Manusia mesti sentiasa berbuat baik kepada sesama makhluk termasuk binatang dan alam sekitar
WALAUPUN masyarakat di negara Barat lebih berbudi bahasa dan bersopan dalam muamalah sesama insan, penulis tidak menafikan di negara kita masih ramai yang utuh dengan budaya hidup serta pekerti lemah lembut.
Keadaan ini menepati ajaran Islam yang menganjurkan umatnya menghiaskan diri mereka dengan sifat terpuji. Malangnya adab dan santun yang sudah bersisa semakin terhakis dengan pelbagai masalah sosial mengaibkan.
Click Here
Di alam maya, ramai diberi kunci kebebasan untuk meneroka dunia dan melakukan apa yang mereka suka. Laman sosial juga menjadi bukti ada golongan yang sering kali tersasar daripada pedoman agama.
Pembuli mental sesama rakan sebaya atau daripada golongan lebih dewasa boleh mengakibatkan risiko nyawa kepada yang masih belum cukup matang mengurus tekanan. Sudahnya, berlaku perubahan sikap secara tiba-tiba, berkasar dengan ibu bapa atau orang lebih tua dan membunuh diri.
Mereka yang mengalami tekanan juga berisiko kepada orang lain kerana ketidakstabilan mental boleh mengakibatkan kejadian jenayah tidak dirancang.
Jenayah dan berbunuhan semakin meruncing mutakhir ini cukup membimbangkan, menggambarkan betapa segelintir masyarakat kini sudah hilang rasa kemanusiaan disebabkan tiada belas kasihan sesama insan.
Bagi umat Islam, perbuatan penganiayaan dan pembunuhan dilarang keras kerana Islam adalah agama bersifat rahmat iaitu belas kasihan. Jika kita benar-benar menghayati agama, insyaAllah tiada kepincangan dalam hubungan kemasyarakatan.
Rasulullah SAW juga menunjukkan cara yang sebaik-baiknya untuk berakhlak dengan tetangga dan ahli masyarakat. Ditegaskan Allah SWT dalam firman bermaksud: “Kami tidak mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada alam sejagat.” (Surah Al-Anbia’, ayat 107)
Menjadi orang yang membawa kebaikan kepada alam sejagat bukan mudah, sebab itu Rasulullah SAW mengajar perbuatan baik untuk dilakukan kepada orang lain supaya Baginda tidak berseorangan dalam urusan ini sebaliknya dibantu oleh sahabat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kamu sekali-kali tidak akan dianggap beriman sehingga kamu bersifat rahmat. Ujar sahabat: Kami semua sememangnya bersifat rahmat. Lantas Baginda SAW menjawab: Bukan maksudku rahmatmu kepada kawan kamu, sebaliknya maksudku ialah rahmatmu kepada umum (alam sejagat).” (Hadis riwayat Tabarani)
Yang dimaksudkan dengan rahmat adalah apa juga perkara membawa kebaikan dan Islam agama yang membawa misi keamanan, kedamaian, keharmonian, kemesraan dan rahmat kepada seluruh isi alam termasuk binatang.
Oleh itu, bagi menjamin kedamaian dan rahmat terlaksana, Islam memerintahkan umatnya supaya menghias diri mereka dengan sifat belas kasihan yang turut menjadi bukti kesempurnaan iman seseorang kepada Allah.
Sifat belas kasihan membuatkan kita mudah tersentuh apabila melihat kesusahan menimpa orang lain dan begitu juga sebaliknya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah menjadikan rahmat 100 bahagian, satu bahagian daripadanya sudah diturunkan ke bumi. Daripada bahagian satu inilah, sekalian makhluk dapat berbelas kasihan sesama sendiri antara satu sama lain hinggakan ada seekor binatang yang mengangkat kakinya kerana takut terpijak anaknya sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari)
Ibu bapa perlu mempunyai sifat belas kasihan dalam proses mendidik anak. Jika mereka melakukan kesilapan dan kesalahan, hendaklah tegur serta betulkan kesalahannya secara lemah lembut, kasih sayang, bukannya memukul dengan kekerasan.
Pada tahap pendidikan pada awal usia, anak perlu dibelai, ditatang serta diasuh dengan kasih sayang serta lemah lembut, bukannya dengan kekerasan yang hanya akan menyebabkan anak semakin liar.
Perlu diingat, gejala sosial yang semakin membarah dalam masyarakat berpunca daripada kepupusan perasaan belas kasihan dan kemesraan dalam rumah mereka. Justeru, apabila anak membuat kesalahan, ibu bapa perlu menilai kemungkinan itu berpunca daripada kegagalan mewujudkan keharmonian rumah tangga.
Dalam konteks kekeluargaan, suami isteri perlu bertolak ansur dan berbelas kasihan antara satu sama lain dalam menguruskan rumah tangga mereka selaras objektif perkahwinan untuk menyuburkan bibit kasih sayang bagi mengecapi kebahagiaan sejati.
Jika warga Malaysia berpaksikan tatacara kehidupan dengan moral dan akhlak tinggi, zahirkan kasih sayang yang syarie, belas kasihan tanpa malu dan sangsi, insyaAllah tidak ada bencana terjadi, apatah lagi kekejaman yang melanggar hak asasi.
Dipetik dari: http://www.bharian.com.my