(Imej di ambil dari Google Image)
JAKARTA: Penyanyi kumpulan Peterpan, Nazril ‘Ariel’ Irham kelmarin dibebaskan daripada dakwaan melakukan perbuatan melanggar tata susila tempatan berkaitan video lucahnya bersama dua artis lain, sebaliknya didakwa dengan tuduhan baru sebagai orang yang bertanggungjawab menyebarkan rakaman video terbabit.Ketua Pusat Penerangan Jabatan Peguam Negara, Babul Khoir Harahap, yang dipetik laman web Metrotvnews, berkata dakwaan terbaru ke atas Ariel adalah menyebarkan rakaman video lucah dan bukan sebagai pelaku dalam video seks yang tersebar di internet.
Ariel yang ditahan di sebuah penjara di Bandung, akan didakwa di bawah Undang-Undang Maklumat dan Transaksi Elektronik 2008 dan Undang-Undang Kelucahan 2008. Beliau berdepan hukuman penjara 12 tahun jika sabit kesalahan.
Babul berkata, tuduhan pindaan yang dikenakan ke atas Ariel berpunca daripada kegagalan pihak polis mengenal pasti lokasi dan masa video itu dirakamkan.
“Tempat video itu dirakamkan dan waktunya tidak jelas. Ada yang menyatakan bahawa ia dibuat pada 2005, 2006 dan 2010.
“Dua artis yang didakwa terbabit dengan rakaman itu, Luna Maya dan Cut Tari berkata, mereka tidak ingat tempat ia dirakam. Cut Tari mengaku tahu tetapi lupa lokasinya. Apa yang pasti tempatnya di Indonesia,” katanya.
Babul berkata, siasatan polis selama empat bulan mengesahkan Ariel bertanggungjawab atas penyebaran video lucah itu.
“Dalam siasatan itu, kami mendapati Ariel dibantu bekas pengarah muziknya Redjoy, menyebarkan video lucah terbabit dari rumah penerbit muziknya, Capung. Keterangan mengenai perkara ini ditemui di rumah Capung di Jalan Antapani, Bandung,” katanya.
Babul berkata, pegawai pendakwa di Bandung mengesahkan menerima fail kes Ariel daripada polis dan merancang mengemukakan kes itu di Mahkamah Daerah dalam tempoh beberapa minggu lagi. – Agensi