OXFORD - Pihak pengurusan Universiti Oxford di Britain dimalukan insiden sekumpulan pelajar senior memaksa beberapa belas pelajar baru berpakaian seperti bayi pada majlis suai kenal pasukan bola lakros wanita universiti berkenaan, lapor sebuah akhbar semalam.
Mahasiswi tahun pertama yang diterima menyertai pasukan itu dipaksa memakai lampin bayi dan menghisap botol susu berisi arak pada majlis suai kenal yang ganjil tersebut di sini pada Rabu lepas.
Sementara itu, pelajar-pelajar senior melakonkan watak ibu dengan memakai pakaian sukan dan menghisap rokok sambil menengking 'anak-anak' mereka.
Gambar-gambar kes buli pada majlis itu yang menampilkan tema Bayi dan Ibu Remaja, disiarkan di laman jaringan sosial, Facebook.
Ketika ditanya berhubung kejadian memalukan tersebut, seorang jurucakap universiti berkenaan enggan memberikan sebarang komen. - Agensi
Dipetik dari: KOSMO! Online