topik kemahuan, wanita yang kelihatannya matang berbanding usia 26 tahun itu dipinta mengulas, cukup selesakah hidup buatnya hingga setiap kemahuan sudah mampu digentas tanpa terkekang banyak halangan.

“Setakat ini, banyak kemahuan saya sudah tercapai memandangkan hidup saya juga sekadar sederhana. Tetapi untuk kemahuan akan datang, saya tidak tahu. Apa yang paling membahagiakan saya adalah, setiap kali membuka mata, saya sedar bahawa masih ada ramai peminat yang menyokong perjuangan saya. Ada yang bencikan saya tetapi mereka masih menonton kerja saya. Itulah momen paling bahagia buat saya,” beritahunya menambah informasi, terdapat sekitar 31,870 peminat yang mengikuti perkembangannya di laman perkongsian sosial Twitter.

Tidak pernah berkehendakkan sesuatu yang mustahil cuma katanya, kemahuan kewanitaan tidak akan tercapai tanpa ikatan perkahwinan atau menimang cahaya mata sendiri.

“Seseorang wanita itu tidak sempurna selagi belum bergelar isteri dan ibu,” ujarnya dipintas satu usikan, bagaimana jika bahagia dan impian untuk hidup bersama lelaki yang digelar ‘sayang’ ketika ini tidak berakhir di jinjang pelamin.

Fasha menjawab spontan: “Saya tidak gentar, saya masih muda dan bukannya berusia 40 tahun, jadi saya tidak perlu pening kepala. Macam-macam perkara yang lebih teruk pernah berlaku dalam hidup saya. Rasanya tidak perlulah ia dihuraikan satu-persatu. Saya menjadi semakin matang, lebih dekat dengan keluarga dan paling penting, saya kenal siapa kawan dan siapa lawan.


MENINGGALKAN Chinta di lokasi, banyak ’sempadan’ dibawa pulang oleh Fasha.


Fasha masih berpegang dengan kata-katanya, dia bahagia dengan situasi ketika ini, bahagia kerana kemunculan sebagai pelakon semakin diterima dan bahagia diulik cinta Rizal Ashram yang lebih mesra dipanggil Jejai walaupun ditohmah bermacam nista. Ketika masyrakat asyik mempertikaikan sejauh mana dirinya mampu diterima keluarga Jejai, dalam masa yang sama pula, keluarga Fasha sendiri ditindih kesulitan mengenangkan Jejai sendiri ada sejarah kelam. Itu situasi ‘vakum’ yang peribadinya memberikan manis kepada Fasha, satu situasi yang memberikan lebih banyak tempoh terutama untuk diri sendiri membelah kesediaan.

Pelacur kelas atasan

Sedang terbakar rasa terujanya, Fasha dibidik persoalan lagi. Kali ini tentang gelombang apakah yang paling kencang berkocak kencang di jiwa. Dia tersenyum seraya membolak-balikkan gaun labuhnya. Duduknya dibetulkan sebelum menghela nafas panjang.

“Fenomena Natasha kembali dalam karier lakonan saya. Lama benar rasanya khalayak tidak memanggil saya dengan nama watak, kecuali dulu ketika drama Natasha ditayangkan. Sekarang, sejak Chinta ditayangkan dan meraih rating antara yang tertinggi, rasanya fenomena itu kembali kepada saya,” kata pembawa roh Chinta Chandurry yang mula berlegar di sekelilingnya.



Menjiwai watak pelacur kelas atasan yang memilih Tuhan untuk dimusuhi, itu satu dendam yang maha berat. Enam tahun bergelar pelakon, menghayati karakter Chinta melebihi segala cabaran mental dan fizikal watak-watak terdahulu yang pernah dilakonkannya.

“Watak Chinta datang pada ketika dan usia saya yang tepat, pengalaman terdahulu juga antara yang mematangkan lakonan saya dalam drama itu. Ia bukan kisah pelacur tetapi bagaimana seorang gadis baik bertukar menjadi pendendam kepada lelaki lebih besar lagi kepada Tuhan kerana kecewa dengan takdir. Chinta satu watak berat dan ramai menyatakan Chinta sebuah karya yang sukar dijangka,” meladeni Chinta juga katanya, menjadi bekal untuk dijadikan sempadan dan teladan.


MAHU terus mencari ruang keyakinan peminat untuknya, Fasha meniti satu lagi proses kematangan. Dia mahu lebih selektif memikirkan impak karakter tetapi dalam masa yang sama tidak pernah menolak nama-nama tertentu untuk bekerjasama dengannya.





Sepintas lalu, watak Chinta Chandurry pantas mengheret satu nama, Nidah Kirani menerusi judul sebuah novel dari seberang yang berjudul Tuhan, Izinkan Aku Menjadi Pelacur! Memoir Luka Seorang Muslimah.

Novel karya Muhidin M. Dahlan itu banyak diperdebatkan atas dasar kemunafikan seorang muslim, iaitu Nidah yang memilih Allah sebagai subjek mahupun objek untuknya melampiaskan dendam. Nidah bulat hati menjadi penggoda dan menjadikan seks sebagai makanan percuma untuk merosakkan akidah ahli-ahli agama manakala Chinta pula menjadi pelacur bagi mengisi kekosongan hati.

“Saya gelar Chinta sebagai pelacur kelas atasan dan dia melacur bukan kerana duit tetapi untuk keseronokan, mengisi sepi dan dendamnya kepada Tuhan. Terlalu besar dan banyak ilmu yang saya kutip daripada Chinta, apa yang patut dan apa yang terlarang, jika yang terlarang juga yang dipilih, ada pula akibatnya,” walaupun sebuah cereka, Fasha menembus realiti hidup daripada naskhah arahan Feroz Khan itu.

Menjadi pemandu jentera akal dan hati, aktres yang pernah membintangi puluhan judul filem termasuk Berlari Ke Langit, Evolusi KL Drift serta terbaru 4 Madu itu semakin mengenali erti optimistik. Semakin lama dalam industri, anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu juga semakin berani menjadi selektif terhadap watak. Terbaru dari lokasi, Fasha kini sibuk berlatih tubi untuk beraksi bersama Awie menerusi filem Dari Kerana Mata arahan Melissa Saila. Sekitar Februari 2011 pula, satu projek besar yang ditunggu-tunggunya bakal menjadi nyata. Tunggu! itu kata Fasha kepada peminatnya.

Dipetik dari: KOSMO! Online






@@ Followers @ @

Pembaca Berita PANAS!

Popular Posts