JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tidak mahu memberi jaminan mengenai peluangnya selepas ini jika sekali lagi 'ditakdirkan' menentang jaguh China, Lin Dan.
Kelmarin, Chong Wei yang merupakan pemain No. 1 dunia berjaya mencatatkan kemenangan 22-20, 16-21, 21-17 ke atas Lin Dan pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Jepun di Tokyo.
Namun, kejayaan tersebut masih lagi belum cukup buat Chong Wei mengatasi rekod kemenangan yang masih lagi memihak kepada Lin Dan selepas mencatatkan 14 kemenangan daripada 21 pertemuan.
"Memang saya gembira kerana berjaya menewaskan Lin Dan dan sudah pasti saya mahu terus mengekalkan rentak kecemerlangan ini pada kejohanan-kejohanan yang akan datang.
"Tetapi, saya tidak boleh memberi sebarang jaminan yang saya akan sentiasa menang sekiranya saya sekali lagi berdepan dengan Lin Dan selepas ini," jelas Chong Wei semalam.
Begitupun, jaguh kelahiran Pulau Pinang itu bertekad untuk terus bekerja keras bagi memastikan dia sentiasa bersedia menghadapi kejohanan-kejohanan yang bakal disertainya.
"Corak serta taktikal baru yang saya gunakan pada perlawanan semalam (kelmarin) telah mula menampakkan hasil selepas mengkaji gaya dan kelemahan yang dimiliki Lin Dan.
"Justeru, selepas ini saya akan terus melakukan pemerhatian terhadap corak permainan Lin Dan agar dapat menghasilkan satu strategi berkesan dalam usaha menewaskannya," kata Chong Wei.
Jika tidak berdepan sebarang masalah, Chong Wei dan Lin Dan dijangka sekali lagi bertemu pada Sukan Asia di Guangzhou, China yang akan berlangsung pada 12 hingga 27 November depan.
Sebelum itu, Chong Wei yang kini telah berusia 28 tahun bakal mengetuai barisan pemain badminton negara beraksi pada Sukan Komanwel 2010 yang akan bermula 3 Oktober ini.
"Sudah tentu sasaran saya adalah untuk mempertahankan pingat emas yang saya menangi empat tahun lalu dan disebabkan itu saya akan cuba untuk melakukan yang terbaik bagi merealisasikannya," ujar Chong Wei yang memenangi pingat emas acara perseorangan lelaki pada temasya yang sama di Melbourne, Australia empat tahun lalu.
Dipetik dari: http://kosmo.com.my