MELAKA - Setelah hampir sembilan bulan ditutup, akhirnya roda gergasi Eye On Malaysia dipindah keluar dari sini semalam.
Pemindahan itu mengakhiri kemelut yang melanda buaian gergasi itu apabila kerajaan negeri berusaha mendapatkan perintah mahkamah bagi memperoleh kebenaran untuk memaksa pemilik asal, Fitraco NV mengeluarkan segera buaian gergasi itu.
Langkah mendapatkan perintah mahkamah itu diambil kerana kerajaan negeri bercadang menempatkan roda gergasi lain bagi menggantikan roda gergasi sedia ada yang tidak lagi beroperasi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berasa lega apabila roda gergasi itu akhirnya dipindah keluar dari negeri itu.
"Saya bersyukur segala kemelut sudah berakhir. Buaian ini tidak akan wujud lagi di tapak asalnya dan ini juga membolehkan kita membeli buaian yang hampir serupa dari China," katanya selepas melancarkan Bas Coaster Panorama dan Sejuta Poskad Melaka Maju 2010 di Melaka Sentral di sini.