BABAK percintaan antara Norman Hakim dan Memey tidak bermula seperti pasangan lain. Menempuh pelbagai insiden kurang manis daripada dakwaan berkhalwat sehingga episod perceraian Norman bersama bekas isterinya, Abby Abadi, mereka akhirnya ditunangkan.
Soal sama ada mereka akan bertunang atau berkahwin sebenarnya sudah lama menjadi pertanyaan apabila hubungan cinta mereka disahkan secara umum sekitar awal tahun ini.
Namun, hanya pada 30 Ogos lalu, Norman dan Memey atau nama sebenarnya, Suhaiza Suhaimi, 22, mengumumkan bahawa mereka akan mengikat tali pertunangan yang sudah pun selesai berlangsung pada 13 September lalu.
Ditahan oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 30 Oktober 2008 serta perbicaraan kes mereka di Mahkamah Syariah yang masih berjalan dikatakan sebagai ‘punca’ pertunangan itu.
|
|
Namun, Norman atau nama sebenarnya, Mohamed Norhakim Zaidon, 34, menafikan pandangan tersebut. Ketabahan Memey sepanjang perbicaraan serta kecekalan tunangnya itu berdepan dengan tohmahan masyarakat yang membuatkan aktor itu jatuh hati.
“Sebenarnya kami saling mengenali sejak lebih dua tahun lalu. Namun, keserasian antara kami hanya timbul apabila bersama-sama melalui detik sukar sepanjang perbicaraan di mahkamah.
“Pertunangan kami hari ini bukanlah atas faktor kes di mahkamah tetapi keserasian telah menjodohkan kami. Saya sayang Memey dan pertemuan kami ada hikmahnya memandangkan keluarga kami berdua berasal dari tempat yang sama iaitu Kukup, Pontian, Johor,” ujar Norman selepas selesai majlis tersebut.
Norman yang popular menerusi drama bersiri Gerak Khas mahu Memey merasai sendiri adat pertunangan masyarakat Melayu yang bermula dengan proses merisik, menyerahkan hantaran, menyarungkan cincin dan seterusnya berbincang mengenai ketetapan perkahwinan mereka walaupun persediaan majlis itu dibuat dalam masa singkat.
“Sejujurnya, saya hanya nekad dengan keputusan bertunang kira-kira dua minggu lalu selepas perbincangan antara kedua-dua belah keluarga mencapai kata sepakat dan direstui. Lagipun majlis ini dilakukan secara sederhana. Jadi masa dua minggu itu sudah mencukupi untuk melakukan persediaan,” jelas Memey.
Tidak seperti Norman, Memey yang bertunang buat kali pertama berasa berdebar apabila tarikh pertunangannya semakin dekat.
“Saya sendiri terkejut apabila Norman meluahkan hasrat untuk meminang saya pada hari raya keempat. Penantian tarikh itu membuatkan saya teruja. Semakin dekat dengan tarikh itu, hati saya semakin berdebar,” tambah Memey.
Majlis sederhana itu berlangsung di kediaman keluarga Memey yang terletak di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor. Sebanyak 13 buah kenderaan bersama hampir seratus orang ahli keluarga Norman dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru mengiringi rombongan meminang yang diketuai bapa saudaranya, Mejar (B) Ismail Kamat.
Rombongan mereka tiba pada pukul 4.30 petang. Selain cincin sebagai memenuhi tuntutan adat Melayu semasa pertunangan, rombongan Norman turut membawa lima dulang hantaran berupai makanan, tepak sirih, kek dan pakaian. Manakala Memey membalas sebanyak tujuh dulang hantaran yang hampir serupa barangannya.
Sesi melamar diadakan kira-kira setengah jam yang menyaksikan Norman diwakili bapa saudaranya dan bakal mempelai perempuan itu diwakili oleh datuknya, Sarwani Saim.
Sungguhpun perbincangan telah dilakukan tetapi kata putus mengenai tarikh dan jumlah hantaran perkahwinan bakal suami isteri itu hanya akan ditentukan kemudian. Sekiranya tiada aral melintang, mereka dijangka diijab kabul pada awal tahun depan.
Gerbang perkahwinan
Memey pada majlis itu kelihatan menawan dengan memakai busana putih rekaan Ezuwan Ismail dan Norman yang hadir berbaju kemeja putih, bersongkok dengan berseluar jean kelihatan ceria apabila diminta pihak media bergambar.
Keceriaan yang terpancar di wajah Memey dan Norman jelas membayangkan mereka kini sudah bersedia untuk menuju gerbang perkahwinan.
“Saya lega dan gembira kerana semuanya sudah selamat dan kini kami dalam persediaan untuk melangkah ke alam baru bergelar suami isteri.
“Insya-Allah, saya akan menempuh kehidupan bahagia bersama Memey yang memahami situasi saya dan anak-anak. Itulah yang membuatkan saya terpikat padanya yang juga merupakan keistimewaan Memey.
“Dia seorang yang tabah dan pandai mengambil hati. Apa yang penting kedua-dua belah keluarga merestui hubungan kami. Saya yakin saya boleh hidup bahagia dengannya,” kata Norman sambil menjeling manja ke arah Memey yang tersenyum malu.
Dipetik dari: http://kosmo.com.my