UCAPAN selamat tinggal adalah salam akhir yang cukup sukar untuk ditelan. Apa yang boleh dimamah bersama hanyalah momen-momen yang disimpan menjadi santapan jiwa dan akal.
Sayatnya hati di ambang perpisahan itu sudah biasa dilalui oleh gadis bernama Julia Ziegler. Bak air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam.
Lahir dengan nama Julia Bob Fauzi Ziegler, nyawa gadis ini pernah ‘berpisah’ seketika daripada badannya.
Khalayak sudah tahu, insiden itu berlaku lantaran putusnya cinta yang membuat pelakon ini hilang pertimbangan.
Dia cuba lari daripada patah hati yang menjeruk rasa, dia ditimpa kecelakaan. Sudahlah berpisah dengan jejaka perkasihan tiga tahun, tubuh badannya pula hampir remuk ‘dibelasah’ kereta yang berselisih penghadang jalan.
Penulis bertanyakan dirinya tentang rasa perpisahan dalam dirinya. Dia mengungkap, rasa terbaru ini lebih memedihkan.
Uniknya perpisahan kali ini ialah dia disergah kesedaran yang bukan picisan dalam minda dan hati kecilnya.
Hasilnya filem Crayon yang dibikin di bawah produksinya, Zioss Film Sdn. Bhd. memberi impak bukan sedikit dalam diri anak kacukan Jerman-Melayu ini.
Bergaul dengan anak-anak yatim di Melaka yang turut menjadi tulang belakang filem yang akan ditayangkan pada 11 November ini, Julia menyelami kesepian yang menerjah hati dan tulang-temulang mereka.
Lebih daripada itu timbul kesyukuran bercabang dalam dirinya yang masih sihat dan berkeluarga lengkap.
Ikhlas
“Pada hari terakhir kami bersama setelah 28 hari, kami habiskan masa di tepi pantai. Itu momen yang saya simpan bersama mereka. Saat berpisah itu sukar kerana kami sudah terbiasa bersama.
“Semua menangis bersama. Inilah kekeluargaan. Jujurnya hati kecil saya tersentuh kerana saya memang inginkan anak tetapi masih belum sedia untuk bersuami.
“Jadi inilah ‘anak-anak’ saya,” ujarnya yang tersenyum manis teringat detik itu.
Crayon ialah sebuah filem hasil tulisan Ainuddin Burhan yang mengangkat perjuangan seorang wanita terhadap kebajikan anak-anak yatim dan Julia bertindak sebagai penerbit yang memberi warna dalam dunia filem tanah air. Calitan krayon Zioss terselit pengertian.
|
|
Bukan niat bertindak pandai, namun keikhlasan yang jatuh tepat di hatinya mahu diangkat menjadi satu kesedaran yang dapat menjadi tempias di buluh hati khalayak.
Jujurnya lagi, golongan anak yatim ini hanya diberi perhatian ketika menjelang bulan Ramadan dan Syawal. Dijamu makan itu dan ini. Itu juga belum tentu besertakan niat yang ikhlas.
Ada yang jujur tetapi tidak kurang pula yang berserta nawaitu yang berlainan. Golongan kurang bernasib baik ini seakan-akan digunakan bagi tujuan budaya bulan mulia tersebut.
Bukan menidakkan keikhlasan pihak lain, Julia hanya menerangkan kehendak hatinya untuk memvisualkan suka dan duka kehidupan anak tanpa ibu dan ayah yang sepatutnya menjadi payung hidup mereka.
“Saya rasa sudah sampai masanya untuk berbuat sesuatu. Saya juga menimba pengalaman baru bersama mereka. Hidup ini bukan untuk diri sendiri, tapi untuk orang lain jua.
“Kalau boleh diberikan sesuatu, maka hulurkanlah. Cuba bayangkan betapa gembiranya anak-anak kecil ini ketika dibawa melawat bangunan KLCC dan pergi menonton wayang.
“Saya mahu lakukan itu untuk mereka dan jika ada pihak lain yang mahu turut serta, boleh hubungi saya.
“Kita sama-sama memberi kegembiraan buat mereka,” ujar Julia lalu menerangkan bahawa kutipan filem Crayon kelak akan dihulurkan buat tujuan amal.
Peluang Kedua
Kehadiran Crayon kalau dilihat daripada anak mata Julia dan tutur bibirnya bukan muncul saja-saja. Ia berputik daripada pengalaman yang pernah dilaluinya.
Selagi hidup ini belum habis juangnya, selagi itulah berjalan dugaannya. Meneliti perjalanan pelakon filem Jangan Tegur ini, dia bersyukur diberikan kesempatan bernyawa untuk kali kedua.
Dia tahu dia diberikan pilihan untuk menjadi manusia yang lebih berguna. Pernah satu ketika dia hampir binasa kerana rasa.
“Saya dimasukkan ke dalam karung mayat sewaktu kemalangan tersebut. Bayangkan. Kemalangan tersebut juga membuatkan saya hilang keyakinan dan tertekan.
“Tapi seiring perjalanan masa, semuanya berubah. Hidup ini sukar tetapi perlu dijalani. Kerana itu saya mahu berbakti buat masyarakat.
“Jika diizinkan Tuhan dan segalanya berjalan lancar, produksi saya akan keluar dengan filem untuk orang kurang upaya dan warga emas pula,” ujarnya yang bakal muncul sebagai gadis penjual bunga buta dalam drama bersiri Toyol Nakal.
Sasaran 10.10.10
Penulis tanyakan Julia, sama ada dia punya satu nombor yang penuh bererti dalam hidupnya. Dia menjawab dengan pantas:
“Nombor 21!
“Ulang tahun saya jatuh pada 21 Mei 1984. Saya mengalami kecelakaan pada tanggal 21 November 2006. Nombor tersebut akan terus terpahat dalam jurnal hidup saya sebagai nombor yang penuh pengertian,” luah pelakon siri Tudung Ekspres yang kini masih ditayangkan di saluran Astro Ria.
Dia tersenyum meluahkan sesuatu yang masih perihal nombor.
“Saya sebenarnya pernah bercita-cita untuk berumah tangga pada tarikh 10.10.10. Itu sebelum saya ditimpa kemalangan.
“Tapi melihatkan tarikh itu sudah dekat dan saya belum ada sesiapa yang istimewa, nombor itu hanya tinggal kenangan.
“Saya rasa tarikh tersebut cukup istimewa,” ucapnya. Sasarannya, tahun hadapan kalau diizinkan Ilahi, dia mahu bergelar isteri.
Tetapi sebelum memikul status yang penuh erti itu, dia terlebih dahulu mahu menjelajah dunia. Mahu mendekatkan diri dengan Tuhan sambil mencari ketenangan jiwa.
“Saya memang sedang mengenali seseorang. Cuma saya takut untuk memberikan sayang saya.
“Kerana kalau sudah jatuh cinta, saya sanggup berkorban deminya,” kata Julia sambil tersenyum menggambarkan dirinya yang sedikit lemah dek cinta.
Dipetik dari: http://kosmo.com.my/